Thursday, February 11, 2021

Usrah Jitra 4 : Puji-pujian Hanya Untuk Allah


Subhanallah. Pemandangan suatu hari dulu di Wang Tepus.

"Ketakjuban kita dan keindahan yang memukau menyebakan minda kita melayang-layang dan memudahkan syaitan menusuk 'jarumnya' untuk membayangkan zat Allah, lantas kita perlu sucikan Allah daripada segala bentuk bayangan minda yang salah. Juga untuk memasakkan dalam jiwa kita sekalipun kita takjub pada alam, Allah yang lebih layak untuk kita kagumi." Subhanallah, Maha Suci Allah. 


Alhamdulillah. Usrah minggu lepas kami mulakan dengan membaca Surah Ghafir.

Allah Subhanahu Wa Ta'ala berfirman:


يَعْلَمُ خَآئِنَةَ الْاَ عْيُنِ وَمَا تُخْفِى الصُّدُوْرُ

"Allah mengetahui pengkhianatan (penyelewengan dan ketiadaan jujur) pandangan mata seseorang, serta mengetahui akan apa yang tersembunyi di dalam hati."

(QS. Ghafir 40: Ayat 19)

Selalu kan dengar penyakit 'ain'. Antara yang dibincangkan adalah berkaitan bagaimana kadang-kadang ada yang akan rasa 'tak sihat' apabila banyak share tentang diri sendiri di media sosial. 

Sambil tulis semula nota ni, buat carian di web, jumpa di web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan,

Al-Hafiz Ibnu Hajar al-Asqalani pula berkata: “Maknanya ialah orang yang ditimpa bahaya kerana sesuatu yang telah Allah SWT tetapkan ketika seseorang memandangnya, hakikatnya terjadi dengan takdir Allah SWT yang telah ditetapkan sebelumnya, bukan sesuatu yang baru sahaja diciptakan oleh orang yang memandang terhadap yang dipandang.”

Penyakit ‘ain ialah penyakit yang disebabkan oleh pandangan mata yang disertai sifat iri atau rasa takjub terhadap apa yang dipandang. Ianya boleh terjadi sama ada dari orang yang dengki atau orang yang dicintai, dari orang yang jahat atau orang yang soleh.

Al-Hafiz Ibnu Hajar berkata: “‘Ain adalah pandangan hasad daripada tabiat yang buruk yang boleh menyebabkan mudarat pada orang yang dipandangnya.”

Beliau turut berkata: “‘Ain boleh terjadi dengan rasa takjub walaupun tanpa ada sifat iri dan hasad, (boleh juga terjadi) walaupun daripada orang yang mencintai dan (walau) daripada seorang yang soleh (tanpa disengajakan).” (Lihat Fath al-Bari, 10/203-205)

Sebagai orang yang suka sangat share gambar anak sendiri dan anak orang di FB, rasa 'dush' juga la. Selain satu 'seram' kena penyakit ain ni (nauzubillah), lagi bimbang diri sendiri yang menyebabkan orang lain sakit. Sebab kalau hasad dengki tu satu (astaghfirullah), perasaan takjub juga boleh menyebabkan orang lain kena.  

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abi Umamah bin Sahl bin Hunaif, beliau berkata: Amir bin Rabi’ah melewati Sahl bin Hunaif ketika dia sedang mandi, lalu Amir berkata: “Aku tidak melihat seperti hari ini, kulit yang lebih mirip (keindahannya) dengan kulit wanita yang dipingit.” Tidak berapa lama kemudian Sahl terjatuh, lantas beliau dibawa kepada Nabi SAW, lalu dikatakan: “Selamatkanlah Sahl yang sedang terbaring sakit.” Baginda SAW bersabda: “Siapa yang kamu curigai telah menyebabkan ini?” Mereka berkata: “Amir bin Rabi’ah.” Baginda SAW bersabda:

عَلاَمَ يَقْتُلُ أَحَدُكُمْ أَخَاهُ ، إِذَا رَأَى أَحَدُكُمْ مِنْ أَخِيهِ مَا يُعْجِبُهُ ، فَلْيَدْعُ لَهُ بِالْبَرَكَةِ

Maksudnya“Kenapakah salah seorang daripada kamu membunuh saudaranya? Seharusnya apabila salah seorang daripada kamu melihat sesuatu pada diri saudaranya yang menakjubkan, hendaklah dia mendoakan keberkatan untuknya.”

