Friday, August 22, 2025

ADHD-kah aku?

Dalam dunia yang penuh kesibukan, sebagai seorang ibu, pengusaha sebuah tadika, isteri dan banyak lagi topi, banyak benda yang dibuat itu, adakalanya tidak ada konsistensi. Procrastinate. Suka menangguh-nangguh. Adakah agaknya aku seorang sahaja yang begitu? 

Dengan tiada punch card di tempat kerja, tiada siapa yang akan marah jika lepas subuh sambung tidur sehingga matahari naik. Scroll telefon tanpa henti, lihat fb, lihat insta, lihat tik tok, lihat status whatsapp, lihat mesej. Semuanya seakan tiada update. Mencari benda lain yang bergerak sehingga akhirnya, mata letih dan sambung tidur semula. 

 Alhamdulillah, setelah hampir 3 bulan mungkin, guru di tadika sudah kembali cukup. Sudah tiada penat minda menyiapkan Rancangan Pengajaran Harian setiap hari, adakalanya hingga 2 pagi. Rasa tidak kena jika RPH hanya di kepala. Seakan-akan kipas yang tidak terikat dan terawang-awang berterbangan. Penat badan setelah mengajar walaupun hanya 4 jam sehari, yang rasanya selalu akan menyalahkan faktor usia yang rasanya tidak secergas dulu, asyik mahu lena. Ha ha ha. Bukan dari dulu ke kau kuat lena wahai Fauzana? :p 

Namun, mengambil rasa seronok mengajar, membuat keputusan untuk mengambil 3 slot seminggu iaitu Kembara Alam 6 Santun, Shared Reading 6 Santun dan Smart Solat untuk semua. Seronok sungguh sebab dapat memilih mengajar apa yang diminati :D

Juga mengambil cabaran 2x seminggu menyediakan sarapan pagi iaitu hari Isnin dan Khamis. Setakat ini menu yang berjaya dijayakan adalah Pasta Carbonara/Bolognese untuk hari Isnin dan Moi/Nasi Goreng untuk hari Khamis. Bagi yang mengenali seorang Fauzana, yang mempunyai kekurangan 'common sense' dalam memasak, tapi kalau ada tanggunjawab, akan pulun buat. Habis segala video Che Nom dan pelbagai lagi sumber di youtube ditelaah. Berjaya menghasilkan kuah pasta yang lebih 'creamy' berbanding biasa hanya tuang tin dan letak air (tepuk bahu sendiri, riak sungguh). 

Begitulah, dengan hari Jumaat biasanya dihabiskan masa dengan berehat sungguh-sungguh. Kali ini, serabut kembali dek rumah yang bersepah, baik dari segi baju yang tak terlipat atau tak terasingkan setelah dibasuh. Penuh rumah dengan cebisan kertas anak kecil 2 orang yang kreatif merekacipta akibat kebosanan. Televisyen memang tak ada, telefon dan gajet telah disorokkan dan hanya sesekali diberikan mengikut peraturan suka hati mama. Hehehe (biasanya kalau mama nak lena tanpa gangguan). Aha. I'm just a human. I need a good rest. 

Hari ini Jumaat, membersihkan bilik baju dan mengasingkan baju-bajan (ada ke istilah begitu?). Melibatkan Nuh dan Yam untuk mengasingkan dan melipatkan baju sendiri. Yam pula yang pot pet, cair hati apabila akan selalu kata, "Terima kasih mama lipat baju Yam." Untuk umur 3 tahun boleh cakap banyak macam ni, satu nikmat yang selalu lupa hendak disyukuri. Alhamdulillah. 

