Friday, February 12, 2016

3 Perkara Terjadi Apabila Seorang Penaip Belajar Membuat Kek


12 Februari 2016, detik bersejarah apabila seorang yang tidak ada ketuhar, hanya pernah sekali membuat kek batik yang rasanya serba tidak kena, tiada apron apatah lagi KitchenAid menghadiri kelas membuat Swiss Roll. Hanya kerana tertarik dengan visual kek yang comel ditambah dengan ada rezeki ghanimah projek X, terus dengan lajunya menulis komen di FB penganjur mahu sertai kelas.

Sudahlah datang lewat, semua sudah tertunggu-tunggu kehadiran. Gelas sudah dikosongkan untuk menerima ilmu-ilmu baharu (walaupun sebenarnya memang gelas tak ada isi, hehe). Mula kelas cikgu sudah menyebut jargon dunia masakan. 'Meringue'. Mereng dibuatnya. Rupa-rupanya itu terma untuk telur putih yang dicampur gula dan dipukul sehingga ber'tanduk'. Nak buatnya pula penuh pantang larang, bekas dan tangan mesti kering, pemukul juga mesti dilap bersih tanpa air. Kalau tidak kek akan jadi 'bantat' katanya. Fuh punyalah berdoa semasa menghasilkan kek agar jari penaip ini tidak menghasilkan kek 'bantat'. Paling magik apabila rakan sekelas siap demo 'menterbalikkan' bekas telur putih yang dipukul bersama gula, elok melekat tak jatuh. Kalau tunjuk dekat anak-anak tadika ni, sudah pasti jadi cikgu terhebat sepanjang 2016.

# PERKARA 1 : Belajar istilah baharu dunia masakan


Dari jam 10 sehingga lebih kurang jam 1, Cikgu Intan demo 2 jenis 'swiss roll'. Satu yang 9 inci, satu lagi yang 3 inci. Nota semua elok dah disediakan, tinggal tambah sana sini petua yang diberikan. Habis semua jenama produk cikgu guna nak ditanya. Dengan harapan kalau sama tu ada peluang la kek cantik dan sedap agaknya. Keluar la nama-nama kedai Bake With Yen, Bagus, HOI dan macam-macam lagi. Boleh tahan teknikal juga la nama-nama kertas lukisan yang digunakan. Bukan boleh pakai kertas minyak tekap lukisan macam masa kecil-kecil dulu ok.

Sambil-sambil tengok cikgu buat kerja, sempat la 'interview' dah berapa lama cikgu terjebak dalam bidang 'swiss roll' ni. 3 tahun katanya. Ada pembantu tak? Semuanya buat sendiri, dari ambil order, buat kek dan banyakkkkk lagi. Sambil buat kek sambil pegang telefon. Siap belajar ilmu buat 'swiss roll' ni dekat Bangkok ok. Lepas ni nak belajar dekat Korea katanya. Ok cikgu nak ikut boleh? Saya jadi tukang angkat barang pun ok. 

# PERKARA 2 : Ilmu menjadikan kita berbeza



Selepas makan tengah hari, bermulalah episod 'hands-on'. Nampak macam senang cikgu buat. Bila kena buat sendiri, mula lupa dah semua. Tengah seronok mewarna  Hello Kitty, tiba-tiba kedengaran suara cikgu.

"Ha kenapa telinga Hello Kitty pun warna merah", dengan nada marah-manja. Terkejut si penaip yang baru belajar memasak.

Sudah, sekali tengok balik, ingat reben Hello Kitty, rupanya atas tu telinga. Gambar di atas tu dah tindih dengan warna putih, tetapi sebenarnya nanti yang melekat tu warna di bawah tu. Cuba tengok gambar kek tersusun atas sekali, cari telinga Hello Kitty yang merah, itulah kek kepunyaan si penaip. Haip, jangan gelak!


# PERKARA 3 : Apabila anak-anak berbuat silap, kadang-kala mereka memang tidak tahu itu adalah perkara yang salah. Terangkan sahaja apa yang salah, tidak perlu marah-marah.

Saya melihat ini dari perspektif diri sendiri yang tidak pernah membuat kerja-kerja memasak kek, ini sememangnya julung-julung kalinya. Telinga dan reben juga tidak tahu bezakan. Sekiranya tidak ditegur, pastinya yakin telinga itu adalah sebahagian daripada reben. Anak-anak kecil juga begitu, mereka baru sahaja mahu menerokai dunia ciptaan Allah ini, apabila sering dimarahi dan dibebel, sudah tentu motivasi mahu menerokai lebih lanjut itu akan hilang sedikit demi sedikit. 

Ya, kita manusia baru belajar, baru belajar mahu menjadi ibu yang baik, baru belajar mahu menjadi guru yang baik. Sekian lama kita sudah biasa dengan ayat-ayat ugutan.

"Diam, kalau tak diam mama panggil polis". "Kalau bising cikgu hantar pergi Balai Bomba".

Untuk menukarkan ayat-ayat ugutan ini dengan pujian bukannya mudah, tetapi boleh dilakukan. Setiap kali terlepas kata, walaupun tidak boleh diundur seperti perahu, namun boleh diperbetulkan semula dengan kata-kata dan tindakan lebih baik. Apa yang penting, kita sedar setiap kali kita 'terlajak kata', agar ia menjadi suatu azam untuk tidak mengulanginya lagi.



Meminjam kata Puan Roza, setiap masakan yang dimulakan dengan nama Allah tidak akan tersalah resipi. Walaupun telinga Hello Kitty merah sebelah, Cikpuan  Muda Iyman Amalea yang akan menjelang 5 tahun 18 Februari ini sungguh teruja mahu sambut 'birthday' dengan kek Hello Iyman. Simpan dalam peti ais sejak semalam, baru nak potong hari ini katanya.

Sungguh, dalam setiap perkara ada banyak yang boleh dipelajari bagi mereka yang mahu 'melihatnya'.