Usrah kali ini kami membaca secara bergilir ayat al-Quran dan terjemahan Surah Fussilat seorang setengah muka, bermula ayat 21 sehingga 28. Alhamdulillah minggu ini 4 orang dapat hadir, dapatlah 2 muka dibaca.
Apabila setiap minggu dibuat Usrah, memang rasa sekejap betul. Kononnya lepas habis Usrah nak baca la sikit tentang surah Fussilat ni, supaya ada juga ilmu baru nak dikongsi, tapi tiba-tiba eh dah hari Rabu. Nampak sangat apalah yang disibukkan dengan urusan dunia ni kan. Mungkinkah ini yang dikatakan apabila engkau mahu sangat dunia, akan disibukkanlah sehingga kelihatan betul-betul sibuk :(
Jadi sebelum tiba Usrah berikutnya, marilah kita menggerakkan jari-jemari, mencatatkan serba sedikit perkongsian rakan-rakan agar di saat diri ini lupa, ada tulisan yang mampu mengingatkan kembali, insya-Allah.
1. Pentingnya niat dalam kehidupan. Mengambil ibrah daripada kisah ibu Saidatina Maryam, mewakafkan anak ke jalan Allah.
Allah Subhanahu Wa Ta'ala berfirman:
اِذْ قَا لَتِ امْرَاَ تُ عِمْرٰنَ رَبِّ اِنِّيْ نَذَرْتُ لَـكَ مَا فِيْ بَطْنِيْ مُحَرَّرًا فَتَقَبَّلْ مِنِّيْ ۚ اِنَّكَ اَنْتَ السَّمِيْعُ الْعَلِيْمُ
"(Ingatlah) ketika isteri Imran berkata: Tuhanku! Sesungguhnya aku nazarkan kepadaMu anak yang ada dalam kandunganku sebagai seorang yang bebas (dari segala urusan dunia untuk berkhidmat kepadaMu semata-mata), maka terimalah nazarku; sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui."
(QS. Ali 'Imran 3: Ayat 35)
فَلَمَّا وَضَعَتْهَا قَا لَتْ رَبِّ اِنِّيْ وَضَعْتُهَاۤ اُنْثٰى ۗ وَا للّٰهُ اَعْلَمُ بِمَا وَضَعَتْ ۗ وَ لَيْسَ الذَّكَرُ كَا لْاُ نْثٰى ۚ وَاِ نِّيْ سَمَّيْتُهَا مَرْيَمَ وَاِ نِّيْۤ اُعِيْذُهَا بِكَ وَذُرِّيَّتَهَا مِنَ الشَّيْطٰنِ الرَّجِيْمِ
"Maka apabila ia melahirkannya, berkatalah ia: Wahai Tuhanku! Sesungguhnya aku telah melahirkan seorang anak perempuan (sedang yang aku harap-harapkan ialah anak lelaki), - dan Allah memang mengetahui akan apa yang dilahirkannya itu - dan memanglah tidak sama anak lelaki dengan anak perempuan; dan bahawasanya aku telah menamakannya Maryam, dan aku melindungi dia dengan peliharaanMu, demikian juga zuriat keturunannya, dari godaan syaitan yang kena rejam (yang dikutuk dan disingkirkan)."
(QS. Ali 'Imran 3: Ayat 36)
Teringat tadi ada melihat utiub Ustaz Abdul Muein berkaitan cita-cita ibu bapa.
Cita-cita tertinggi ibu bapa adalah supaya anak-anaknya menjadi anak soleh. Satu perkataan yang ditekankan ialah مُحَرَّرًا (bebas). Apa itu bebas? Bebas daripada cinta dunia. Tak kiralah anak itu jadi doktor, jurutera atau apa sahaja, asalkan dia jadi soleh, pastinya dia akan menjadi anak yang kita sebagai ibu bapa mahukan.
Walaupun dihajatkan di dalam hati anaknya lelaki, kelahiran Saidatina Maryam ke dunia ini menunjukkan bahawa tidak kira anak lelaki atau perempuan, ada peranannya. Semasa Usrah 2 ada dikongsikan berkaitan peranan wanita seperti yang disebut di dalam al-Quran.
2. Lantas apa lagi yang ada dengan niat? Saidina Ali juga dikatakan pernah berhenti membunuh musuh apabila musuh itu meludah wajahnya. Ditanyakan kenapa. Jawabnya, di saat wajahnya diludah, beliau jadi marah dan tidak mahu membunuh itu disebabkan marah dan bukan kerana Allah. Allahu Akbar.
