Friday, June 5, 2020

Chef Ana In The House : Resipi Agar-agar Lumut

Agar-agar Lumut

Memasak. Satu perkara yang memang tidak digemari. Sama macam menanam.

Namun, sejak Covid 19 melanda. Semuanya seakan berubah 360 darjah.

Agar-agar ni memang nampak apalah sangat kan. Dulu ada kenangan cuba masak guna agar-agar tali. Dulu la masa dekat Prt Yusof. Lepas tu rasanya banyak sangat air ke apa macam tak membeku agar-agar tu.

Jadi sampai ke sudah tanam dalam minda, susahnya masak agar-agar.

Lepas tu ada juga cuba beli agar-agar serbuk. Masukkan dalam peti beku tu, rasanya lama sangat ke terlebih air ke tak tau la. Jadi aiskrim ha ha ha!

Begitulah, agar-agar punya penangan.

Agar-agar lumut ni memang suka sangatlah. Nak nak bulan Ramadan, tak boleh nak ke bazar pada musim PKP ni. Youtube Puan Pavithra pula tengah viral. Pergh, dengan peralatan 'sempoi', dapur bersih, kuali berkilat dan penggunaan Bahasa Melayu yang fasih, memang rasa eh senangnya.

Satu lagi yang suka sebab apabila ditunjukkan bahannya, 4 cawan air, dia tunjuk guna cawan. Jadi berguna buat orang yang tak reti masak ni, yang tak ada common sense. Tengok video orang lain, apabila cakap cawan, ada yang tuang dalam mangkuk. Jadi macam tak dapat agak berapa besar cawan. Haaa haaa. Hanya orang yang faham akan faham kesukaran ini :D



Jadi, setelah memesan santan, pandan dari rumah mak mertua, agar-agar tali dan sebiji telur , maka bermulalah percubaan Chef Ana memasak agar-agar.

Bahan-bahannya mudah, ikut dalam video sahaja :

Agar-agar tali 1 pek 20 gram (perhatikan agar-agar kita beli, ada jenis 10 gram/20 gram/30 gram)
Air 4 cawan
Telur 1 biji
Gula 1 cawan
1 cawan santan segar atau santan kotak 200 ml (saya guna santan kotak sahaja)
Daun pandan 5 helai (+ setengah cawan air, kisar dan tapis)
Garam 1 sudu
Pewarna hijau (saya tak ada jadi tak letak)

Cara memasak, sila lihat di video.

Percubaan pertama, agar-agar tak berapa tinggi sebab masuk kat dua bekas. Tapi rasanya fuh. Secukup rasa. Kah kah kah! Punya la perasan.

Lepas tu esoknya Tuan Suami bawa balik agar-agar dari pejabat. Macam berair sikit tapi eh alamak kenapa lagi sedap. Kah kah kah!

Jadi percubaan seterusnya, cuba buat lebihkan air. Tapi kali kedua kita buat agar-agar gula merah pula.


Kali ni guna sukatan air ikut di paket agar-agar. 

Untuk 20 gram = 1400ml air (macam dalam video Puan Pavithra)
Yang ada dekat rumah 30 gram, arahan di belakang 1520ml air.

Jadi kita cubalah jadi 'pembaris' kita ikut sukatan. Alhamdulillah menjadi juga. Kali ni masih keras just nice. Maksudnya boleh dipegang dengan tangan ketika makan. 

Ini maksudnya tak cukup lembik. Hahaha!


Tabur biskut lebih buat based Cheese Cake, nampak macam kole kacang kan? :D

Jadi, kali ketiga buat agar-agar (ha ketagih memasak!), kita cuba ikut sukatan jumpa dekat web.
1 paket agar-agar strips (20 gm)
2 liter air (8 cawan)
Betul cair, selalu buat 2 pinggan, kali ni dapat 3 pinggan.

Dah siap masuk peti ais bahagian atas dalam sejam, potong, memang rasa lembut la. Cuma yang tak syoknya, apabila dipotong dan disimpan dalam peti, jadi berair. I don't like :D

Jadi, begitulah cerita Chef Ana masak agar-agar. Banyak cerita betul di sebalik belajar memasak sejenis menu bernama agar-agar. Sebab itulah kena cuba banyak kali, lepas tu kita 'adjust' ikut kesukaan kita.

Itulah orang kata, resipi sama, tapi air tangan tak sama. Lepas tengok resipi, orang berpengalaman akan gunakan deria rasa dan pengalaman lama untuk adjust bagi sedap. Nak adjust bagi sedap tu la 'common sense' yang perlu ditimba melalui pelbagai cara.

Oh ya, ada cuba campur dengan 'base cheese cake', maka jadilah begini, taraaaa...

Macam Kek Marble pun ada rupanya

Sedap rasanya, tapi agak muak sebab ada biskut agaknya. jadi makan sikit lah. Biasanya yang agar-agar biasa tu makan banyak :D. Kali ke-empat nanti boleh cuba adjust air supaya tak terlalu keras dan tak terlalu lembik, insya-Allah.

Oh ya, alang-alang cerita tentang gula merah ni, boleh juga cuba guna gula kabong tradisi Kuala Lipis.

Macam belacan pun ada haha! Nak cuba boleh terus klik di sini

Dibuat di Benta, sebuah perkampungan di Kuala Lipis. Dapatkan di sini.

Selain tu, dok tengok dekat youtube, fuh ada banyak jenis agar-agar. Lepas tu ada loyang cantik! Patutlah dulu teringat emak ada banyak jenis loyang, bentuk bunga ros la, ikan la. Kita ni loyang apa pun tak ada!

Cuma itulah, kena belajar minimalis, tengok Puan Pavithra, loyang tak perlu pun, pakai pinggan tin tu je! Insaf!

Akhir kata, pa yang penting, Puan Roza pesan, masaklah dengan banyak berzikir, tidak akan tersalah resipi, insya-Allah.

Nak baca cerita Chef Ana masak Nasi Qidra pula? Non baked mango cheese cake?

Fuhhh... moga Allah memberikan keberkatan masa dan dapat menulis ilmu yang bermanfaat.

"Ikatlah ilmu dengan menuliskannya."

Nurul Fauzana
5 Jun 2020
Wang Tepus

***



Boleh cuba Santan Kelapa Salwa yang diproses menggunakan teknologi retort yang boleh bertahan selama 2 tahun (tanpa buka), selepas buka, ia perlu disimpan di tempat sejuk beku seperti santan biasa yang lain. Dapatkan di sini.



1 comment: