Sunday, May 31, 2020

Siri Nota Kelas Mengaji (12) : Bacaan Istimewa Di Dalam Al-Quran - Saktah



Kredit : JomTajwid

Saktah ini dah biasa nampak dalam surah Yasin.

Ia bermaksud berhenti sejenak atau seketika sambil menahan nafas (tanpa mengambil nafas yang baru). Biasanya tempat yang wajib dibaca saktah ditulis padanya huruf sin س kecil. Berapa lama? Tak lama, menurut Ustaz Asraff, 2 harakat sahaja.

Tapi kenapa nak kena baca secara berhenti? Kenapa tak berhenti je?

Sebelum ni kalau nampak Saktah ni memang ingat wajib baca secara saktah ni.

Rupa-rupanya lepas baca dan tengok beberapa video, saktah ini hanya untuk kalau kita nak baca secara sambung (wasal). Kalau nak berhenti, boleh jika ianya adalah tempat boleh berhenti seperti dalam surah Al Kahfi tu, memang dua ayat berbeza. Dalam surah Yasin pun ada wakaf, jadi boleh wakaf. Kemudian teruskan macam biasa.

Hanya pada surah Al Qiyamah dan Al Muthoffifin, menjadi kesalahan jika kita baca terus menonong. Bak kata Ustaz Fakhrul, kalau jumpa orang boleh selfie, jumpa saktah pun kena berhenti sat na.

Kredit : FB

Apabila dibaca nota, bacaan saktah adalah untuk mengasingkan antara dua patah perkataan supaya tidak menimbulkan kesamaran kepada pengertian ayat-ayat tertentu. Juga untuk menjaga makna ayat.

Contohnya dalam surah Al Kahfi, perkataan عِوَجَاۜ  = bengkok. قَيِّمً۬ا = lurus. Jadi kalau disambungkan dua perkataan ini akan mengubah makna ayat.



Mengikut Riwayat Hafs, hanya terdapat 4 tempat sahaja yang dibaca dengan saktah di dalam Al-Qur’an, iaitu:

a. Surah Al-Kahfi: 1
b. Surah Yaasin: 52
c. Surah Al-Qiyaamah: 27
d. Surah Al-Muthaffifin: 14

Begitulah, semakin banyak belajar, semakin banyak tak tahu.

Kadang-kadang rasa 'overwhelmed'. Baca Quran masih lemah makhraj, tajwid pun ke mana. Dengan maksud pun aduh tak faham. Belajar setakat PMR sahaja Bahasa Arab tu.

Seorang kawan lama di Maahad kata, apabila kita belajar dengan susah payah, di situ Allah dah janji lebih ganjarannya.

Rasa terubat hati. Itulah kadang-kadang lupa. Allah dah sebut semua tu. Tapi tamak semua nak buat pada satu masa.

Jadi mana yang boleh mulakan, mula dulu. Boleh baca Quran, tak lancar, tajwid tunggang langgang, usahakan cari guru. Zaman sekarang ada online. Ada kelas zoom atau voice note wassap pun dah ok. Janji ada yang dengar kita baca dan betulkan.

Oh ya, ada satu kelas online melalui wassap, satu hari satu topik akan dibincangkan melalui voice note. Akan diajar oleh Ustazah Farhana daripada Akademi An Najah, Seri Manjung, Perak.

Yang mahu dapatkan nota tajwid asas dan pro beserta kelas online boleh klik gambar di bawah ya.

"Ikatlah ilmu dengan menuliskannya."

Nurul Fauzana
1 Jun 2020
Wang Tepus


Klik sini untuk info kelas.



Thursday, May 28, 2020

Siri Nota Kelas Mengaji (11) : Bacaan Istimewa Di Dalam Al-Quran - Isymam

Kredit : FB Tahfiz Style

Isymam bermaksud muncung. Perlu dengung, lepas tu buat mulut muncung tapi tak bunyi. Boleh dilihat pada Surah Yusuf ayat 11. Ada simbol seperti bentuk berlian kecil di atas huruf mim.

Nak lagi mudah kena tengok video Ustaz Asraff. 



Dok cari video, jumpa satu video Ustaz Don tentang Isymam, ada satu lagi cara bacaannya iaitu Roum.