Ini yang hari-hari marah anak sebab nafsu amarah apa cerita :(
TAZYIN SYAITAN
Tazyin? Apa itu tazyin? Memperindahkan atau memperelokkan perbuatan yang jahat supaya manusia merasakan maksiat yang dilakukan bukanlah suatu perkara yang keji. Bahkan, manusia akan merasakan perbuatan dosa tersebut mendatangkan kebaikan kepadanya.
3. Ada terbaca yang syaitan ini beranak pinak dan tidak mati. Jadi bayangkanlah manusia yang mati ini pun sudah berapa juta, apatahlagi syaitan yang tidak mati. Dalam Al-Quran ada disebutkan tentang syaitan ini, surah Al-Hijr ayat 39-40 dan surah Al-A'raf ayat 16-17.
Allah Subhanahu Wa Ta'ala berfirman:
قَا لَ رَبِّ بِمَاۤ اَغْوَيْتَنِيْ لَاُ زَيِّنَنَّ لَهُمْ فِى الْاَ رْضِ وَلَاُ غْوِيَـنَّهُمْ اَجْمَعِيْنَ ۙ
"Iblis berkata: Wahai Tuhanku! Kerana Engkau telah menjadikan daku sesat, (maka) demi sesungguhnya aku akan memperelokkan segala jenis maksiat kepada Adam dan zuriatnya di dunia ini, dan aku akan menyesatkan mereka semuanya,"
(QS. Al-Hijr 15: Ayat 39)
اِلَّا عِبَا دَكَ مِنْهُمُ الْمُخْلَصِيْنَ
"Kecuali di antara zuriat-zuriat Adam itu hamba-hambaMu yang dibersihkan dari sebarang syirik."
(QS. Al-Hijr 15: Ayat 40)
قَا لَ فَبِمَاۤ اَغْوَيْتَنِيْ لَاَ قْعُدَنَّ لَهُمْ صِرَا طَكَ الْمُسْتَقِيْمَ ۙ
"Iblis berkata: Oleh kerana Engkau (wahai Tuhan) menghukum daku tersesat (maka) demi sesungguhnya aku akan mengambil tempat menghalangi mereka (dari menjalani) jalanMu yang lurus;"
(QS. Al-A'raf 7: Ayat 16)
ثُمَّ لَاٰ تِيَنَّهُمْ مِّنْۢ بَيْنِ اَيْدِيْهِمْ وَمِنْ خَلْفِهِمْ وَعَنْ اَيْمَا نِهِمْ وَعَنْ شَمَآئِلِهِمْ ۗ وَلَا تَجِدُ اَكْثَرَهُمْ شٰكِرِيْنَ
"Kemudian aku datangi mereka, dari hadapan mereka serta dari belakang mereka, dan dari kanan mereka serta dari kiri mereka; dan Engkau tidak akan dapati kebanyakan mereka bersyukur."
(QS. Al-A'raf 7: Ayat 17)
Masa Wawa kongsi rujukan dalam al-Quran ni tak baca betul-betul maksudnya. Apabila dah buat nota ni, haaa seram ke tak seram.
Liciknya syaitan ni, dia pandai nak ikut keadaan kita. Katakan kita ni dah mula pergi Usrah, elok dah tu. Lepas tu kita dok ajak kawan pi, dia kata dia sibuk la, bizi la. Terus hati kita ni menghukum, "ha tu la orang ajak takmo, lepas tu sibuk nak complaint macam-macam hati susah la gelisah la..."
Nampak tak permainan syaitan? Astaghfirullah azim. أعوذ بالله من الشيطان الرجيم. Aku berlindung kepada Allah daripada syaitan yang direjam.
Begitulah. Lintasan itu akan memang selalu ada. Sebab kita ini hanya manusia. Bezanya apa kita buat dengan lintasan itu, menidakkan atau membenarkannya?
Ada lagi tentang syaitan ni.
Allah Subhanahu Wa Ta'ala berfirman:
وَقَيَّضْنَا لَهُمْ قُرَنَآءَ فَزَيَّنُوْا لَهُمْ مَّا بَيْنَ اَيْدِيْهِمْ وَمَا خَلْفَهُمْ وَحَقَّ عَلَيْهِمُ الْقَوْلُ فِيْۤ اُمَمٍ قَدْ خَلَتْ مِنْ قَبْلِهِمْ مِّنَ الْجِنِّ وَا لْاِ نْسِ ۚ اِنَّهُمْ كَا نُوْا خٰسِرِيْنَ
"Dan Kami adakan untuk mereka teman-teman rapat (dari jin dan manusia), lalu teman-teman itu memperhiaskan kepada mereka (fahaman-fahaman sesat) mengenai perkara-perkara dunia yang ada di hadapan mereka, serta perkara-perkara akhirat yang ada di belakang mereka; dan (dengan sebab itu) tetaplah hukuman (azab) atas mereka bersama-sama dengan umat umat (yang sesat) dari jin dan manusia yang terdahulu daripada mereka. Sesungguhnya mereka semuanya adalah golongan yang rugi (bawaan hidupnya)."
