Dah 2 kali dengar semasa usrah tetapi belum tulis secara elok lagi. Semalam dengar kali kedua, kena ambil juga masa menuliskannya.
1. ZIINATUN (Perhiasan)
Allah Subhanahu Wa Ta'ala berfirman:
اَلْمَا لُ وَ الْبَـنُوْنَ زِيْنَةُ الْحَيٰوةِ الدُّنْيَا ۚ وَا لْبٰقِيٰتُ الصّٰلِحٰتُ خَيْرٌ عِنْدَ رَبِّكَ ثَوَا بًا وَّخَيْرٌ اَمَلًا
"Harta benda dan anak pinak itu, ialah perhiasan hidup di dunia; dan amal-amal soleh yang kekal faedahnya itu lebih baik pada sisi Tuhanmu sebagai pahala balasan, dan lebih baik sebagai asas yang memberi harapan."
(QS. Al-Kahf 18: Ayat 46)
Contohnya anak waktu umur baya Nuh Luqman ni, sebut mama mama dan buat muka comel. Pegang pipi mama sebut, mey mey (comel). Lepas tu mama sibuk snap gambar letak dekat FB. Memang betullah perhiasan dunia.
2. QURROTA A’YUN (Penyejuk Hati)
Allah Subhanahu Wa Ta'ala berfirman:
وَا لَّذِيْنَ يَقُوْلُوْنَ رَبَّنَا هَبْ لَـنَا مِنْ اَزْوَا جِنَا وَذُرِّيّٰتِنَا قُرَّةَ اَعْيُنٍ وَّا جْعَلْنَا لِلْمُتَّقِيْنَ اِمَا مًا
"Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang-orang) yang berdoa dengan berkata: Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa."
(QS. Al-Furqan 25: Ayat 74)
Qurrotu a’yun adalah menyejukkan pandangan mata kerana anak ini mempelajari tuntutan Allah dan melaksanakannya.
Ibnu ‘Abbas Radhiyallahu ‘Anhu berkata, "Qurrota a'yun maksudnya adalah keturunan yang mengerjakan ketaatan, sehingga dengan ketaatannya itu membahagiakan orang tuanya di dunia dan akhirat."
Pernah tak ada hari anak ni boleh bangun tanpa disuruh, siap sendiri dan apabila kita lihat, eh dah solat subuh. Tanpa perlu disuruh-disuruh. Orang Melayu kata, sejuk perut ibu mengandung. Gitulah umpamanya. Pastinya bukan setiap harilah anak ini akan berperangai begini.
Cuma apabila kita faham, Allah nak tunjukkan sedikit kemanisan apabila anak itu menjadi penyejuk hati. Jadi apakah usaha kita nak bentuk amanah kita ni supaya dapat menjadi Qurrota a'yun. Cukupkah dengan sekadar berdoa?
3. FITNAH (Ujian & Cubaan)
Allah Subhanahu Wa Ta'ala berfirman:
اِنَّمَاۤ اَمْوَا لُـكُمْ وَاَ وْلَا دُكُمْ فِتْنَةٌ ۗ وَا للّٰهُ عِنْدَهٗۤ اَجْرٌ عَظِيْمٌ
"Sesungguhnya harta benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah menjadi ujian, dan di sisi Allah jualah pahala yang besar."
(QS. At-Taghabun 64: Ayat 15)
Baca lebih lanjut tentang fitnah ini maksudnya ujian yang menyebabkan kita sebagai orang tua terjerumus dalam maksiat. Contohnya di saat kita bekerja sekuat-kuatnya demi untuk memastikan anak kita dapat makan minum, kita melewatkan solat. Sedangkan yang memberi rezeki itu Allah Yang Maha Pemberi Rezeki yang beri tetapi kita seperti bertuhankan harta dunia dan menggunakan alasan demi anak-anak.
Selain itu, apabila anak-anak terlibat dengan perkara maksiat walaupun pada daya kita sebagai orang tua, kita dah berikan sebaiknya pendidikan. Inilah waktunya anak ini adalah ujian.
4. ‘ADUWWUN (Musuh)
Allah Subhanahu Wa Ta'ala berfirman:
يٰۤاَ يُّهَا الَّذِيْنَ اٰمَنُوْۤا اِنَّ مِنْ اَزْوَا جِكُمْ وَاَ وْلَا دِكُمْ عَدُوًّا لَّكُمْ فَا حْذَرُوْهُمْ ۚ وَاِ نْ تَعْفُوْا وَتَصْفَحُوْا وَتَغْفِرُوْا فَاِ نَّ اللّٰهَ غَفُوْرٌ رَّحِيْمٌ
"Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya ada di antara isteri-isteri kamu dan anak-anak kamu yang menjadi musuh bagi kamu; oleh itu awaslah serta berjaga-jagalah kamu terhadap mereka. Dan kalau kamu memaafkan dan tidak marahkan (mereka) serta mengampunkan kesalahan mereka (maka Allah akan berbuat demikian kepada kamu), kerana sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani."
(QS. At-Taghabun 64: Ayat 14)
Ini yang paling ditakuti. Contohnya anak nak tablet yang beribu di luar kemampuan kita. Kita dapatkan dengan jalan mencuri. Nauzubillah. Saat inilah anak menjadi musuh.
Begitulah serba sedikit catatan dan pencarian lanjut 4 kedudukan anak-anak sebagaimana dicatatkan di dalam Al-Quran hasil perkongsian Noor Azurah Anuar sahabat yang gigih menuntut ilmu.
Apabila kita jelas 4 kedudukan ini sebagaimana Allah nyatakan, jadi kita tahu saat ini anak kita jadi apa dan kita tak akan mudah sedih, marah (walaupun kita tahu nak kawal marah, sedih bukan dengan sekadar memahami kedudukan yang 4 ini).
Ianya perjalanan yang panjang. Apabila kita berkehendak, kita akan cari jalannya. Moga Allah mudahkan pencarian kita dalam menuju kepada-Nya.
"Ikatlah ilmu dengan menuliskannya..."
Nurul Fauzana
Wang Tepus
26.2.2021
0 comments:
Post a Comment