Tuesday, January 9, 2018

HARI MALAS SEDUNIA (huruf besar tanda menjerit!)

Malas mandi. Diikuti dengan malas solat. Pakej lengkap.

Tahap survival yang tinggi membolehkan diri sendiri tidur di mana sahaja. Letak kepala je terus lena. Zzzz dan diriku tidak dapat dipisahkan. My superpower. Ha ha ha!

Maka seperti biasa apabila tidur awal dan belum solat Isyak, maka akan terjagalah awal sedikit daripada kebiasaan. 

Ali terjaga,
"Nak kencing!"

Kaki kulangkahkan, merajinkan diri juga. Kang buatnya dia terkencing kat atas tilam, dah berganda kerja.

Bukakan lampu lepas tu terus balik bilik yang jarak kadar 5 langkah. Lepas tu pandai-pandai la nak oi!
Tengok jam baru 3.30. Ada masa lagi ni, sambung lena. Malas ke apa namanya ni. 

Hai. Kadang-kadang ada terfikir bila malas, tak solat terus tidur. Mati tak sempat solat. Kan seburuk-buruk kematian. Huhuhu. Tapi itulah, kadang-kadang mengingatkan itu pun tak mampu memotivasikan diri. Tak tau nak kata apa lah.

Yang nak dijadikan cerita bukan tang malas tu, ini ceritanya.

Terjaga semula jam 4.30. Bangun, gosok gigi, ambil wuduk.

Lepas tu teringat pula tudung sekolah Iyman yang tak basuh lagi. Haiya, beria cari dalam bakul. Tudung beli 3 je sebab nak test. Lepas tu rutin membasuh baju yang tak ada. Suka hati nak basuh bila, agak bakul penuh je baru terhegeh-hegeh nak basuh.

Lepas habis solat, buka la Quran yang tak ada tafsir. Teringat semalam tak baca Quran pun. Entah apalah yang disibukkan dengan dunia ni!

"Dunia tempat untuk diuruskan, bukan dirungsingkan."
Terngiang-ngiang kata Ustaz Amin di slot IkimFM.

Jadi, buka Quran secara rawak. Mata memerhati ke nama surah.

Al-Israk, ayat 72. 

Berdebar juga apalah ayat Allah nak 'cakap' ni. Ini perangai sejak cuba faham arab Quran kaedah hafal kata. Tenung sebiji-biji ayat tu. Dengan harapan menjelma maknanya dalam BM di minda.

Haram tak keluar. Mana taknya, ingat ada kamus auto translate ke dalam kepala? Dah la hari-hari dengar, tulis dan cakap bahasa Melayu. Mungkin masa hadapan ada teknologi boleh letak macam simkad kat kulit. Apabila dibacakan ayat Quran, automatik sel-sel otak berhubung dan autotranslate setiap patah kata sehingga mampu gerun, sedih dan menitiskan air mata. Fuh.

Dah dah kembali ke alam nyata. Kringggg!

Masa baca halaman dalam Quran ni, sampai kat satu ayat macam familiar.

"Eh, ini macam ayat baca masa sujud akhir solat tahajud."

Nak tengok apa ayat cinta hari ini, cuba tengok, berdebar ke tak berdebar baca. Buka perisian Al Quran Melayu dalam telefon.







Ini versi ada tafsir.
Allah SWT berfirman:

وَمِنَ الَّيْلِ فَتَهَجَّدْ بِهٖ نَافِلَةً لَّكَ  ۖ  عَسٰۤى اَنْ يَّبْعَـثَكَ رَبُّكَ مَقَامًا مَّحْمُوْدًا
"Dan bangunlah pada sebahagian dari waktu malam serta kerjakanlah solat tahajjud padanya, sebagai solat tambahan bagimu; semoga Tuhanmu membangkit dan menempatkanmu pada hari akhirat di tempat yang terpuji."

وَقُلْ رَّبِّ اَدْخِلْنِيْ مُدْخَلَ صِدْقٍ وَّ اَخْرِجْنِيْ مُخْرَجَ صِدْقٍ وَّاجْعَلْ لِّيْ مِنْ لَّدُنْكَ سُلْطٰنًا نَّصِيْرًا

"Dan pohonkanlah (wahai Muhammad, dengan berdoa): Wahai Tuhanku! Masukkanlah daku ke dalam urusan ugamaku dengan kemasukan yang benar lagi mulia, serta keluarkanlah daku daripadanya dengan cara keluar yang benar lagi mulia; dan berikanlah kepadaku dari sisiMu hujah keterangan serta kekuasaan yang menolongku,"
(QS. Al-Isra' 17: Ayat  79-80)

Dah la tadi ada terdetik nak solat Isyak je, lepas tu nak baca Quran. Taknak solat sunat 😅😅😅

Sekali tu, dah terbaca ayat ni. Insaf dengan kadar segera. Maka, bangunlah solat sunat tahajud 2 rakaat, tutup dengan witir 2 rakaat + 1. Inilah semalas-malas solat sunat seperti yang pernah dikongsikan oleh Prof Kamil.


Latihan Faham Arab Quran Kaedah Hafal Kata #AQHK


Allahu Akbar. Benarlah al-Quran itu tiada keraguan padanya. Petunjuk bagi orang-orang bertakwa.
Betapa Tuhan Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Sentiasa memaafkan hamba-Nya ini yang selalu leka.

"Ikatlah ilmu dengan menuliskannya."

Nurul Fauzana
Wang Tepus
10.1.2018

1 comment:

  1. tahniah..setelah sekian lama bersawang. tapi betul...selalu terjaga awal tapi berkira2 nak solat tahajud..dalam berperang antara nak dan tak nak..akhirnya tertidur terus...tewas..emmmm

    ReplyDelete