Kedua-duanya boleh dibaca kata Ustaz. Yang tak boleh, tak baca langsung :D




Untuk roum, dibunyikan 'nu' pada 'man-nu-na' tetapi secara sangat perlahan. Boleh tengok terus video di atas untuk lebih mudah faham.

Alhamdulillah, macam terjumpa harta karun. Semakin dicari semakin berkilauan.


"Ikatlah ilmu dengan menuliskannya."

Nurul Fauzana
5 Syawal 1441H
Wang Tepus



Dapatkan e-book Tajwid ini. Klik untuk wassap.

Nota Tajwid Yang Ditulis Secara Praktikal & Mudah Difahami. Wassap untuk belian.





Wednesday, May 27, 2020

Siri Nota Kelas Mengaji (10) : Bacaan Istimewa Di Dalam Al-Quran - Tashil

Kredit : FB SMH
5 Bacaan Istimewa Dalam Al-Quran


Tashil pada bahasa asalnya bererti : mudah; iaitu menyebut huruf hamzah di antara sebutan huruf hamzah dan alif; seolah-olah menyebut huruf hamzah dan alif sekaligus, tidak terhenti-henti dan tidak memanjangkan sebutannya.

Hanya satu kalimah yang wajib dibaca dengan tashil: Surah Fussilat: 44


Untuk lebih jelas, boleh tonton video Ustaz Asraff di bawah.



Ini pun baru tahu. Mungkin dulu Ustaz atau Ustazah dah ajar, tapi tak masuk dalam kepala.

Alhamdulillah, kelas mengaji sepanjang Ramadan bersama Ustazah Khadijah Gani telah banyak membuka mata tentang kepentingan membaca al-Quran secara berguru.

Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Apabila anak murid sudah bersedia, Allah akan hantarkan gurunya.

Semoga catatan ini membantu diri ini agar tidak mudah lupa.

"Ikatlah ilmu dengan menuliskannya."

Nurul Fauzana
4 Syawal 1441H
Wang Tepus

***

Tuesday, May 26, 2020

Siri Nota Kelas Mengaji (9) : Bacaan Istimewa Di Dalam Al-Quran - Naql

Kredit : Jom Tajwid

Ada beberapa tempat di dalam al-Quran yang merupakan bacaan istimewa atau unik. Jika tak biasa memang akan langgar sahaja. Antaranya :

Naql
Tashil
Isymam
Saktah
Imalah


Apabila lihat video Ustaz Asraff katanya ada 11 tempat. Nanti perlu cari kesemuanya dan senaraikan, insya-Allah.

Untuk post ini kita lihat dulu Naql. Nanti pening pula jika letak semua dalam 1 post.

Kredit : Blog

Perhatikan pada perkataan berwarna kuning di atas, ada 2 hamzah wasal.

Apa itu hamzah wasal?

Hamzah Wasal. Kredit : Jom Tajwid

Bacaan Naql. Memindahkan baris. 

Adapun secara istilah, naql bererti memindahkan harakat hamzah ke huruf sukun sebelumnya; dan setelah itu, dibuang huruf hamzah itu dan sukun lam .
Maka, lafaz بئسَ اْلإسْمُ dibaca بئسَ ِلسْمُ .

Jika ibtida’ dari kalimah tersebut, dibaca dengan لِسْم atau اَلِسْم.

Bacaan ini hanya ada dalam surat al Hujurat ayat 11.

Boleh tengok video di bawah untuk lebih jelas cara bacaannya.






Nanti kita sambung lagi dengan bacaan istimewa lain, insya-Allah.


"Ikatlah ilmu dengan menuliskannya."

Nurul Fauzana
3 Syawal 1441H
Wang Tepus

Monday, May 25, 2020

Siri Nota Mengaji (8): Makhraj Huruf Dzo Dzal Tsa ذ , ث,ظ

Makhraj Huruf


Kali ini ada satu lagi ilmu yang baru tau. Aduh terasa jahil sangat pula baru tahu. Nampak sangat tak tambah baik ilmu tajwid zaman sekolah. Selesa dengan ilmu yang ada.

Huruf tsa dan dzal memang dah tau kena 'gigit lidah'. Lidah ke hadapan gigi apabila sebut. Rupa-rupanya huruf dzo pun sama.

Nak lagi terkesan, ketika solat, rukuk ada melibatkan huruf dzo.


