Thursday, March 18, 2021

Nota Buat Anakku : Belajar Kendiri



Beberapa hari kebelakangan ini ada menonton di utiub berkaitan Language Learning. Seorang wanita Lydia Machovas ada berkongsi di TedTalk berkaitan Rahsia Mempelajari Sesuatu Bahasa. Beliau merupakan seorang Polyglot iaitu boleh bertutur dengan lancar beberapa bahasa. 

4 rahsia yang dikongsikan ialah :

1. Find enjoyment. Cari cara yang kita suka. Antara pemerhatian beliau apabila berada di kalangan polyglots adalah terdapat pelbagai cara mereka belajar, namun hasil akhirnya tetap sama, iaitu mereka dapat bertutur dengan fasih di dalam bahasa yang mereka pilih. Beliau boleh lihat mereka teruja setiap kali berkongsi teknik belajar.

Apa yang kita suka pastinya tak sama dengan apa yang orang lain suka. Seperti saya secara peribadi, suka menaip. Mungkin disebabkan ada kemahiran menaip yang diajarkan sejak kecil. Jadi menaip di skrin adalah sesuatu yang amat saya sukai. 

Ada yang suka menulis nota dengan pen warna-warni. Ada yang suka melukis. Ada yang suka bercakap, buatlah video untuk berkongsi apa yang kita sedang belajar. Malah, ada yang tidak suka bercakap dengan orang, bercakaplah dengan diri sendiri menggunakan bahasa yang kita sedang pelajari. Mesej utamanya, buatlah apa sahaja cara yang membuatkan kita rasa mahu belajar dan belajar lagi. Make it fun!

2. Methods

Apabila belajar bahasa atau apa jua ilmu, pasti ada method yang sudah lama diamalkan oleh orang lain dan berkesan. Cuba cari cara yang berkesan untuk orang yang berjaya dan pelajari methods yang digunakan. Dalam video yang lain, ada method yang digunakan oleh beliau dalam mempelajari bahasa baru iaitu The Goldlist Method. 

Contohnya dalam mengajar anak kecil membaca, ada Kaedah Fonik Gabung Bunyi, ada kaedah tradisional mengeja dan banyak lagi kaedah yang telah terbukti. Tapi sejauh mana kita sebagai tenaga pengajar mahu mendalami kaedah tersebut dan mengaplikasikannya, kita ada hak memilih. Jika kita percaya dengan Kedah Fonik Gabung Bunyi, kita dalami caranya, ikut langkah demi langkah yang diajarkan oleh pengasasnya. 

Jika ada isu, cari cara dan solusinya. Seperti mana tiada satu kaedah yang terbukti berkesan 100%, tidak perlu habiskan  masa berdebat kerana setiap orang ada perspektif masing-masing dan memandang sesuatu isu melalui pengalaman masing-masing. Kita teruskan dengan apa kita percaya dan jangan bazirkan masa kita dengan sesuatu yang akhirnya menyesakkan dada.

3. System

"Can you wake up 15 minutes earlier?"
"Can you listen to the podcast while driving or doing housechores?"

Menarik betul persoalan yang dikemukakan oleh Lydia ini kerana ianya sememangnya benda yang berulang-ulang telah kita dengar oleh seseorang yang berjaya. Berjaya menghafal al-Quran, berjaya mengemas rumah dan macam-macam lagi kejayaan. 

Cuba nak buat tu adakalanya ahhhhh malasnya. Tengok netflik dan tidur adalah lebih mengasyikkan he he he. 

Begitulah beza orang yang berjaya. Ianya sunnatullah. Hukum alam. Tidak kira Muslim atau bukan, asalkan mereka mengikut hukum alam, mereka akan dapat. Begitulah kita boleh lihat bagaimana orang Jepun dipandang mempunyai disiplin yang tinggi. Sunnatullah yang diikuti.

Namun persoalannya, adakah hati mereka tenang? Apakah mereka dapat mencari tempat bergantung harap apabila datangnya ujian? Di sinilah pula adanya konsep syariatullah. Wahyu yang memandu kita di saat ditimpa pelbagai benda. Walaupun kita tidak ada kawan, tidak ada keluarga, kita ada Allah.

Keperluan memenuhi sunnatullah dan syariatullah inilah yang dituntut oleh Islam. Hanya mengamalkan syariatullah tetapi hukum alam tidak diikuti, maka lahirlah  sesuatu yang kita lihat pada luarannya memenuhi tuntutan tetapi apa yang dibuat tidak serupa apa yang sepatutnya. Ketidakseimbangan. 

Jadi, persoalannya, can you wake up 15 minutes earlier to do whatever you want to learn? Be it memorize new surah or learn a new recipe? Adanya sistem ini membantu kita menyusun masa kita dalam kehidupan seharian tanpa kita terasa perlunya kita mencari masa tambahan.

Sebagai muslim, masa solat adalah terbaik dijadikan sebagai 'waktu rehat'. Susun jadual kita di antara waktu solat tersebut. Jadi tidaklah kita terkejut tiba-tiba dah azan kerja tak siap lagi, dan kita jadikan alasan untuk terus duduk di depan telefon atau laptop untuk menyiapkan kerja. Ini sebut pada diri sendiri yang masih 'mengejar masa'. Menaip memanglah mudahkan? Nak buat seperti yang ditaip ini amatlah memerlukan kekuatan. Moga Allah mudahkan urusan kita untuk mengenal keutamaan di dalam hidup yang berbaki ini wahai anakku!

