Tak ada gambar usrah, kita letaklah gambar bersama anak-anak. Moga jadi tempat anak-anak boleh baca semula nanti apabila mama telah tiada :( |
Kenapa kita panggil kempen? Kerana nak sebarkan seramai-ramainya.
Untuk orang awam macam saya yang bukan latar belakang mengaji agama hanya pernah dulu sekolah agama maahad muar dari form 1 hingga form 3 memang rasa itu je la adui ilmu agamanya. Entah apalah disibukkan ya lepas spm dah tak upgrade ilmu agama semuanya fokus kepada akademik, kerja, kahwin, dapat anak. Argh betapa benar dunia ini hanya persinggahan.
Maka apabila Dr. Nadiyah berkempen dalam sesi usrah ini, eloklah dicatatkan dan terus cuba diamalkan sambil berkempen.
Apa itu Hamalatul Quran? Rasanya dah lama Dr. Nadiyah selaku FB Friends berkempen. Tapi biasalah, benda tu datang sikit-sikit. Buat sikit, tinggal, buat, cari balik, buat balik.
Apabila dibaca-baca dari gugel, hamalatul tu seperti wanita hamil. Lantas apa yang ada, adakah dikendong al-Quran itu ke mana-mana?
Ada 5 perkara yang dikongsikan, bagaimana orang biasa seperti saya mahu menjadi Hamalatul Quran.
1. Belajar Tafsiran Quran
Bukan belajar mentafsir al-Quran. Belajar daripada ulamak yang dah tafsir al-Quran. Fahami isi al-Quran dan mesejnya. Ini yang utama diamalkan.
Apabila bercerita tentang Tafsir Quran, biasa buku Tafsir semua kan Bahasa Arab. Ya ampun, celah mana nak faham. Lepas tu dah keluar Tafsir Hamka berbahasa Melayu/Indonesia. Beli terus tapi inilah kan manusia, suka yang senang. Beli senang, baca susah :P
Lepas tu Wawa kongsi daripada apa yang dipelajari. Dunia ini bersifat rendah. Benda yang rendah memang senang. Contoh, naik bukit dengan turun bukit mana senang? Mestilah turun kan. Ianya bersifat rendah. Benda rendah, senang. Tonton Netflix layan cerita korea, semua senang. Tengok je tak perlu buat apa. Mudah.
Belajar Tafsir? Duduk spend masa dengar Kuliah. Susah. Kerana ianya bersifat tinggi. Begitulah analoginya.
Menuntut ilmu juga begitu. Jangan terburu-buru. Nampak kelas itu nak masuk, kawan masuk kelas sekian nak masuk. Aplikasinya? Deep kan. Dapatlah dikaitkan dengan dunia bisnes, marketing yang mana awal dulu rasa semua benda nak masuk. Apabila belajar sekian sekian, adoi susahnya. Lepas tu nampak iklan itu, masuk lagi. Lepas tu, yang dikejar tak dapat, yang dikendong...
Jadi memang setahun dua dalam bisnes ni stop pergi kelas kelas. Cuba duduk dan aplikasikan mana yang dah belajar. PKP terus duduk diam cuba siapkan banyak benda akaun tertunggak. Lepas tu memang tahan diri daripada cuba masuk banyak kelas yang dah ada basic.
Itu dunia. Yang bekalan di akhirat ini lagilah berganda susahnya. Cuba follow satu satu guru sehingga habis, dan lepas itu cuba diamalkan. Dr. Nadiyah syorkan ikuti kuliah Maulana Hadi. Ada dalam telegram Kuliah Daurah Maulana Abdul Hadi. Biasanya Maulana akan buat di pondok semasa Ramadan. Lepas kuliah, kena diskus bersama rakan sekuliah.
Ini pun dah lama memang dah follow channel, tapi itulah kan, suka buat sikit, tinggal. Buat sikit, semangat, pulun, lepas tu tinggal.