سُبْحَانَ رَبِّيَ الْعَظِيْمِ وَبِحَمْدِهِ

Dah biasa baca tebal tapi lidah tak terkeluar macam sebut huruf tsa dan dzal. Nak betulkan masa solat pun adakalanya aduh asyik lupa, sebab dah macam auto baca. Moga Allah ampunkan dosa :(




Nak lagi jelas boleh tonton video di atas. Ada penerangan dan amali sekali.

Betulkan yang biasa, biasakan yang betul.

"Ikatlah ilmu dengan menuliskannya."

Nurul Fauzana
3 Syawal 1441H
Wang Tepus

Saturday, May 23, 2020

Siri Nota Kelas Mengaji (7) : Ikhfak Syafawi & Iqlab

Kredit : Jom Tajwid


Sepanjang kelas mengaji Ramadan ini, ini antara bunyi yang akan mendapat teguran.

Ikhfak Syafawi, mim mati bertemu huruf ba

Iqlab, nun mati atau tanwin bertemu huruf ba


Kredit : Jom Tajwid


Biasanya di dalam mushaf akan nampak huruf mim kecil pada hukum Iqlab. Jadi memang selama ini baca dengan ada bunyi mim tu. Tiba-tiba dengar Ustazah tegur bacaan rakan sekelas apabila tiba 2 hukum ni.

Ustazah jelaskan, perlu ada renggangan sedikit di bibir, sekadar cukup lalu sehelai kertas. Kedua-dua hukum ini perlu cara begitu.


Mula-mula keliru juga. Bila cari di utiub ada sahaja tutup mulut.



Lepas tu jumpa video Ustaz Asraff seperti di atas. Boleh tonton untuk lebih jelas. Sememangnya ada 2 jenis pendapat. Yang tutup bibir pun ada, tapi tutup lembut sahaja tak sampai kemam mulut. Yang renggang sikit pun ada yang ajar. Apapun tak banyak beza pun, jadi jangan sampai bergaduh Ustaz kata. Yang penting baca Quran na :D

Terlerai persoalan.

Ustazah maklum lagi, rengangan mulut itu sekadar nak bagi bunyi tak sama dengan hukum Idgham Mislaini Syafaqi (mim mati berjumpa mim) yang mana perlu rapatkan mulut.

Ini pula cara membaca yang dikatakan perlu ada renggangan mulut oleh Teacher Amni. Rakan saya yang mengajar di Sekolah Al Azhar Jitra.


Kredit video : Fun Learning With Teacher Amni

Alhamdulillah, bertambah lagi ilmu. Selama ni ilmu setakat sekolah agama dulu. Lepas tu memang tak ada masuk kelas bertalaqi begini. Syok sendiri betul.

Alhamdulillah atas kesempatan belajar ini. Moga Allah tambahkan diri ini kemahiran membaca al-Quran dan kefahaman.


"Ikatlah ilmu dengan menuliskannya."


Nurul Fauzana

1 Syawal 1441H
Wang Tepus

Friday, May 22, 2020

Siri Nota Kelas Mengaji (6) : Izhar Mutlak

Kredit FB Jom Tajwid

Sebelum kita cerita berkaitan Izhar Mutlak, kita lihat dulu hukum Idgham Maal Ghunnah.

Idgham Ma’al Ghunnah bermaksud menggabungkan huruf yang sukun ke dalam huruf yang berbaris beserta dengung.

Apabil nun mati atau tanwin bertemu dengan salah satu daripada 4 huruf di bawah.


 
ي و ن م

Tanda-tanda bacaan dalam Rasm Uthmani.



Kredit : Tajwid Asas 


Tiada tanda sukun di atas nun sakinah (mati) dan tanda tanwin yang tidak selari.

Cara bacaan:
Digabungkan bacaan nun ke dalam huruf selepasnya dengan didengungkan.


Berbalik kepada hukum Izhar Mutlak, seperti foto di atas, apabila nun sakinah (mati) bertemu dengan ي و, sepatutnya hukumnya adalah Idghom Maal Ghunnah.

Akan tetapi, terdapat 4 pengecualian untuk 4 perkataan seperti foto di atas. Jika kita perhatikan di dalam mushaf Rasm Uthmani tajwid berwarna, 4 perkataan di atas tidak akan berwarna seperti hukum Idgham Maal Ghunnah. Hukumnya dinamakan Izhar Mutlak.