4. Patience

"It's not possible to learn a language within 2 months, but it is definitely possible to make a visible improvement in 2 months if you learn in small chunks everyday in a way that you enjoy."

Ini perkara yang memang diulang-ulang tetapi sejauh mana kita mahu mengambil iktibar daripada orang yang sudah berjaya melakukannya?

Dalam video lain pula, satu perkara yang paling menarik tentang konsep BELAJAR KENDIRI ini ialah bagaimana seorang pelajar mengharapkan seorang guru itu boleh memindahkan apa yang ada di dalam 'kepala' seorang guru seakan-akan pemindahan menggunakan 'usb drive' daripada satu peranti kepada satu peranti.

Walhal hakikatnya, seorang pelajar itu perlu melakukan perkara-perkara yang disebut di langkah-langkah 1-4 di atas untuk memperoleh hasilnya. Ini boleh dilihat daripada kemalasan pelajar untuk membuat kerja rumah, hanya membuat kerja rumah 5 minit sebelum kelas seterusnya.

Sebab itulah kita boleh lihat ada yang sudah beli 'threadmill' tetapi akhirnya hanya dijadikan tempat gantung tuala. Sudah beli 'slow juicer' mahal-mahal tetapi akhirnya beli sahaja jus di kedai, sudah beli 'air fryer' tetapi akhirnya digunakan untuk masak 'nugget' sahaja. Ha ha ha. Tak cakap kat orang naaaa, cakap kat diri sendiri.

Begitulah wahai anakku. 

Tidak terhad kepada belajar bahasa sahaja. Hatta belajar agama Islam yang telah kau warisi turun-temurun ini juga memerlukan usaha gigih kerana kau tidak akan dapat mengimani dan mengamalkannya jika tiada usaha untuk memperbaiki dan menambah ilmumu dari sehari ke sehari. 

Teruslah bergerak, walau kau terpaksa merangkak. Kerana Allah itu Maha Adil dan Dia akan pandang usahamu!

"Ikatlah ilmu dengan menuliskannya..."


Mama 
Menulis Di Meja Makan Di Rumah Wang Tepus 
(Kipas rosak di meja belajar)

19 Mac 2021
Setahun sudah PKP 2020 berlalu


Thursday, March 11, 2021

Usrah Jitra 9 : Israk Mikraj Permulaan Syariat Solat


Sambil mendengar kuliah Israk Mikraj Ustaz Shaari di Tadabbur Centre, tulislah sedikit ilmu yang didapati sepanjang Usrah Jitra ke-8 hari ini.

Sambung membaca surah Fussilat, dapatlah juga kami menghabiskan 2 halaman beserta terjemahan. Kali ini terjumpa satu hukum tajwid yang merupakan bacaan istimewa di dalam al-Quran iaitu Tashil.

Antara yang menarik analogi dikongsikan Wawa tentang membeli gula-gula dengan duit yang haram, masih manis. Begitu juga jika kita mendakwa sesuatu tanpa asbab itu berjaya sebagai sesuatu yang benar. Contoh paling mudah, kita gunakan essential oil Abundance, berduyun-duyun masuk rezeki, maka belilah jom, pasang, akan jadi magnet rezeki :(

Sesuatu yang berlaku di luar lingkungan asbab, akan menjadikan kita percaya kepada kuasa selain Allah dan inilah yang dikatakan syirik. Inilah benda yang paling bahaya sebab kita pun tahu syirik inilah dosa yang tak diampunkan oleh Allah. Lebih sedih jika kita buat sebab kita tak sedar, sebab kejahilan kita sendiri.

***
Israk Mikraj. Kenapa agaknya kita cuti dan apakah penghayatan yang dapat dikongsikan bersama anak-anak? Jika ditanya kepada Ali, dia boleh ingat Muallimah cerita tentang minta diskaun solat. Adakah itu sahaja?

Peristiwa Israk Mikraj ini tercatat dalam surah Al-Israa’ ayat 1 (Al-Quran:17:1). Surah An-Najm (al Quran:53:13-18) juga menceritakan peristiwa ini.

“Maha Suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haram (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Jerusalem), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” ( Al-Quran, Surah Al Israa’: 1)

Antara perkongsian rakan usrah berkaitan solat.

1. Khusyuk ini adalah kewajipan dan ianya bermula sebelum kita mula berdiri di atas sejadah.

2. Bagaimana kita menjalankan kehidupan seharian kita akan menentukan khusyuk di dalam solat.

3. Adakah kita menggunakan data Albab (di dalam Al-Quran) dan data Absar (lihat fenomena alam) dan menyusun surah apakah kali ini yang akan kita persembahkan untuk 'bercakap-cakap' dengan Allah dalam setiap solat?

4. Bagaimana tabiat kita ketika solat dan selepas solat boleh menunjukkan tahap iman kita. Adakah kita bergegas-gegas mahu bangun setelah tamat solat?