Kemudian Baginda SAW meminta air, lalu menyuruh Amir untuk berwudhu’. Amir mencuci wajahnya, kedua tangannya sampai ke siku, dua lututnya dan bahagian dalam kainnya. Nabi SAW memerintahkannya untuk menyiramkan (bekas air wudhuknya) kepada Sahl. Sufyan menyebut, Ma’mar berkata, daripada al-Zuhri: “Baginda SAW memerintahkannya untuk menyiramkan air dari arah belakangnya.”

Riwayat Ibn Majah (2828), al-Nasa’ie (10036)

Ini antara kisah yang dikongsikan oleh Puan A. Kisah sahabat memuji sahabat.

Teringat selalu suka melihat kecantikan kulit kawan. Yelah tengok kawan cantik mesti nak tahu 'rahsia'. Tengok dia pakai MariKei la, tepek itu ini la, berjus itu ini la. Aduh nak cantik juga tapi malas. Ha ha ha. 

Jadi bagaimana sebenarnya cara kita nak puji kawan tanpa dengan sengaja menyebabkan kawan terkena penyakit ain ni.

1. Mulakan pujian dengan menyebut Masya-Allah.

Gugel lebih lanjut untuk lebih jelas. 

Erti Masya Allah. Secara harafiah ertinya "Apa yang dikehendaki oleh Allah, maka hal itulah yang terjadi".

Daripada pembacaan, penggunaannya adalah untuk perkara yang baik-baik. Cuma adakalanya kita terbiasa dengan ikut-ikutan budaya. Masya-Allah nak jadi apa ko ni. Dah jadi dikaitkan dengan perkara buruk. Sepatutnya, masya-Allah diucapkan semasa kita kagum melihat kuasa Allah pada benda atau sesuatu hal.

2. Sebagai orang yang menerima pujian, adakalanya terdetik juga rasa bangga. Yelah orang puji, jadi nak tolak rasa macam eh ko ni orang puji, kang kecik hati orang puji. Tapi nanti nampak bangga berlebihan pula walhal selalunya sebagai orang kena puji tak rasa apa pun. Tulisan cantik, orang puji, tapi kita rasa eh macam cakar ayam je tulisan aku ni, ramai lagi orang tulisan cantik (ini dah jadi tak bersyukur ke apa pula kan). Jadi jalan mudah, sebut Alhamdulillah. 

Puan A pun ada kongsi, ada orang akan puji abah beliau, anak elok semua Ustaz buat macam mana. Kira anak-anak menjadi. Jawapan senang, Alhamdulillah, Allah bagi. Mudah. Simple. 

Sebab kadang-kadang kita nak tolak orang puji tapi kang kita justify macam-macam eh berlebihan pula menolaknya. Sampai kadang-kadang nanti orang puji tu pula kecil hati. Yelah, dia cakap benda baik kat kita, kita pula macam salahkan dia puji macam-macam. Gitulah. Jadi jalan mudah, kembalikan pada Allah. Bercakaplah baik atau diam. Bukan bercakaplah benar atau diam. Orang cakap baik, kita pun balaslah dengan baik sekadarnya, wallahu a'lam.

3. Apabila terima nikmat, bersyukur.

Dari Aisyah radhiyallahu ‘anhuma, Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam ketika melihat (mendapatkan) sesuatu yang dia sukai, beliau shallallahu ‘alaihi wa sallam mengucapkan, 

الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِى بِنِعْمَتِهِ تَتِمُّ الصَّالِحَاتُ

‘Segala puji hanya milik Allah yang dengan segala nikmatnya segala kebaikan menjadi sempurna.’ Dan ketika beliau mendapatkan sesuatu yang tidak disukai, beliau shallallahu ‘alaihi wa sallam mengucapkan,

الْحَمْدُ لِلَّهِ عَلَى كُلِّ حَالٍ

‘Segala puji hanya milik Allah atas setiap keadaan’.” (HR. Ibnu Majah. Syaikh Al Albani mengatakan hadits ini hasan)


Ok baru perasan apabila tulis nota ni balik, selalu tulis الْحَمْدُ لِلَّهِ عَلَى كُلِّ حَالٍ. Ingatkan macam ok je lah, syukur atas segalanya. Ingat frasa tu guna untuk bersyukur. Rupa-rupanya itu ayat apabila mendapat sesuatu yang tidak disukai. Ok lepas ini kena ubah.