Jadinya apabila namanya Izhar, hanya perlu dibaca dengan jelas dan nyata. Dun-ya. Bukannya dung-ya.

Semoga Allah berikan kefahaman kepada diri ini dalam membaca al-Quran dan mengamalkannya.

"Ikatlah ilmu dengan menuliskannya."

Nurul Fauzana 
30 Ramadan 1441H
Wang Tepus

Siri Nota Kelas Mengaji (5) : Wakaf & Ibtida'

Kredit AlMukhlisin Home Quran

Bagaimana nak wakaf dan ibtida' dalam al-Quran? Terutamanya bagi orang awam yang setakat belajar raksun 💆, junjumatun 💀

Memang nafas pendek betul, asyik nak berhenti sahaja. Ada baca tip, bacalah al-Quran sebelum Subuh. Haaa ambikkk mendapat nasihat terbaik 😂

Setelah digugel dan diutiub,

Ustaz Asraff kata tak boleh suka suki berhenti macam tengah memandu dekat lebuhraya.

Melainkan emergency macam tayar pancit ke.

Jika dah darurat, berhenti dekat tempat yang kecemasan tu. Kemudian ambil 1 perkataan di belakang. Tapi ini pun kena tengok juga perkataan.

Ada beberapa perkataan yang boleh dijadikan kata kunci. Foto di bawah ini contoh kata kunci yang diberikan oleh Ustazah.

Kredit https://www.instagram.com/p/B_hGYVtHH7G/
Kata Ustazah, apabila sudah terberhenti di tengah ayat atau tempat yang tiada tanda wakaf, sebaiknya bermula dengan mengambil beberapa kalimah ke belakang dengan mencari perkataan di dalam bulatan kuning atau putih.

Elakkan bermula dengan perkataan di dalam bulatan biru dalam foto di atas kerana perkataan di dalam bulatan biru memerlukan subjek dan predikatnya secara keseluruhan supaya makna ayat tidak terjejas.

Juga boleh juga berhenti pada hukum mad lin atau mad 'iwadh atau pada kata kerja. Mulakan semula dengan perkataan yang bermula di dalam bulatan kuning atau putih.

Seeloknya, tarik nafas panjang sebelum mula baca. Ada terlihat video Qariah Ustazah Farhah sebut dia bernafas melalui mulut dan hidung. Fuh. Kena berlatih lagi ni.

Ustazah juga ada berpesan, seeloknya jika masih belum akhir tajwid, gunakan Quran tajwid berwarna dan ada juga Quran Wakaf Ibtida' jika sejenis nafas tak panjang :D. Nampaknya kena cari juga Quran Wakaf Ibtida' yang ada tajwid warna. Sebelum ni ada beli wakaf ibtida' tapi rasanya yang versi pertama tak ada tajwid.



Quran Wakaf Ibtida' Tajwid Berwarna

Alhamdulillah, banyak betul belajar baharu + belajar semula apa yang belajar masa sekolah.

Didoakan Allah mudahkan urusan Ustazah Khadijah Gani dan keluarga atas asbab meluangkan masa setiap hari sejam lebih juga mengajar kami membaca dengan bertajwid. Amin.


"Ikatlah ilmu dengan menuliskannya."

Nurul Fauzana 
30 Ramadan 1441H
Wang Tepus

Siri Nota Kelas Mengaji (4) : Kalimah Unik Lafzul Jalalah ٱللَّهُ



Hari ni sambung lagi kelas mengaji. Kali ni ada kerja rumah. Ustazah Khadijah Gani tanya,
kenapa dalam Rasm Uthmani, kalimah Lafzul Jalalah (Allah), tiada alif kecil di atas macam tulisan khat tu.
Ingat lagi masa kecil beria kalau tak bagi orang curi barang mesti tulis Alif Lam Lah Ha dekat buku la, pemadam la 😂😂😂
Ustazah kata boleh tanya dekat pakcik gugel, tak boleh tanya dalam group. Katanya jarang ada kat gugel.
Selaku orang suka gugel, mustahil tak ada ni. Hehehehe.
Jadi habis kelas terus gugel sebab nak tau jawapan. Memang tak perasan kalau Ustazah tak habaq.
Jumpa jawapan, dalam Rasm Uthmani, tidak ditulis alif kecil di atas walaupun kena baca 2 harkat. Sebabnya...