5. Solat ini Allah beri kita pilih nak solat di mana, bila waktunya (di dalam waktu yang ditetapkan). Hanya perlu wuduk dan angkat takbir. Wuduk pula sebagai salah satu cara nak putuskan dengan urusan dunia. Bercakap dengan diri sendiri, tanpa penghayatan, lepas wuduk tengok tv sat (drama jam 7), iklan baru lari solat. Itu dululah kannnnnnnnnnnn. Tapi tu la tv dah tak ada, telefon pula. Sambil tunggu waktu, tangan telefon. Lepas solat, capai telefon. Lepas tu sibuk nak cari khusyuk :(

6. Dikongsikan juga oleh rakan usrah, Surah Tur ayat 21;

وَالَّذِينَ آمَنُوا وَاتَّبَعَتْهُمْ ذُرِّيَّتُهُم بِإِيمَانٍ أَلْحَقْنَا بِهِمْ ذُرِّيَّتَهُمْ وَمَا أَلَتْنَاهُم مِّنْ عَمَلِهِم مِّن شَيْءٍ كُلُّ امْرِئٍ بِمَا كَسَبَ رَهِينٌ

Dan orang-orang yang beriman, dan yang anak cucu mereka mengikuti mereka dalam keimanan, Kami hubungkan anak cucu mereka dengan mereka, dan Kami tiada mengurangi sedikitpun dari pahala amal mereka. Tiap-tiap manusia terikat dengan apa yang dikerjakannya.

Untuk anak-anak menjadi soleh, ibu bapanya perlu soleh dahulu. Kadang-kala banyak sangat angan-angan nak anak itu ini, tapi terlupa nak membaiki diri. 

7. Alim ulama pada zaman dahulu akan sedih apabila tidak mati ketika dalam solat. Solat itu adalah kerehatan bagi Nabi Muhammad SAW dan sahabat. Bukan setelah habis solat rasa lega. Tetapi dalam solat itu sendiri. Boleh lihat bagaimana Nabi Muhammad beribadat sehingga bengkak kakinya. Penuh khusyuk dan penghayatan. Ketenteraman perlu dicari sebelum mula solat.

Bercakap dengan diri sendiri lagi, apabila kadang-kadang solat sendiri, anak-anak pun tak ada dekat sekeliling, itu pun masih penuh dengan hal dunia yang teringat. Kadang tu nak salahkan anak bising kat keliling, tapi bukan itu punca utamanya tak khusyuk :(

Sambil menaip ni masih dengar lagi Ustaz Shaari. Apa yang penting kita ni kena faham apa itu Islam supaya kita tak takut dengan taktik musuh. Tambah Ustaz, mari jadikan peristiwa Israk' Mikraj tidaklah sekadar sebagai sambutan. Bagaimana nak berikan kualiti dan makna dalam sambutan?

Kata Ustaz, berikan makna baru dalam sambutan, mengembalikan kita dalam surah Israk itu sendiri. 110 ayat. Pintu gerbang surah Al-Kahfi. Penuh dengan pesanan hidup di akhir zaman. Zionis menguasai pelbagai bidang, jadi bagaimana usaha kita sebagai orang Islam? Tadabbur ayat 1-7 Surah Israk itu sendiri. 

Nampaknya nak kena sambung dengan Tadabbur di Ghulam Dakwah. Surah Israk antara tadabbur yang dah lengkap 1 surah. Sibukkan diri dengan perkara-perkara 'tinggi' walaupun ujian mengantuk, malas tu menjelma. 

Teringat Dr. Sholihah pesan dalam salah satu kuliah di utube, sekadar mampu usaha tu bukan macam sekadarnya sahaja, maksudnya kita dah cuba sampai betul-betul penat, barulah kita kata, inilah semampu kita. Bukan ala kadar je cuba. Tertidur sekali dengar kuliah, ulang balik. Benda baik memang susah. Tengok cerita lagho, tv netfik, utiub memang mudah, tadah mata sahaja. Tak perlu hadam, tak perlu tulis nota, tak perlu berfikir lebih-lebih. Ala macam tengok The Home Edit la, Konmari la, tengok dokumentari memang senang la, semangat nak buat. Lepas tu pusing tengok rumah sendiri, he he he :D

Moga Allah berikan kemanisan solat buat kita semua sebelum menutup mata untuk selama-lamanya. Amin amin amin Ya Rabbal Alamin.

"Ikatlah ilmu dengan menuliskannya..."

Nurul Fauzana
Wang Tepus
10.3.2021

Monday, March 8, 2021

Usrah Jitra 8 : Pentingnya Niat & Apakah Tazyin Syaitan

 



New Village, Tepus Money

Usrah kali ini kami membaca secara bergilir ayat al-Quran dan terjemahan Surah Fussilat seorang setengah muka, bermula ayat 21 sehingga 28. Alhamdulillah minggu ini 4 orang dapat hadir, dapatlah 2 muka dibaca.

Apabila setiap minggu dibuat Usrah, memang rasa sekejap betul. Kononnya lepas habis Usrah nak baca la sikit tentang surah Fussilat ni, supaya ada juga ilmu baru nak dikongsi, tapi tiba-tiba eh dah hari Rabu. Nampak sangat apalah yang disibukkan dengan urusan dunia ni kan. Mungkinkah ini yang dikatakan apabila engkau mahu sangat dunia, akan disibukkanlah sehingga kelihatan betul-betul sibuk :(

Jadi sebelum tiba Usrah berikutnya, marilah kita menggerakkan jari-jemari, mencatatkan serba sedikit perkongsian rakan-rakan agar di saat diri ini lupa, ada tulisan yang mampu mengingatkan kembali, insya-Allah.