(QS. Fussilat 41: Ayat 25)
Berkait dengan jin dan syaitan ini, imbas kembali tempoh hari ada berbincang tetapi belum dituliskan, ikhtiar berkait dengan rawatan sihir menggunakan jin sehingga dikatakan boleh nampak bentuk jin yang datang dan sebagainya (walaupun claim menggunakan ayat al-Quran) adalah ditegah sama sekali. Analoginya seperti kita membayar 'gangster' untuk beri perlindungan kepada kita daripada diganggu.
Apa yang paling ditakuti, amalan meminta perawat menghalau jin ini boleh menjadikan kita syirik kerana percaya kepada kuasa selain Allah. Dosa yang kita buat tanpa sedar atas asbab kejahilan kita dengan tipu daya syaitan. Dosa besar lain Allah boleh ampunkan apabila kita bertaubat, akan tetapi dosa syirik? Nauzubillahi min zalik.
Biasanya apabila mula terjebak dengan bantuan perawat ini, katakan 1 kes selesai. Kemudian tiba-tiba kejadian berulang atau tanda-tanda lain ada gangguan, kita akan terus tergerak nak minta tolong 'tengokkan' lagi. Ala-ala kita demam terus ambil ubat. Memang kita tahu ubat tu asbab sahaja. Dibolehkan. Hanya apabila pertama kali berkesan, kita gembira, syukur sebab Allah beri. Kali kedua sakit, terus kita ambil ubat tu gulp gulp telan, wah ubat ni berkesan. Lupa terus Allah yang beri.
Begitulah kadang benda ni macam automatik tanpa sedar. Moga Allah bantu kita dalam perkara ini. Jika ternampak tegurlah dan jika kita kadang terlupa, ada yang akan tegur kita juga. Wallahu a'lam.
Jadi, bagaimana nak bantu diri kita ini dalam melawan tipu daya syaitan?
Contohi Nabi Ibrahim a.s. Sentiasa hidupkan deria mata untuk melihat kebesaran Allah melalui fenomena alam dan telinga juga dihidupkan dengan mendengar ayat-ayat Al-Quran. Apabila qalbu tenang, baru dada (sodru) lapang.
Dada yang lapang ini antaranya apabila tidak diisi dengan kecintaan kepada dunia. Nampak kawan beli emas, aduh terasa nak juga. Kawan beli gajet baru, nak juga. Selagi tak dapat tu dia punya teringat. Ni tak mengata orang, diri sendiri pun macam tu hai. Lepas tu justifikasikan dengan pelbagai justifikasi. Hakikatnya, dada sempit :(
Bercerita tentang dada lapang, teringat dulu Puan Amni ada berkongsi tentang kenapa kita suka lihat benda yang tersusun, lapang. Kita ini asalnya dari syurga. Indah tak tergambar. Jadi apabila kita nampak benda yang lapang, kemas tak serabut dengan barang merata, hati kita ini rindu pada rumah kita di syurga. Begitulah analoginya.
No wonder apabila pergi Ikea aduhai lapangnya, minimalisnya, seronok melihatnya. Tapi balik rumah walaupun beli barang Ikea tak lapang macam kat Ikea. Ha ha ha! Jangan lupa dekat Ikea ada pekerja yang tugasnya mengemas dan memastikan dekorasi tip top. Dekat rumah kita? Haaa, ada makhluk kenit yang selalu buat sepah. Pantang emak tidur sekejap, dah jadi macam kapal karam, hailah anak.
Tapi itulah, apabila sibuk kemas rumah, anak buat sepah mula la nak marah. Nak-nak lagi 5 minit ada orang nak sampai rumah. Moga Allah kurniakan syurga Firdaus buat kita semua yang nanti tak perlu kita sibuk berkemas dah :( .... amin amin ya rabbal 'alamin.
Alhamdulilah.
الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِى بِنِعْمَتِهِ تَتِمُّ الصَّالِحَاتُ Segala puji hanya milik Allah yang dengan segala nikmatnya segala kebaikan menjadi sempurna.
Banyak lagi yang dibincangkan, namun ini yang sempat dicoretkan. Moga yang sedikit ada manfaatnya.
"Ikatlah ilmu dengan menuliskannya..."
Nurul Fauzana
Wang Tepus
No comments:
Post a Comment