Nak bezakan penulisan Al Lata (berhala). Cuba lihat ayat 19 Surah An Najm.

Ada lagi satu nota ditulis lebih panjang oleh Ustaz Asraff Ayob, boleh baca di sini.

***

Ini tambahan nota ditulis oleh Ustazah Khadijah Gani, gabungkan di sini untuk simpanan. Moga jadi ilmu bermanfaat.

Lafzul Jalalah.
Lafaz “ALLAH” di dalam Rasm Uthmani ditulis berbeza daripada Rasm Imal-ie yang menggunakan tanda alif kecil. Walaupun kalimah ALLAH ditulis dengan tanda baris fathah di atas huruf lam bersabdu, ia wajib dibaca dengan panjang 2 harkat dan bukannya 1 harkat. Huruf Lam pada Lafaz Jalalah adalah sebahagian hukum mad.
Di dalam Rasm Uthmani sahaja lafzul jalalah ditulis berbeza daripada fungsi baris yang kelihatan.
Ini bagi membezakan kalimah ALLAH daripada kalimah “Al-Laata” (Tuhan sembahan orang Jahiliyyah tanah Arab sebelum kedatangan Islam) yang juga terdapat di dalam Al-Quran yang ditulis dengan kebiasaan tanda panjang 2 harkat iaitu alif kecil di atas huruf Lam bersabdu.
أَفَرَءَيْتُمُ ٱللَّٰتَ وَٱلْعُزَّىٰ
(Surah an najm : 19)
Terdapat Qiraat lain yang membaca "Al- Laata" sebagai Al-Laah apabila diwaqafkan. Maka, bagi membezakan sebutan Allah apabila diwaqafkan, semua lafaz jalalah ditulis dengan tanda luar daripada kebiasaan iaitu dengan baris satu (fathah) sahaja namun, mafhum buat para pembaca wajib membacanya dengan panjang 2 harkat.
Kerana ini, lafaz jalalah adalah sangat unik dan istimewa dari segi penulisan dan cara bacaannya mengikut Rasm Uthmani.
ٱللَّهُ
Apabila diwaqafkan ianya dibaca dengan 2, 4 atau 6 harkat sama seperti hukum mad 'Aaridh Lil Sukun.
Lafaz Jalalah terbahagi kepada 2 iaitu ;
1. Tebal (tafkhim) jika sebelumnya berbaris fathah (atas) atau dhammah (hadapan).
قَالَ ٱللَّهُ اللَّهُمَّ حُدُودُ ٱللَّهِ عَلَيْهُ ٱللَّهَ
2. Nipis (tarqiq) jika huruf sebelumnya berbaris di bawah (kasrah).
وَلِلَّهِ بِٱللَّهِ يَتَّقِ ٱللَّهَ مُعْجِزِى ٱللَّهِ
***

"Ikatlah ilmu dengan menuliskannya."

Nurul Fauzana
29 Ramadan 1441H
Wang Tepus

Wednesday, May 20, 2020

Siri Nota Kelas Mengaji (3) : Hukum Mim Mati Idgham Mislaini Syafawi & Wajibul Ghunnah.



Kredit : https://www.facebook.com/akademi.alkhalil.12

Sebenarnya baru semalam dok cari juga info ni. Gugel tak jumpa. Dok fikir tentang bonggol Ustazah Khadijah Gani cerita. Ada 2&4.
Macam terasa panjang betul nak dengung sampai 4. Tu yang dok cari juga.
Tup tup pagi ni Ustazah bincangkan isu ni. Katanya perlu kaji semula. Adakah betul panjang dengung sampai 4.
Nanti kena bentang next class.
Jadi, selepas cari di fb dan utiub, jumpa la beberapa video dan post.

1. Ustaz Asraff ada sebut dalam videonya masa terangkan tentang wajibul ghunnah. Ada dekat satu ayat tu, mim mati jumpa mim, ustaz sebut ni bukan wajibul ghunnah, tapi dengung juga 2 harakat.



2. Ada jumpa nota seperti di foto. Beza hukum wajibul ghunnah dan idghom mislaini. Siap ada ditanda ini bukan wajibul ghunnah.