1. Pentingnya niat dalam kehidupan. Mengambil ibrah daripada kisah ibu Saidatina Maryam, mewakafkan anak ke jalan Allah.

Allah Subhanahu Wa Ta'ala berfirman:


اِذْ قَا لَتِ امْرَاَ تُ عِمْرٰنَ رَبِّ اِنِّيْ نَذَرْتُ لَـكَ مَا فِيْ بَطْنِيْ مُحَرَّرًا فَتَقَبَّلْ مِنِّيْ ۚ اِنَّكَ اَنْتَ السَّمِيْعُ الْعَلِيْمُ

"(Ingatlah) ketika isteri Imran berkata: Tuhanku! Sesungguhnya aku nazarkan kepadaMu anak yang ada dalam kandunganku sebagai seorang yang bebas (dari segala urusan dunia untuk berkhidmat kepadaMu semata-mata), maka terimalah nazarku; sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui."

(QS. Ali 'Imran 3: Ayat 35)

فَلَمَّا وَضَعَتْهَا قَا لَتْ رَبِّ اِنِّيْ وَضَعْتُهَاۤ اُنْثٰى ۗ وَا للّٰهُ اَعْلَمُ بِمَا وَضَعَتْ ۗ وَ لَيْسَ الذَّكَرُ كَا لْاُ نْثٰى ۚ وَاِ نِّيْ سَمَّيْتُهَا مَرْيَمَ وَاِ نِّيْۤ اُعِيْذُهَا بِكَ وَذُرِّيَّتَهَا مِنَ الشَّيْطٰنِ الرَّجِيْمِ

"Maka apabila ia melahirkannya, berkatalah ia: Wahai Tuhanku! Sesungguhnya aku telah melahirkan seorang anak perempuan (sedang yang aku harap-harapkan ialah anak lelaki), - dan Allah memang mengetahui akan apa yang dilahirkannya itu - dan memanglah tidak sama anak lelaki dengan anak perempuan; dan bahawasanya aku telah menamakannya Maryam, dan aku melindungi dia dengan peliharaanMu, demikian juga zuriat keturunannya, dari godaan syaitan yang kena rejam (yang dikutuk dan disingkirkan)."

(QS. Ali 'Imran 3: Ayat 36)

Teringat tadi ada melihat utiub Ustaz Abdul Muein berkaitan cita-cita ibu bapa.




Cita-cita tertinggi ibu bapa adalah supaya anak-anaknya menjadi anak soleh. Satu perkataan yang ditekankan ialah مُحَرَّرًا (bebas). Apa itu bebas? Bebas daripada cinta dunia. Tak kiralah anak itu jadi doktor, jurutera atau apa sahaja, asalkan dia jadi soleh, pastinya dia akan menjadi anak yang kita sebagai ibu bapa mahukan. 

Walaupun dihajatkan di dalam hati anaknya lelaki, kelahiran Saidatina Maryam ke dunia ini menunjukkan bahawa tidak kira anak lelaki atau perempuan, ada peranannya. Semasa Usrah 2 ada dikongsikan berkaitan peranan wanita seperti yang disebut di dalam al-Quran.

2. Lantas apa lagi yang ada dengan niat? Saidina Ali juga dikatakan pernah berhenti membunuh musuh apabila musuh itu meludah wajahnya. Ditanyakan kenapa. Jawabnya, di saat wajahnya diludah, beliau jadi marah dan tidak mahu membunuh itu disebabkan marah dan bukan kerana Allah. Allahu Akbar.

Ini yang hari-hari marah anak sebab nafsu amarah apa cerita :(

TAZYIN SYAITAN

Tazyin? Apa itu tazyin? Memperindahkan atau memperelokkan perbuatan yang jahat supaya manusia merasakan maksiat yang dilakukan bukanlah suatu perkara yang keji. Bahkan, manusia akan merasakan perbuatan dosa tersebut mendatangkan kebaikan kepadanya.

3. Ada terbaca yang syaitan ini beranak pinak dan tidak mati. Jadi bayangkanlah manusia yang mati ini pun sudah berapa juta, apatahlagi syaitan yang tidak mati. Dalam Al-Quran ada disebutkan tentang syaitan ini, surah Al-Hijr ayat 39-40 dan surah Al-A'raf ayat 16-17.

Allah Subhanahu Wa Ta'ala berfirman:

قَا لَ رَبِّ بِمَاۤ اَغْوَيْتَنِيْ لَاُ زَيِّنَنَّ لَهُمْ فِى الْاَ رْضِ وَلَاُ غْوِيَـنَّهُمْ اَجْمَعِيْنَ ۙ 

"Iblis berkata:  Wahai Tuhanku! Kerana Engkau telah menjadikan daku sesat, (maka) demi sesungguhnya aku akan memperelokkan segala jenis maksiat kepada Adam dan zuriatnya di dunia ini, dan aku akan menyesatkan mereka semuanya,"

(QS. Al-Hijr 15: Ayat 39)

اِلَّا عِبَا دَكَ مِنْهُمُ الْمُخْلَصِيْنَ

"Kecuali di antara zuriat-zuriat Adam itu hamba-hambaMu yang dibersihkan dari sebarang syirik."

