Tuesday, October 14, 2014

Dunia Berubah Apabila Saya Menukar Cermin Mata

Saya sangat terkesan membaca tulisan Prof. Kamil. Satu demi satu entri di blog saya baca dan juga buku-bukunya. Prof selalu menekankan supaya kejar saf paling hadapan di masjid semasa berada di Madinah kerana di dalam masih banyak yang kosong. Setiap kali apa sahaja ujian melanda, Prof memberikan formula yang sama, sabar dan solat.

Apabila dijemput ke Madinah awal tahun lalu, sebaik saja tiba di Madinah adalah hampir masuk waktu Subuh. Saya bertekad untuk solat di saf wanita paling hadapan sebagaimana yang Prof selalu tuliskan. Alhamdulillah kami (saya dan anak berusia 2 tahun) dapat menunaikan solat Subuh di saf paling hadapan, betul-betul di balik kayu penghadang saf lelaki dan perempuan.

Apabila pulang ke hotel, ustazah bertanya saya solat di mana kerana beliau tidak nampak. Saya beritahu kami solat di hadapan sekali. Ustazah kata kebiasaannya jika membawa anak kecil tidak dibenarkan masuk ke saf hadapan, ada hadnya. 

Betul rupanya, bila tiba waktu solat zuhor, ada  'guard' yang tahan. Alhamdulillah, syukur kepada Pemberi Rezeki, rezeki buat kami.

Berdasarkan kisah ini, saya membuat kesimpulan sendiri, andainya kita hanya fikirkan yang baik-baik dan indah-indah, insya-Allah semuanya akan baik-baik sahaja. Dunia berubah apabila saya ubah cara melihatnya.

Oleh itu, sejak balik daripada Orientasi Pengusaha Baru tempoh hari, saya telah tukar cermin mata dan nampak 45 tuan muda dan cikpuan muda di Tadika Kembara Bijak Jitra yang tidak sabar-sabar mahu 'mengembara' bersama-sama.

Nota : Ada seorang tuan yang membuat permintaan menghantar cikpuan muda seawal Disember. Hati sudah mula berbunga-bunga.


Nurul Fauzana
nurulfauzana.com[at]gmail.com
www.nurulfauzana.com

0 comments:

Post a Comment