Selepas itu, sambung lagi lena. Kemas tak seberapa, lena je lebih. Lepas Maghrib menuju ke Cmart untuk membeli barang dapur tadika kerana esok ada perancangan ke Changlun. Jadi beli siap-siap. Dapat Farm Fresh Cafe Latte, hampir separuh botol dikerjakan. Mata pun tak boleh lena. Sambung kemas bilik sendiri yang dah tak rupa bilik dengan cebisan kertas dan habuk merata. Sapu semua dan mop. Halau semua orang tidur bilik lain. Entah apa la menimbun segala mak neka buku, kertas, mainan dan ya Allah, ini pun masih sibuk dok skodeng shopi nak beli macam-macam. Nafsu sungguh kan.

Singgah blog bersawang ini, dengan harapan mendapat kembali semangat untuk menguruskan kehidupan yang entah apa aku kerjakan, kadang tak ketahuan orang kata. Jadi, apabila ada aktiviti menaip dan menulis di blog, dapatlah dilapangkan kepala. Walaupun selalu perasan ADHD, tapi apabila tengok di internet, kepala orang ADHD tak boleh berhenti dan bising. Kepala aku tenang je sebenarnya, cuma apabila tengah buat ini kadang-kadang jadi malas. Haha. Lepas tu bagitau kat kawan, aku tau aku bukan ADHD, aku cuma pemalas je. Begitulah.

Seronok menaip ni sebab salah satu kemahiran yang aku suka riak adalah boleh menaip tanpa melihat papan kekunci. Satu kemahiran yang abah terapkan, hantar kelas menaip semasa aku dan Abang Am sekolah rendah. Teringat lagi Cikgu India yang akan mengajar menaip ada ritma, asdfg ;lkjh asdfg ;lkjh. Entahlah macam mana abah boleh berfikiran jauh yang kemahiran begini amat diperlukan di masa akan datang. Anak-anak abah tak pandai memasak tak apa sebab sebelah rumah ada kedai makan Kak Yati, tapi kena pandai bawa motor, bawa kereta dan menaip!

Semoga apa yang abah korbankan semasa kami semua kecil sehingga besar walaupun kadang-kala tak faham dengan tingkah-laku seorang abah, menempatkan abah ke syurga yang tertinggi, begitu juga dengan emak yang amat dirindui.

OKlah, nak menyambung 5S, simpan sisih sorok dan sewaktu dengannya. Moga rajin yang ku cari muncul jua. Penat kadang tu asyik lena saja. Hahaha! 

                                                

 Oh ya, bagi nak menambah nilai pada catatan ini, sekarang sedang cuba untuk mendengar kuliah Sirah Impak Sosial oleh Ustaz Azlan Shah. Baru episod 3, itupun kadang dengar sambil lalu, perlu rewind berkali-kali. Bagi yang terasa asyik beli buku tapi tak baca, bolehlah cuba dengan kuliah pula (yeah it rhymes).

 

 Semoga coretan ini akan menjadi satu semangat ketika nanti aku malas lagi dan memerlukan banyak alasan untuk rajin. Berusahalah! Yang suka menaip,
Nurul Fauzana Jitra, Kedah.

Thursday, May 8, 2025

CUMA AKU, LUKAKU DAN TUHANKU

 


Baru sahaja membeli 2 buku tulisan Tuan Hafizul Faiz. Dulu memang suka dengar kuliah online beliau berkaitan Al-Quran.

Pernah beli buku beliau sebelum ini tapi bukan berkaitan Al-Quran. Puitis. Namun tak kena dengan jiwa sendiri jadi memang tak ulang baca. 

Pernah juga ikuti kuliah online berbayar tak silap tajuk Al-Fatihah. Masih ingat lagi kata-kata beliau berkaitan ayat di dalam Al-Quran merupakan tanda. Sebagaimana kita nampak lampu isyarat merah , tandanya berhenti, hijau baru boleh jalan. 

Begitulah ayat-ayat di dalam Al-Quran. Perlukan ilmu untuk kita faham. Jika tidak ianya hanya sekadar sedap di halwa telinga namun tiada impaknya (tidak menidakkan memang ada pahala walau sekadar membaca dan mendengarnya).