(QS. Al-Hijr 15: Ayat 40)

قَا لَ فَبِمَاۤ اَغْوَيْتَنِيْ لَاَ قْعُدَنَّ لَهُمْ صِرَا طَكَ الْمُسْتَقِيْمَ ۙ 

"Iblis berkata: Oleh kerana Engkau (wahai Tuhan) menghukum daku tersesat (maka) demi sesungguhnya aku akan mengambil tempat menghalangi mereka (dari menjalani) jalanMu yang lurus;"

(QS. Al-A'raf 7: Ayat 16)

ثُمَّ لَاٰ تِيَنَّهُمْ مِّنْۢ بَيْنِ اَيْدِيْهِمْ وَمِنْ خَلْفِهِمْ وَعَنْ اَيْمَا نِهِمْ وَعَنْ شَمَآئِلِهِمْ ۗ وَلَا تَجِدُ اَكْثَرَهُمْ شٰكِرِيْنَ

"Kemudian aku datangi mereka, dari hadapan mereka serta dari belakang mereka, dan dari kanan mereka serta dari kiri mereka; dan Engkau tidak akan dapati kebanyakan mereka bersyukur."

(QS. Al-A'raf 7: Ayat 17)

Masa Wawa kongsi rujukan dalam al-Quran ni tak baca betul-betul maksudnya. Apabila dah buat nota ni, haaa seram ke tak seram.

Liciknya syaitan ni, dia pandai nak ikut keadaan kita. Katakan kita ni dah mula pergi Usrah, elok dah tu. Lepas tu kita dok ajak kawan pi, dia kata dia sibuk la, bizi la. Terus hati kita ni menghukum, "ha tu la orang ajak takmo, lepas tu sibuk nak complaint macam-macam hati susah la gelisah la..."

Nampak tak permainan syaitan? Astaghfirullah azim. أعوذ بالله من الشيطان الرجيم. Aku berlindung kepada Allah daripada syaitan yang direjam. 

Begitulah. Lintasan itu akan memang selalu ada. Sebab kita ini hanya manusia. Bezanya apa kita buat dengan lintasan itu, menidakkan atau membenarkannya? 

Ada lagi tentang syaitan ni.

Allah Subhanahu Wa Ta'ala berfirman:


وَقَيَّضْنَا لَهُمْ قُرَنَآءَ فَزَيَّنُوْا لَهُمْ مَّا بَيْنَ اَيْدِيْهِمْ وَمَا خَلْفَهُمْ وَحَقَّ عَلَيْهِمُ الْقَوْلُ فِيْۤ اُمَمٍ قَدْ خَلَتْ مِنْ قَبْلِهِمْ مِّنَ الْجِنِّ وَا لْاِ نْسِ ۚ اِنَّهُمْ كَا نُوْا خٰسِرِيْنَ

"Dan Kami adakan untuk mereka teman-teman rapat (dari jin dan manusia), lalu teman-teman itu memperhiaskan kepada mereka (fahaman-fahaman sesat) mengenai perkara-perkara dunia yang ada di hadapan mereka, serta perkara-perkara akhirat yang ada di belakang mereka; dan (dengan sebab itu) tetaplah hukuman (azab) atas mereka bersama-sama dengan umat umat (yang sesat) dari jin dan manusia yang terdahulu daripada mereka. Sesungguhnya mereka semuanya adalah golongan yang rugi (bawaan hidupnya)."

(QS. Fussilat 41: Ayat 25)

Berkait dengan jin dan syaitan ini, imbas kembali tempoh hari ada berbincang tetapi belum dituliskan, ikhtiar berkait dengan rawatan sihir menggunakan jin sehingga dikatakan boleh nampak bentuk jin yang datang dan sebagainya (walaupun claim menggunakan ayat al-Quran) adalah ditegah sama sekali. Analoginya seperti kita membayar 'gangster' untuk beri perlindungan kepada kita daripada diganggu. 

Apa yang paling ditakuti, amalan meminta perawat menghalau jin ini boleh menjadikan kita syirik kerana percaya kepada kuasa selain Allah. Dosa yang kita buat tanpa sedar atas asbab kejahilan kita dengan tipu daya syaitan. Dosa besar lain Allah boleh ampunkan apabila kita bertaubat, akan tetapi dosa syirik? Nauzubillahi min zalik. 

Biasanya apabila mula terjebak dengan bantuan perawat ini, katakan 1 kes selesai. Kemudian tiba-tiba kejadian berulang atau tanda-tanda lain ada gangguan, kita akan terus tergerak nak minta tolong 'tengokkan' lagi. Ala-ala kita demam terus ambil ubat. Memang kita tahu ubat tu asbab sahaja. Dibolehkan. Hanya apabila pertama kali berkesan, kita gembira, syukur sebab Allah beri. Kali kedua sakit, terus kita ambil ubat tu gulp gulp telan, wah ubat ni berkesan. Lupa terus Allah yang beri. 

Begitulah kadang benda ni macam automatik tanpa sedar. Moga Allah bantu kita dalam perkara ini. Jika ternampak tegurlah dan jika kita kadang terlupa, ada yang akan tegur kita juga. Wallahu a'lam.

Jadi, bagaimana nak bantu diri kita ini dalam melawan tipu daya syaitan?