Persoalannya, eh kan ada sabdu juga di mim kedua.
Jadi teruskan mencari, jumpa 1 live ni, ada disebut semasa idghom mislaini, sabdu itu menunjukkan ianya idghom kamil. Ting!
So make sense la, sebelum ini memang ada bincangkan dalam kelas, beza idghom naqis dan kamil di rasm Uthmani adalah pada tanda sabdunya!
Sel otak dah bersambung!

 
Jadi, kesimpulannya, di contoh foto, dibulatkan oren, surah An-Nisa ayat 1, hukum yang terlibat adalah Idghom Mislaini Syafawi sahaja (mim bertemu mim) dan bukannya wajibul ghunnah. Jadi panjangnya hanya 2 harkat. Mim bersabdu di mim kedua menunjukkan ianya adalah idghom kamil (dimasukkan huruf kedua dengan sempurna).

Alhamdulillah, banyak betul percambahan ilmu baharu. Sesuai dengan tema hari guru 2020, "Belajar demi ilmu, bina generasi baharu."

"Ikatlah ilmu dengan menuliskannya."

Nurul Fauzana
25 Ramadan 1441H
Wang Tepus

Siri Nota Kelas Mengaji (2) : Sujud Sajadah/Tilawah


Tilawah ertinya bacaan. Maka Sujud Tilawah bererti sujud bacaan iaitu sujud kerana membaca atau mendengar ‘ayat-ayat Sajadah’ dari pembacaan Al-Quran yang kebiasaannya boleh dikenali pada ayat-ayat tersebut dengan ditandai garis atau simbol kubah dan tertulis perkataan sajadah.

Bacaan sujud sajadah/tilawah :

َسَجَدَ وَجْهِىَ لِلَّذِى خَلَقَهُ وَصَوَّرَهُ وَشَقَّ سَمْعَهُ وَبَصَرَهُ بِحَوْلِهِ وَقُوَّتِهِ فَتَبَارَكَ اللهُ أَحْسَنُ الخَالقِين

“Aku bersujud kepada Allah yang menjadikanku, memberikan pendengaranku dan penglihatanku dengan Kekuasaan-Nya dan Kudrat-Nya. Maka Maha Suci Allah, Dialah sebaik-baik pencipta kejadian.”

JIKA TAK DAPAT SUJUD KERANA TERDESAK, APAKAH TEKNIK YANG DIAJARKAN OLEH ULAMA’?

Mengikut pendapat beberapa ulama Syafi’iyyah seperti Imam Nawawi dalam kitabnya Al Azkar & Ibnu Hajar Al Haitami, jika kita tidak dapat sujud maka boleh ditukarkan dengan membaca Tasbih, Tahmid, Tahlil dan Takbir.

سُبْحَانَ اللهِ وَالْحَمْدُ لِلهِ وَلآ اِلَهَ اِلاَّ اللهُ وَاللهُ اَكْبَرُ

“Maha suci Allah dan segala puji-pujian bagiNya, tiada tuhan yang berhak disembah melainkan Allah dan Allah itu Maha Besar”.

Sebenarnya baru tau juga. Jika waktu kita baca tengah tidak tutup aurat elok (perempuan terutamanya), jadi takkan nak terus angkat takbir dan sujud kan? Jadi Ustazah kata boleh baca seperti di atas di dalam hati.


Nota tambahan :

     1. Niat Sujud Tilawah
Kredit : https://shafiqolbu.wordpress.com/2012/08/16/sujud-tilawah-sajadah/
 “Daku melakukan Sujud Tilawah kerana Allah Ta‘ala”
     2.  Bertakbir
     3.  Sujud
     4.  Salam


"Ikatlah ilmu dengan menuliskannya."

Nurul Fauzana
Wang Tepus
15 Ramadan 1441H



Siri Nota Kelas Mengaji (1) : Hamzah Wasal




Hamzah wasal. Hamzah wasal ini di dalam Rasm Uthmani ditulis dengan huruf alif dan di atasnya ada seperti kepala hurus sad.

Contohnya di dalam Surah Yasin, ayat ke-21 di atas.

Kredit : Jom Tajwid

Dulu masa sekolah memang ada belajar, jika nak baca, lihat baris huruf ketiga. Seperti ayat di atas, huruf ketiga adalah huruf 'ba' dengan baris bawah. 

Formulanya,

Huruf ke-3 baris bawah, dibaca bermula baris bawah.
Huruf ke-3 baris atas, dibaca 
bermula baris bawah.
Huruf ke-3 baris depan, dibaca bermula baris hadapan.

