Wednesday, March 3, 2021

Nota Buat Anakku : Buku Seni Berfikir Yang Hilang

Sebelum ini dah tulis panjang lebar refleksi hasil bacaan buku ni. Di kesempatan yang ada, nak tulis semula 6 Cabang Ilmu sebagaimana disenaraikan oleh Syeikh Yusuf Al-Qaradawi. Ilmu yang perlu dapat digarap oleh setiap Muslim supaya kita ada asas dalam setiap cabang ilmu tersebut.

Apa yang menariknya, selama ini saya anggap ada ilmu yang bukan tugas kita untuk kuasai. Biar yang alim dan ambil bidang agama yang belajar. Namun, apabila ada konflik, kita pilih ikut orang atau kita ikut kefahaman kita?

Sebelum dituliskan lebih lanjut tentang pecahan ilmu, kenapa agaknya kita kena kuasai 6 cabang ilmu ini?

UMAT DAKWAH

Perkataan dakwah ini nampak eksklusif. Siapa saya nak dakwah orang, diri sendiri pun masih 'ke laut'.

Menurut Syeikh Yusuf Al-Qaradawi, umat Islam ialah umat dakwah. Semua perlu buat kerja-kerja dakwah.

Jika kita rasakan perkataan dakwah itu terlalu 'tinggi'. Cuba pandang sekeliling kita. Siapakah kita. Ibu? Kakak? Isteri? Suami? Anak? Adik? Guru? Ketua Unit di pejabat?

Peranan kita adalah mendidik, mengajar, menasihat dan menegur. Itulah dakwah! - begitulah tulisan Ustaz Hasrizal dalam buku Seni Berfikir Yang Hilang.

Maka nampaklah ringan sedikit kerja dakwah ni kan?

Jadi, bagaimana nak dakwah, Mesti ada bekalan kan?

Ada 3 bekalan dakwah :

  • Bekalan iman
  • Bekalan akhlak
  • Bekalan ilmu
***

Berbalik kepada 6 ilmu yang perlu dikuasai, 

Menurut Kitab Thaqafah Al-Daiyyah karangan Syeikh Yusuf Al-Qaradawi. 6 ilmu yang digariskan untuk dikuasai oleh semua Muslim.

1. Ilmu Agama (Al-Thaqafah Al-Dinniyah)

  • a) Al-Quran
    • Belajar membaca dengan bertajwid
    • Melihat bagaimana Allah memberikan penjelasan tentang sesuatu 
    • Menghafaz sebanyak mungkin ayat-ayat Al-Quran kalau tidak keseluruhannya, supaya hafazan itu sentiasa berfungsi dalam kepala sebagai sandaran
    • 5 ciri Al-Quran (Wahyu, tidak sulit, mukjizat, khulud dan syumul)
    • Ulum Quran
    • Tafsir Quran (setiap individu berhak memahami Al-Quran, bukan mentafsir sendiri)
  • b) Al-Sunnah (syari'atullah)
    • Al-Quran memerlukan kepada al-sunnah lebih daripada al-sunnah memerlukan Al-Quran. Bukan kerana tidak lengkap, sebaliknya lebih kepada menjelaskan kehendak Al-Quran.
  • c) Fiqh dan usul Fiqh
    • Berasal dari perkaraan fa-qi-ha, iaitu yang bermaksud al-fahmu al-daqiq, pemahana yang terperinci lagi mendalam
    • Hukum-hakam asas dalam ibadat, munakahat dan muamalat
    • Ilmu untuk menjawab hukum terhadap perkara-perkara yang kita lakukan
  • d) Akidah
    • Meraikan pertanyaan generasi hari ini yang soalannya mungkin tidak pernah ditanyakan oleh orang zaman dahulu
    • Contoh : ada anak perempuan bertanya kepada Ustaz Hasrizal, mengapa Allah SWT tidak membenarkan kita melihat wajah-Nya. Soalan begini mestilah diusahakan untuk dijawab, tidak boleh menutupnya dengan menghalang dan melarang ia daripada ditanyakan
  • e) Tasawuf
    • Ilmu tingkah laku kita
    • Ilmu yang membimbing manusia untuk mendamaikan dua kecenderungan manusia iaitu kecenderungan jahat dan baik. Bagaimana memenangkan kebaikan atas kejahatan.
    • Saranan Sheikh Yusuf Al-Qaradawi : Karya Imam Ibn Qayyim Al-Jauziah
    • Saranan Ustaz Hasrizal : Iman Birgiv
    • Tasawuf yang dikemukakan oleh kedua-dua tokoh ini adalah tasawuf dan kesufian yang terikat dengan Al-Quran dan al-Sunnah, walaupun masih terdapat isu terpencil tentang status hadis-hadis yang digunakan oleh keduanya. 
    • Penekanan pentingnya ilmu Tasawuf secara praktikal dalam masa yang sama beriltizam dengan Al-Quran dan al-sunnah.
  • f) Sistem-sistem Islam (Al-Nizam Al-Islami)
    • Antaranya, sistem perundangan, sistem pertahanan, sistem politik, sistem kewangan
    • Ilmu ini paling terkebawah dari segi turutannya namun ilmu ini yang paling 'menyelerakan' untuk dibahaskan.