Contohi Nabi Ibrahim a.s. Sentiasa hidupkan deria mata untuk melihat kebesaran Allah melalui fenomena alam dan telinga juga dihidupkan dengan mendengar ayat-ayat Al-Quran. Apabila qalbu tenang, baru dada (sodru) lapang. 

Dada yang lapang ini antaranya apabila tidak diisi dengan kecintaan kepada dunia. Nampak kawan beli emas, aduh terasa nak juga. Kawan beli gajet baru, nak juga. Selagi tak dapat tu dia punya teringat. Ni tak mengata orang, diri sendiri pun macam tu hai. Lepas tu justifikasikan dengan pelbagai justifikasi. Hakikatnya, dada sempit :(

Bercerita tentang dada lapang, teringat dulu Puan Amni ada berkongsi tentang kenapa kita suka lihat benda yang tersusun, lapang. Kita ini asalnya dari syurga. Indah tak tergambar. Jadi apabila kita nampak benda yang lapang, kemas tak serabut dengan barang merata, hati kita ini rindu pada rumah kita di syurga. Begitulah analoginya.

No wonder apabila pergi Ikea aduhai lapangnya, minimalisnya, seronok melihatnya. Tapi balik rumah walaupun beli barang Ikea tak lapang macam kat Ikea. Ha ha ha! Jangan lupa dekat Ikea ada pekerja yang tugasnya mengemas dan memastikan dekorasi tip top. Dekat rumah kita? Haaa, ada makhluk kenit yang selalu buat sepah. Pantang emak tidur sekejap, dah jadi macam kapal karam, hailah anak. 

Tapi itulah, apabila sibuk kemas rumah, anak buat sepah mula la nak marah. Nak-nak lagi 5 minit ada orang nak sampai rumah. Moga Allah kurniakan syurga Firdaus buat kita semua yang nanti tak perlu kita sibuk berkemas dah :( .... amin amin ya rabbal 'alamin.

Alhamdulilah. 

الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِى بِنِعْمَتِهِ تَتِمُّ الصَّالِحَاتُ Segala puji hanya milik Allah yang dengan segala nikmatnya segala kebaikan menjadi sempurna.

Banyak lagi yang dibincangkan, namun ini yang sempat dicoretkan. Moga yang sedikit ada manfaatnya.

"Ikatlah ilmu dengan menuliskannya..."

Nurul Fauzana
Wang Tepus

Wednesday, March 3, 2021

Nota Buat Anakku : Buku Seni Berfikir Yang Hilang

Sebelum ini dah tulis panjang lebar refleksi hasil bacaan buku ni. Di kesempatan yang ada, nak tulis semula 6 Cabang Ilmu sebagaimana disenaraikan oleh Syeikh Yusuf Al-Qaradawi. Ilmu yang perlu dapat digarap oleh setiap Muslim supaya kita ada asas dalam setiap cabang ilmu tersebut.

Apa yang menariknya, selama ini saya anggap ada ilmu yang bukan tugas kita untuk kuasai. Biar yang alim dan ambil bidang agama yang belajar. Namun, apabila ada konflik, kita pilih ikut orang atau kita ikut kefahaman kita?

Sebelum dituliskan lebih lanjut tentang pecahan ilmu, kenapa agaknya kita kena kuasai 6 cabang ilmu ini?

UMAT DAKWAH

Perkataan dakwah ini nampak eksklusif. Siapa saya nak dakwah orang, diri sendiri pun masih 'ke laut'.

Menurut Syeikh Yusuf Al-Qaradawi, umat Islam ialah umat dakwah. Semua perlu buat kerja-kerja dakwah.

Jika kita rasakan perkataan dakwah itu terlalu 'tinggi'. Cuba pandang sekeliling kita. Siapakah kita. Ibu? Kakak? Isteri? Suami? Anak? Adik? Guru? Ketua Unit di pejabat?

Peranan kita adalah mendidik, mengajar, menasihat dan menegur. Itulah dakwah! - begitulah tulisan Ustaz Hasrizal dalam buku Seni Berfikir Yang Hilang.

Maka nampaklah ringan sedikit kerja dakwah ni kan?

Jadi, bagaimana nak dakwah, Mesti ada bekalan kan?

Ada 3 bekalan dakwah :

  • Bekalan iman
  • Bekalan akhlak
  • Bekalan ilmu
***

Berbalik kepada 6 ilmu yang perlu dikuasai, 

Menurut Kitab Thaqafah Al-Daiyyah karangan Syeikh Yusuf Al-Qaradawi. 6 ilmu yang digariskan untuk dikuasai oleh semua Muslim.