Satu lagi analogi menarik tentang belajar Tafsiran Quran daripada yang benar adalah seperti jika kita tak tahu tentang sesuatu tempat tu, eloklah kita guna agen pelancongan. Agen bawa melawat A, kita pun layan je la ikut, dengar. Lepas tu apabila dah tahu selok belok, barulah kita boleh DIY. Takut jika kita belajar tak habis lagi dan ikut-ikutan, jadi sesat. Sesat kat negara orang pula tu. Seram kan? Bayangkan kalau sesat belajar ilmu agama ni, orang kata feeling is prayer, semua benda nak kena positif sebab itu doa, lepas tu kita memang ikut la. Dalam tak sedar jadi syirik. Nauzubillah. Dosa lain Allah boleh ampunkan. Dosa syirik? Yang lebih seram kita perasan benda tu betul ikut logik kita, tapi rupa-rupanya sesat dalam diam yang tak sedar.
Jadi lepas Usrah semalam terus masuk balik, muat turun balik satu surah sahaja iaitu Az Zumar. Surah yang dibaca semasa Usrah. Tak mahu jadi overwhelming nak buat semua. Itupun sampai hari ini belum habis dengar pun. Mutiara Al-Quran nota pelajar Daurah pun dah ada, untuk sokongan sambil dengar kuliah. Keluarkan balik, letak atas meja. Ya Allah berikan aku keberkatan masa!
Tambahan : Sedang mengikuti Tadabbur oleh Ustaz Abdul Muein di sini. Belum lengkap sepenuhnya. Ada surah yang dah lengkap. Mudah faham apabila setiap perkataan diterjemahkan dalam Bahasa Melayu. Memang bercinta juga nak fokus. Sejenis yang tak boleh duduk sahaja dengar. Jadi pasang headphone dan tangan buat kerja lain. Setiap 1-2 ayat pun dekat sejam. Tapi setiap kali nak 'give up', terngiang-ngiang kata Wawa, Al-Quran ini sifatnya tinggi, benda tinggi memang susah. Dunia ini sifatnya rendah, jadi banyak benda senang!
2. Belajar Arab Al Quran Perkata / Permakna Ayat
Apabila membaca al-Quran, sebagai orang yang bukan bahasa pertama kedua atau ketiga Bahasa Arab, hanya tahu Sobahal Khoir Sobahannur Kaifa Haluka, maka wajarlah diperuntukkan masa untuk baca tafsiran sama ada perkata atau per ayat. Baca terjemahan. Sedikit sebanyak ini membantu apabila dibaca ayat al-Quran, sel-sel otak akan berhubung dan dari situ diharapkan sedikit sebanyak dapat membantu kekhusyukan solat dan seangkatan dengannya.
Ini pun seperti biasa dah pernah buat, tapi tinggal.
Bercerita tentang tinggal, analogi Wawa lagi menakutkan.
Syaitan tu apabila kita meninggalkan al-Quran, mereka datang menerkam kita. Bayangkan jika kita tekan butang skrin Netflix, nak tengok cerita korea yang penuh dengan nilai kemasyarakatan katanya, syaitan datang menerkam. Wow terkam ok. Seram pula. Dari semalam tak tekan Netflix lagi ni, huhuhu.
Ok begitulah impaknya apabila kawan kau bercerita siap dengan gaya terkam :D
3. Belajar Tajwid dan Makhraj
Ok yang ini memang diakui sejak habis sekolah begitu sahajalah mutunya. PKP hari tu dapat belajar sekejap dengan Ustazah Khadijah Ghani, bahagia. Lepas tu adalah belajar dengan kawan sekejap, lepas tu tinggal. Ni masa usrah dimulai dengan semuka Al Quran, sedikit sebanyak dapat belajar. Makhraj ro memang betul sukar walaupun dah boleh angkat lidah tapi apabila bersabdu, nak stay lidah tu kat atas, the struggle is real uols :D
Tapi kan Allah dah janji, yang belajar dan 'merangkak', dapat dua pahala. Begitulah cara kita pujuk hati dan 'trick' otak supaya rajinlah belajar.
Hari Rabu pun dah ada sertai kelas dengan Kak Zai Al-Ameen, cuma banyak ghoibah daripada muncul. Hehehe. Selalunya sebab line tak kuat dok Wang Tepus ni, semua loading. Satu lagi kadang rebah dah awal konon kepenatan. Gitulah.
Satu lagi yang Wawa kongsi, ada kawannya tanya, "Kak Wa sehari baca Quran berapa muka?"