4. Berlindung Dari Terkena Penyakit Ain (dari laman web Pejabat Mufti Wilayah)

Berusaha berlindung daripada penyakit ain adalah dibolehkan serta ia tidak menafikan konsep tawakkal. Ini kerana tawakkal adalah bergantung kepada Allah SWT disertai dengan melakukan 
asbab perkara yang diharuskan atau diperintahkan dengannya.

Berlindung kepada Allah SWT merupakan pencegahan terbaik daripada terkena penyakit ‘ain malah daripada segala mara bahaya. Nabi SAW memperlindungkan al-Hasan dan al-Husin R.Anhuma sepertimana dalam hadith Ibn Abbas R.Anhuma, Baginda SAW bersabda:


أُعِيذُكُمَا بِكَلِمَاتِ اللهِ التَّامَّةِ مِنْ كُلِّ شَيْطَانٍ وَهَامَّةٍ ، وَمِنْ شَرِّ كُلِّ عَيْنٍ لاَمَّةٍ

Maksudnya: Aku memperlindungkan kamu berdua dengan kalimat-kalimat Allah yang maha sempurna daripada syaitan, binatang berbisa dan mata yang dengki.”

Riwayat al-Nasa’ie (7679), Abu Daud (4737),
Ibn Majah (3525), dan al-Tirmizi (2060)

5. Menyebut ayat Quran  هٰذَا مِنْ فَضْلِ رَبِّيْ apabila menerima pujian juga antara salah satu cara yang boleh dibuat oleh penerima bagi mengelakkan rasa takjub kepada diri sendiri.

Allah Subhanahu Wa Ta'ala berfirman:

قَا لَ الَّذِيْ عِنْدَهٗ عِلْمٌ مِّنَ الْـكِتٰبِ اَنَاۡ اٰتِيْكَ بِهٖ قَبْلَ اَنْ يَّرْتَدَّ اِلَيْكَ طَرْفُكَ ۗ فَلَمَّا رَاٰ هُ مُسْتَقِرًّا عِنْدَهٗ قَا لَ هٰذَا مِنْ فَضْلِ رَبِّيْ ۗ لِيَبْلُوَنِيْٓءَاَشْكُرُ اَمْ اَكْفُرُ ۗ وَمَنْ شَكَرَ فَاِ نَّمَا يَشْكُرُ لِنَفْسِهٖ ۚ وَمَنْ كَفَرَ فَاِ نَّ رَبِّيْ غَنِيٌّ كَرِيْمٌ

"Berkata pula seorang yang mempunyai ilmu pengetahuan dari Kitab Allah: Aku akan membawakannya kepadamu dalam sekelip mata! Setelah Nabi Sulaiman melihat singgahsana itu terletak di sisinya, berkatalah ia: Ini ialah dari limpah kurnia Tuhanku, untuk mengujiku adakah aku bersyukur atau aku tidak mengenangkan nikmat pemberianNya. Dan (sebenarnya) sesiapa yang bersyukur maka faedah syukurnya itu hanyalah terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang tidak bersyukur (maka tidaklah menjadi hal kepada Allah), kerana sesungguhnya Tuhanku Maha Kaya, lagi Maha Pemurah."

(QS. An-Naml 27: Ayat 40)

Beginilah serba sedikit yang dibincangkan. Banyak lagi sebenarnya dibincangkan, cuma cukuplah dituliskan intisari yang penting sebagai ingatan buat penulis yang menaip khususnya.

"Ikatlah ilmu dengan menuliskannya..."

Nurul Fauzana
Wang Tepus
12 Februari 2021


No comments:

Post a Comment