1. Ilmu Agama (Al-Thaqafah Al-Dinniyah)

  • a) Al-Quran
    • Belajar membaca dengan bertajwid
    • Melihat bagaimana Allah memberikan penjelasan tentang sesuatu 
    • Menghafaz sebanyak mungkin ayat-ayat Al-Quran kalau tidak keseluruhannya, supaya hafazan itu sentiasa berfungsi dalam kepala sebagai sandaran
    • 5 ciri Al-Quran (Wahyu, tidak sulit, mukjizat, khulud dan syumul)
    • Ulum Quran
    • Tafsir Quran (setiap individu berhak memahami Al-Quran, bukan mentafsir sendiri)
  • b) Al-Sunnah (syari'atullah)
    • Al-Quran memerlukan kepada al-sunnah lebih daripada al-sunnah memerlukan Al-Quran. Bukan kerana tidak lengkap, sebaliknya lebih kepada menjelaskan kehendak Al-Quran.
  • c) Fiqh dan usul Fiqh
    • Berasal dari perkaraan fa-qi-ha, iaitu yang bermaksud al-fahmu al-daqiq, pemahana yang terperinci lagi mendalam
    • Hukum-hakam asas dalam ibadat, munakahat dan muamalat
    • Ilmu untuk menjawab hukum terhadap perkara-perkara yang kita lakukan
  • d) Akidah
    • Meraikan pertanyaan generasi hari ini yang soalannya mungkin tidak pernah ditanyakan oleh orang zaman dahulu
    • Contoh : ada anak perempuan bertanya kepada Ustaz Hasrizal, mengapa Allah SWT tidak membenarkan kita melihat wajah-Nya. Soalan begini mestilah diusahakan untuk dijawab, tidak boleh menutupnya dengan menghalang dan melarang ia daripada ditanyakan
  • e) Tasawuf
    • Ilmu tingkah laku kita
    • Ilmu yang membimbing manusia untuk mendamaikan dua kecenderungan manusia iaitu kecenderungan jahat dan baik. Bagaimana memenangkan kebaikan atas kejahatan.
    • Saranan Sheikh Yusuf Al-Qaradawi : Karya Imam Ibn Qayyim Al-Jauziah
    • Saranan Ustaz Hasrizal : Iman Birgiv
    • Tasawuf yang dikemukakan oleh kedua-dua tokoh ini adalah tasawuf dan kesufian yang terikat dengan Al-Quran dan al-Sunnah, walaupun masih terdapat isu terpencil tentang status hadis-hadis yang digunakan oleh keduanya. 
    • Penekanan pentingnya ilmu Tasawuf secara praktikal dalam masa yang sama beriltizam dengan Al-Quran dan al-sunnah.
  • f) Sistem-sistem Islam (Al-Nizam Al-Islami)
    • Antaranya, sistem perundangan, sistem pertahanan, sistem politik, sistem kewangan
    • Ilmu ini paling terkebawah dari segi turutannya namun ilmu ini yang paling 'menyelerakan' untuk dibahaskan.

2. Ilmu Sejarah (Al-Thaqafah Al-Tarikhiyyah)

  • Sejarah menjelaskan segalanya. Orang Islam mesti menjadi orang yang menilai masa silamnya dalam mencari dan memerhatikan kebenaran.

3. Ilmu Sastera dan Bahasa (Al-Thaqafah Al-Adabiyyah Wa Al-Lughawiyyah)

  • a) Untuk memimpin pertuturan kita supaya selamat & sejahtera. Supaya kita bertutur dengan bahasa yang betul.
  • b) Memberi kesejahteraan dalam penyampaian dengan menggunakan bahasa yang betul, dapat difahami dan mesejnya jelas apabila disampaikan.

4. Ilmu Kemanusiaan (Al-Thaqafah Al-Insaniyyah)

  • 6 jenis iaitu :
    • al-nafs - psikologi (cadangan buku 40 Strategi Pendidikan Rasulullah SAW)
    • al-ijtima' - sosiologi/kemasyarakatan (Ibn Khaldun pengasas ilmu sosiologi)
    • al-iqtisad - ekonomi
    • al-falsafah - falsafah
    • al-akhlaq - etika/adab
    • sejarah (telah dibicangkan dalam 6 bab utama kerana ianya ilmu yang besar)

5. Ilmu Sains (Al-Thaqafah Al-'Ilmiyyah)

  • Peraturan Allah terbahagi dua iaitu syariatullah (revealed knowledge - melalui wahyu) dan sunatullah (required knowledge).

6. Ilmu Hal Ehwal Semasa (Al-Thaqafah Al-Waqi'iyyah)

  • a) Tahu apa yang berlaku di sekeliling kita
  • b) Get the required knowledge, to understand the current affairs
  • c) Fahami
    • realiti dunia Islam
    • realiti kuasa dunia yang mementang Islam
    • realiti agama-agama dunia semasa
    • realiti ideologi politik semasa
    • realiti gerakan-gerakan Islam sedunia
    • realiti aliran pemikiran yang bertentangan dengan Islam
    • realiti kumpulan yang menyimpang daripada Islam
    • realiti persekitaran domestik
  • d) Ambil tahu supaya kita tahu kita sedang duduk di dalam dunia yang bagaimana coraknya
  • e) Pengetahuan ini akan menjadi bekalan ilmu seorang pendakwah menyusun strategi dan pendekatan dakwah
  • f) Akhirnya, kita akan dapat kurangkan menyalahkan takdir dan ujian sebagai punca gagal berdakwah. Halakan kegagalan kepada diri sendiri yang kurang memahami realiti masyarakat, negara dan dunia lalu memilih cara berdakwah yang tidak saintifik.