Dalam hati, adui nak cuba baca 2 muka pun sehari, ada hari sampai tak baca, sampai lupa dah sampai mana baca, begitu teruk amalan sendiri.
"Cuba Kak Wa baca sehari 10 muka, mesti tak sempat dah nak buat benda lain".
Lepas tu fikir betul juga kan, ini letak target 2 muka je, lepas tu tak dapat, dapat lah 0. Hahaha. Ini kalau target 10 muka, paling kurang dapatlah 2 muka kot. Teringat dulu letak KPI berjoging 10 km seminggu. Memang pulun buat lah, dapatlah sebulan dua istiqamah. Apabila masuk 2021, kena mula kerja pagi jaga anak-anak di Akademi, memang tak dapat buat. Singkatkan jadi 4 km untuk hari pun dah mula sayup sayup. Hihihihi.
Hasil perbincangan, cuba kalau susah rasa 10 muka, ulang bacaan yang sama tu 5 kali supaya apabila baca akan lagi cepat dan lagi lancar. Jadi masa tu akan lagi jimat dan kelancaran tu bertambah. Gitu sekali kami bincang. Hahaha. Semua otak sepesen sama suka mengelat hehehehe. Efektif lebih utama kan kan kan?
4. Hafazan
Hafazan ini akan menggamkan semua apa yang kita belajar di langkah 1, 2 dan 3. Jadi apabila semuanya dalam dada kita tak bergantung masa kita dengan kena duduk pegang mushaf. Biasanya proses tadabbur ni kita kata, baca Quran lihat alam. Hafazan ini akan bantu 'decode' semula. Tengok alam, ingat ayat Allah.
Oh indahnya jika dapat sampai ke sini kan. Tengok alam dapat kaitkan semula.
Teringat doa ini yang lama tak diamalkan,
اللَّهُمَّ ارْزُقْنَا فَهْمَ النَّبِيِّينَ وَحِفْظَ المُرْسَلِينَ وإلْهَامَ المَلاَئِكَةِ المُقَرَّبِينَ فِي عَافِيَةٍ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ
“Wahai Tuhanku, kurniakanlah kami kefahaman para Nabi dan hafazan para Rasul, serta ilham daripada para Malaikat yang hampir dengan-Mu, kurniakanlah kami kesihatan wahai Tuhan yang Maha Pengasih.”
5. Praktikkan
Bagaimana nak bawa apa yang dipelajari dalam hidup. Belajar buat belajar buat dan ajarkan. Jika kita nak tunggu sempurna baru nak ajar dan kongsi memang tak tahulah bila boleh kan. Waktu itu mungkin kudrat kita dah tak sekuat sekarang. Sekarang boleh taip laju, takyah tengok papan kekunci, mata masih belum rabun dekat lagi.
Jadi kita tuliskan dulu di sini, kempenkan, walaupun belum buat sepenuhnya 1-5 ini, moga jadi sebagai salah satu usaha yang dipandang oleh Yang Maha Penyayang.
Satu lagi yang menarik untuk dikongsikan bagaimana Al-Quran ini sebenarnya akan basuh jiwa kita secara berlapis-lapis. Semakin kita ulang, semakin kita akan nampak isi dalamnya. Macam Dr. Nadiyah kongsikan, apabila mula baca surah Yusuf nampak baiknya Nabi Yusuf. Lama-lama baca, nampak pula sisi adik beradik Nabi Yusuf. Adakah aku macam adik beradik yang suka dengki. Atau lebih teruk lagi adakah seperti Isteri Al-Aziz? Oh tidak. Dibaca lagi semakin banyak ibrahnya yang mendidik jiwa.
Biasanya pada mula surah Yusuf ni, baca nak anak kacak. Ha ha ha. It's okay, keep on reading. You'll see the different perspective later, insya-Allah (cakap pada diri sendiri).
Begitulah sedikit sebanyak perkongsian usrah semalam. Dah malam baru siap coretan ini. Moga kesibukanku 'mengikat ilmu' yang sedikit ini menjauhkan hati daripada benda-benda yang bersifat rendah. Amin.
"Ikatlah ilmu dengan menuliskannya..."
Nurul Fauzana
Wang Tepus
8.57 pm
No comments:
Post a Comment