Dalam kesibukan yang memang tidak berhenti, perlulah ada kreativiti dalam me curi masa untuk memahami, kerana inilah ayat-ayat dari Maha Pencipta yang patutnya jadi prioriti.

Moga Allah berikan keberkatan masa buat yang menulis ini dan juga yang sudi meluangkan masa membaca. 

Jumpa lagi di coretan akan datang, yang entah bila. Insya-Allah. 

Friday, March 28, 2025

Cranberries Cookies, Anyone?

 



Hari tu ciwi (baca : riak) dengan Kek Oren. Asyik buat Kek Oren saja. Tapi ni kan nak raya, kena la buat kuih raya kan 😁

Sepanjang hidup rasa pernah buat Cornflake Madu je, tu pun sebab masa tu anak-anak saudara suka, masa tu rajin kan. Anak sendiri tak ada lagi atau masih seorang. Jadi ada sedikit kerajinan nak melayan. Gigih la buat banyak batch sebab guna oven comel hadiah kahwin 😂

Sekarang oven 100L dah ada, tapi kerajinan buat kuih tu macam dah hilang. 

Tapi tahun ni, alhamdulillah. Tengok Kak Sheeba buat cookies dengan anak-anak tadika dia, fuhhh. Dah la memang peminat kukis (read : cookies) Femes Ames. Cuma sejak dah tua ni, macam tak berapa berkenan dengan kemanisan kukis tu. Tapi sangat suka dengan kerapuhan dan kerangupan.

Jadi hari Rabu baru ni, gigih ke JH Bakery, beli la bahan. Bahan pun tak banyak (time rajin boleh kata tak banyak, time malas baca resipi pun boleh hmmm banyaknya) 🤣🤣🤣

Lenguh juga nak mengadun sebati. Rupa-rupanya lepas study semula di TT, kena satukan dulu butter dan gula. Baru gaul dengan tepung. Ni idak, campur semua baru nak gaul so macam lenguh oi nak bagi sebati tepung tu dengan butter 😂

Hari Rabu dapat 2 adunan, 2 kali bakar. Dengar Yam makan macam rapuh. Nuh pun makan siap nak lagi. Tunggu lepas berbuka, wuuuu sedap wuuuu 🤤 Alhamdulillah. 

Berebut dengan Ali makan. Ali kata 100% sedap, haha!

Jadi hari Khamis sambung lagi 2 adunan. Petang semalam siap topup lagi bahan.

Alhamdulillah dapat la beberapa balang. Nanti kita buat kiraan kos. Masa first time beli sekali balang comel 6 biji RM50. Tapi bahan macam cornflake, choc chip dan cranberries ada lagi untuk 2 adunan. Tepung pun masih guna yang lebihan buat kek oren.

Pendek kata memang lagi murah la confirm dengan coklat kukis beli kat kedai, 100 gram dah rm12. Ye kot lama tak beli dah.

Tungguuuu 🍪

Terpaling Cef. Muka pun ada tepung. 

Topi Cef malas nak ambil kat tadika

1 tray besar ni boleh dapat dalam 60 pcs 1 adunan


Oven macam nak meniaga

Hai saya Cef Nuha

Tray ni dia macam agak cepat panas
 

Nampak macam hangit tapi rasa OK

Bekas kecik atas tu boleh muat dalam 20+ pcs. Tengok besar mana masa buat. Sekali adunan boleh dapat dalam 60 pcs. Dapatlah 3 bekas ni. Eloklah kalau nak bagi hadiah kat kawan ke kan. 


Lihatlah dunia, bertingkek tingkek
kukisku 😆
 

Approved by Nuh tak puasa balik sekolah 😂


Sekian cerita. Sebagai tanda dan bukti pernah rajin. Semoga nanti apabila angin rajin menyapa, boleh repeat lagi 🤣🤣🤣

"Ikatlah resipi dengan menuliskannya... Gitu tagline" 

Nurul Fauzana
Semasa Rajin Memang Membanggakan 😜
 

   Nuha dan 3 tahun, boleh harap la jadi cef