Fuh, berasap juga otak ini apabila menyalin nota ringkas untuk mudah rujuk. Buku ini pun pinjam daripada kawan. Cadangnya nak pulang hari ini. Bukan apa, apabila pinjam, ada satu desakan untuk baca cepat dan hadamkan. Berbanding apabila beli, simpan dan akan berhabuk, kemudian beli buku lain pula :D

Begitulah, moga dipermudahkan urusan dakwah kita. Dakwah kepada anak, anak murid, adik beradik, rakan-rakan dan masyarat di sekeliling kita. Apa yang paling penting, apabila misi kita mahu dakwah, perlahan-lahan kita cuba perlengkapkan diri kita dengan ilmu. Masa yang Allah pinjamkan, kita tahu banyak lagi kita perlu gunakan ke tempat sepatutnya :(

Begitulah. Si penaip yang menaip ini pun bukanlah kerana diri ini sudah berjaya melawan hawa nafsu. Masih berperang setiap detik, masih berusaha menahan amarah, hatta mengajar anak mengaji pun boleh jadi singa :(

Boleh dapatkan buku Ustaz Hasrizal di web jejak tarbiah ntuk panduan lanjut. Kupasannya insya-Allah mudah difahami oleh orang kebanyakan yang sedang mencari-cari apa lagi hendak dibuat dengan masa yang diberikan oleh-Nya.

"Ikatlah ilmu dengan menuliskannya..."

Nurul Fauzana
4 Mac 2021
Akademi Kembara Bijak Jitra Kedah

Nota kaki : ada daftar jadi ejen buku Jejak Tarbiah tapi belum sempat lagi nak promo. Biasalah kalau ada buka ejen je kita daftar nak dapat buku murah he he he :D

Nota Buat Anakku : Refleksi Buku Seni Berfikir Yang Hilang

 SYARIATULLAH & SUNNATULLAH




Dulu pernah belajar teknik mendorong tingkah laku. Belajar skrip dan cara aplikasikan. Boleh nampak ada yang berjaya dan ada yang kurang berkesan. Dok fikir kenapa la tak berjaya, apa lagi nak diubah.
Sampai satu masa dapat belajar lagi satu ilmu berkaitan perkembangan anak, iaitu perlunya 'prompting' dalam mendidik anak kecil. Jika hanya bercakap sahaja seperti pujian, dorongan, itu baru 1 sisi.
Contohnya kita nak anak kemas mainan. Kita dok potpet mainan lepas main kemas. Anak angguk, senyum. Tak lama tu kita tengok mainan bertaburan atas lantai. Nak aplikasikan skrip memuji dan mendorong sahaja? Tak jadi. Tak jalan.
Prompting pula melibatkan kena pegang tangan anak, sambil buatlah aksi visual macam lirik mata ke buntang mata ke dan mulut sebut, kemas.
Ya, kadang memang anak tahu dah kemas tu apa tapi tak buat. Itu cerita lain, tapi ada anak yang masih 'blur' dan tak tahu perkataan 'kemas' tu apa. Dia ingat kemas tu apabila emak kata 'lepas main kemas' kena angguk dan cakap ok! 🥴🥴🥴
Setelah membaca buku Seni Berfikir Yang Hilang, dapatlah disambungkan sel-sel otak ni, ilmu prompting ni ibarat sunatullah. Ilmu yang dipelajari secara teknikal, how to. Sesiapa sahaja boleh berjaya jika ikut caranya.
Ibarat seorang yang menanam jagung, tak kiralah agama apa pun dia, jika dia ada ilmunya, bagaimana memilih benih yang baik, bagaimana cara tanam, berapa kali kena siram, bagaimana nak jaga serangga perosak, hasilnya dia akan dapat.
Berbanding orang yang acah-acah tanam, benih pun main order sahaja di shopi, lepas tanam tinggal dan berdoa sahajalah ia hidup dan tidak diserang serangga. Siram pun ikut sempat tak sahaja. Tak akan berjaya dapatkan hasil jagung seperti orang yang ada ilmu. Itulah sunattulah. Hukum alam.
Berbalik kepada ilmu teknik mendorong dan prompting ni, katakanlah seorang itu hanya belajar ilmu teknik mendorong (syariatullah) seperti saya. Buat buat ada tak jadi. Sebab apa, ilmu prompting (sunnatullah) tak ada. Ibarat orang yang menanam jagung acah-acah tadi.
Adakalanya orang yang ada ilmu prompting ni, dia buat dan aplikasikan memang jadi, anak boleh kemas. Cuma adakalanya dia rasa macam ada benda yang tak cukup. Ibarat orang yang tanam jagung dengan cara yang betul, dapat hasil berkilo-kilo, jual untung banyak. Tapi masih rasa tak cukup. Macam ada something missing. Dia ada ikut sunnatullah, hukum alam tanam jagung. Tapi adakah dia ikut syariatullah?
Kesimpulannya, perlu ada kedua-duanya untuk impak maksima. Syariah ikut tapi langgar sunnatullah pun tak boleh, begitu juga sebaliknya.
Begitu sekalilah take home message lepas baca buku Seni Berfikir Yang Hilang. Memang hilang dah seni berfikir apabila asyik buat benda sama je.
Nak kena tulis juga bagi clear otak ni. Ada orang kena bercakap untuk penuhi kuota. Ada orang kena menulis.
Hidup ini begitulah. Allah letak kita dalam perahu masing-masing. Tugas kita kayuh sekuatnya perahu kita.
Moga Allah bukakan memahami Al-Quran, kekuatan mengaplikasikan dan menyampaikan yang benar.
"Ikatlah ilmu dengan menuliskannya..."
Nurul Fauzana
Wang Tepus