Namun jika perkataan tersebut ada Alif Lam, mestilah dibaca baris atas, tanpa melihat baris huruf ketiga.

Ilmu tajwid tahap sekolah berhenti setakat ini. Apabila masuk kelas mengaji online sepanjang Ramadan ini, rupa-rupanya ada pengecualian. Bukan semua ikut formula baris huruf ketiga.





Jadi apa pengecualiannya? 

1. Dalam Rasm Uthmani, hanya ada 1 tempat hamzah wasal yang perlu dibimbangkan tersilap sebut. Iaitu pada Surah Al Ahkaf ayat 4. Boleh rujuk di foto, yang ada tulisan bergaris.
Kenapa nak bimbang? Sebab dalam ayat tu ada tanda ( ﺻﻠﮯ ) (sambung lebih baik) tapi boleh berhenti.
Jadi apabila kita sambung, ok sahaja sebutnya samawati' tuni.
Hanya apabila kita berhenti. Bagaimana nak baca pada permulaan perkataan ﭐئتُواني.

I'tuni?
U'tuni?
Dua dua bukan.

Yang sebenarnya bacaan jadi ii tu ni. ii 2 harkat. Huruf hamzah bertukar jadi ya.
ﭐئتُواني jadi إِيتُواني

2. Merujuk kepada foto yang ada dibulatkan perkataan, ini tidak perlu bimbang jika kita gunakan rasm Uthmani kerana perkataannya bersambung dengan yang sebelumnya.
Jika mengikut rasm Imla'ie, ada ﺻﻠﮯ, maka jika berhenti dan mahu mulakan, perkataan yang betul adalah Ismuhu. Ia termasuk dalam nota yang pernah dikongsikan sebelum ini.
Hamzah Wasol dibariskan dengan TIDAK berpandukan Huruf Ketiga.

[+] 7 kata nama (اسم) yang Hamzah Wasolnya di baris bawah.
> ابْنُ [al-Imran : 45]
> ابْنَتَ [at-Tahrim : 12]
> اثْنَيْنِ [Yaseen : 14]
> اثْنَيْنِ [an-Nisaa : 176]
> اسْمُ [al-Hajj : 40]
> امْرُؤٌا [an-Nisaa :176]
> امْرَأَة [an-Nisaa : 12]
> امْرَأَتُ [Yusof : 30]

[+] Empat kata kerja (فعل) yang Hamzah Wasolnya di baris bawah.
> ابْنُوا [al-Kahf :21]
> اقْضُوا [Yunus : 71]
> َامْضُوا [al-Hijr : 65]
> امْشُوا [Sad : 6]

3. Akhir sekali, bagaimana nak kenal Quran kita guna ni Rasm Uthmani atau Imla'ie?

Mudah sahaja, perhatikan lafzul jalalah, perkataan الله‎ jika ditulis baris biasa, ianya Uthmani. Jika ada alif kecil di atas, ianya Imla'ie (rujuk foto). Macam dulu kita kecil, ada Quran Majid, yang itu Ustazah kata rasm Imla'ie. Cuma perlu ingat masih perlu dibaca dua harakat walaupun tiada tanda alif kecil di atas الله‎.

Nak tahu lebih lanjut tentang kalimah unik Lafzul Jalalah 
الله‎ , baca di sini.

Kesimpulannya, jika masih baru belajar, gunakanlah Rasm Uthmani baik di telefon atau Quran fizikal. Di telefon, jika bukan Rasm Uthmani, guna untuk baca surah yang memang kita biasa baca. Atau macam saya guna untuk rujuk makna per kata dan mp3.

Oh ya, untuk bacaan Al Ahkaf ayat 4 di atas boleh rujuk mp3 Qari. Dengar guna Quran Melayu Apps memang sama dengan yang diajarkan Ustazah Khadijah Gani إِيتُواني

Terima kasih Ustazah dan rakan sekelas. Didoakan Allah berikan kesihatan yang baik buat Ustazah sekeluarga atas masa yang diluangkan mengajar kami.

Benarlah, makin banyak belajar, semakin banyak yang tidak tahu. Moga Allah ampunkan dosa kesalahan membaca sebelum ini.

"Ikatlah ilmu dengan menuliskannya."

Nurul Fauzana
Wang Tepus
13 Ramadan 1441H