2. Ilmu Sejarah (Al-Thaqafah Al-Tarikhiyyah)

  • Sejarah menjelaskan segalanya. Orang Islam mesti menjadi orang yang menilai masa silamnya dalam mencari dan memerhatikan kebenaran.

3. Ilmu Sastera dan Bahasa (Al-Thaqafah Al-Adabiyyah Wa Al-Lughawiyyah)

  • a) Untuk memimpin pertuturan kita supaya selamat & sejahtera. Supaya kita bertutur dengan bahasa yang betul.
  • b) Memberi kesejahteraan dalam penyampaian dengan menggunakan bahasa yang betul, dapat difahami dan mesejnya jelas apabila disampaikan.

4. Ilmu Kemanusiaan (Al-Thaqafah Al-Insaniyyah)

  • 6 jenis iaitu :
    • al-nafs - psikologi (cadangan buku 40 Strategi Pendidikan Rasulullah SAW)
    • al-ijtima' - sosiologi/kemasyarakatan (Ibn Khaldun pengasas ilmu sosiologi)
    • al-iqtisad - ekonomi
    • al-falsafah - falsafah
    • al-akhlaq - etika/adab
    • sejarah (telah dibicangkan dalam 6 bab utama kerana ianya ilmu yang besar)

5. Ilmu Sains (Al-Thaqafah Al-'Ilmiyyah)

  • Peraturan Allah terbahagi dua iaitu syariatullah (revealed knowledge - melalui wahyu) dan sunatullah (required knowledge).

6. Ilmu Hal Ehwal Semasa (Al-Thaqafah Al-Waqi'iyyah)

  • a) Tahu apa yang berlaku di sekeliling kita
  • b) Get the required knowledge, to understand the current affairs
  • c) Fahami
    • realiti dunia Islam
    • realiti kuasa dunia yang mementang Islam
    • realiti agama-agama dunia semasa
    • realiti ideologi politik semasa
    • realiti gerakan-gerakan Islam sedunia
    • realiti aliran pemikiran yang bertentangan dengan Islam
    • realiti kumpulan yang menyimpang daripada Islam
    • realiti persekitaran domestik
  • d) Ambil tahu supaya kita tahu kita sedang duduk di dalam dunia yang bagaimana coraknya
  • e) Pengetahuan ini akan menjadi bekalan ilmu seorang pendakwah menyusun strategi dan pendekatan dakwah
  • f) Akhirnya, kita akan dapat kurangkan menyalahkan takdir dan ujian sebagai punca gagal berdakwah. Halakan kegagalan kepada diri sendiri yang kurang memahami realiti masyarakat, negara dan dunia lalu memilih cara berdakwah yang tidak saintifik.

Fuh, berasap juga otak ini apabila menyalin nota ringkas untuk mudah rujuk. Buku ini pun pinjam daripada kawan. Cadangnya nak pulang hari ini. Bukan apa, apabila pinjam, ada satu desakan untuk baca cepat dan hadamkan. Berbanding apabila beli, simpan dan akan berhabuk, kemudian beli buku lain pula :D

Begitulah, moga dipermudahkan urusan dakwah kita. Dakwah kepada anak, anak murid, adik beradik, rakan-rakan dan masyarat di sekeliling kita. Apa yang paling penting, apabila misi kita mahu dakwah, perlahan-lahan kita cuba perlengkapkan diri kita dengan ilmu. Masa yang Allah pinjamkan, kita tahu banyak lagi kita perlu gunakan ke tempat sepatutnya :(

Begitulah. Si penaip yang menaip ini pun bukanlah kerana diri ini sudah berjaya melawan hawa nafsu. Masih berperang setiap detik, masih berusaha menahan amarah, hatta mengajar anak mengaji pun boleh jadi singa :(

Boleh dapatkan buku Ustaz Hasrizal di web jejak tarbiah ntuk panduan lanjut. Kupasannya insya-Allah mudah difahami oleh orang kebanyakan yang sedang mencari-cari apa lagi hendak dibuat dengan masa yang diberikan oleh-Nya.

"Ikatlah ilmu dengan menuliskannya..."

Nurul Fauzana
4 Mac 2021
Akademi Kembara Bijak Jitra Kedah

Nota kaki : ada daftar jadi ejen buku Jejak Tarbiah tapi belum sempat lagi nak promo. Biasalah kalau ada buka ejen je kita daftar nak dapat buku murah he he he :D

No comments:

Post a Comment