Thursday, March 18, 2021

Nota Buat Anakku : Belajar Kendiri



Beberapa hari kebelakangan ini ada menonton di utiub berkaitan Language Learning. Seorang wanita Lydia Machovas ada berkongsi di TedTalk berkaitan Rahsia Mempelajari Sesuatu Bahasa. Beliau merupakan seorang Polyglot iaitu boleh bertutur dengan lancar beberapa bahasa. 

4 rahsia yang dikongsikan ialah :

1. Find enjoyment. Cari cara yang kita suka. Antara pemerhatian beliau apabila berada di kalangan polyglots adalah terdapat pelbagai cara mereka belajar, namun hasil akhirnya tetap sama, iaitu mereka dapat bertutur dengan fasih di dalam bahasa yang mereka pilih. Beliau boleh lihat mereka teruja setiap kali berkongsi teknik belajar.

Apa yang kita suka pastinya tak sama dengan apa yang orang lain suka. Seperti saya secara peribadi, suka menaip. Mungkin disebabkan ada kemahiran menaip yang diajarkan sejak kecil. Jadi menaip di skrin adalah sesuatu yang amat saya sukai. 

Ada yang suka menulis nota dengan pen warna-warni. Ada yang suka melukis. Ada yang suka bercakap, buatlah video untuk berkongsi apa yang kita sedang belajar. Malah, ada yang tidak suka bercakap dengan orang, bercakaplah dengan diri sendiri menggunakan bahasa yang kita sedang pelajari. Mesej utamanya, buatlah apa sahaja cara yang membuatkan kita rasa mahu belajar dan belajar lagi. Make it fun!

2. Methods

Apabila belajar bahasa atau apa jua ilmu, pasti ada method yang sudah lama diamalkan oleh orang lain dan berkesan. Cuba cari cara yang berkesan untuk orang yang berjaya dan pelajari methods yang digunakan. Dalam video yang lain, ada method yang digunakan oleh beliau dalam mempelajari bahasa baru iaitu The Goldlist Method. 

Contohnya dalam mengajar anak kecil membaca, ada Kaedah Fonik Gabung Bunyi, ada kaedah tradisional mengeja dan banyak lagi kaedah yang telah terbukti. Tapi sejauh mana kita sebagai tenaga pengajar mahu mendalami kaedah tersebut dan mengaplikasikannya, kita ada hak memilih. Jika kita percaya dengan Kedah Fonik Gabung Bunyi, kita dalami caranya, ikut langkah demi langkah yang diajarkan oleh pengasasnya. 

Jika ada isu, cari cara dan solusinya. Seperti mana tiada satu kaedah yang terbukti berkesan 100%, tidak perlu habiskan  masa berdebat kerana setiap orang ada perspektif masing-masing dan memandang sesuatu isu melalui pengalaman masing-masing. Kita teruskan dengan apa kita percaya dan jangan bazirkan masa kita dengan sesuatu yang akhirnya menyesakkan dada.

3. System

"Can you wake up 15 minutes earlier?"
"Can you listen to the podcast while driving or doing housechores?"

Menarik betul persoalan yang dikemukakan oleh Lydia ini kerana ianya sememangnya benda yang berulang-ulang telah kita dengar oleh seseorang yang berjaya. Berjaya menghafal al-Quran, berjaya mengemas rumah dan macam-macam lagi kejayaan. 

Cuba nak buat tu adakalanya ahhhhh malasnya. Tengok netflik dan tidur adalah lebih mengasyikkan he he he. 

Begitulah beza orang yang berjaya. Ianya sunnatullah. Hukum alam. Tidak kira Muslim atau bukan, asalkan mereka mengikut hukum alam, mereka akan dapat. Begitulah kita boleh lihat bagaimana orang Jepun dipandang mempunyai disiplin yang tinggi. Sunnatullah yang diikuti.

Namun persoalannya, adakah hati mereka tenang? Apakah mereka dapat mencari tempat bergantung harap apabila datangnya ujian? Di sinilah pula adanya konsep syariatullah. Wahyu yang memandu kita di saat ditimpa pelbagai benda. Walaupun kita tidak ada kawan, tidak ada keluarga, kita ada Allah.

Keperluan memenuhi sunnatullah dan syariatullah inilah yang dituntut oleh Islam. Hanya mengamalkan syariatullah tetapi hukum alam tidak diikuti, maka lahirlah  sesuatu yang kita lihat pada luarannya memenuhi tuntutan tetapi apa yang dibuat tidak serupa apa yang sepatutnya. Ketidakseimbangan. 

Jadi, persoalannya, can you wake up 15 minutes earlier to do whatever you want to learn? Be it memorize new surah or learn a new recipe? Adanya sistem ini membantu kita menyusun masa kita dalam kehidupan seharian tanpa kita terasa perlunya kita mencari masa tambahan.

Sebagai muslim, masa solat adalah terbaik dijadikan sebagai 'waktu rehat'. Susun jadual kita di antara waktu solat tersebut. Jadi tidaklah kita terkejut tiba-tiba dah azan kerja tak siap lagi, dan kita jadikan alasan untuk terus duduk di depan telefon atau laptop untuk menyiapkan kerja. Ini sebut pada diri sendiri yang masih 'mengejar masa'. Menaip memanglah mudahkan? Nak buat seperti yang ditaip ini amatlah memerlukan kekuatan. Moga Allah mudahkan urusan kita untuk mengenal keutamaan di dalam hidup yang berbaki ini wahai anakku!

4. Patience

"It's not possible to learn a language within 2 months, but it is definitely possible to make a visible improvement in 2 months if you learn in small chunks everyday in a way that you enjoy."

Ini perkara yang memang diulang-ulang tetapi sejauh mana kita mahu mengambil iktibar daripada orang yang sudah berjaya melakukannya?

Dalam video lain pula, satu perkara yang paling menarik tentang konsep BELAJAR KENDIRI ini ialah bagaimana seorang pelajar mengharapkan seorang guru itu boleh memindahkan apa yang ada di dalam 'kepala' seorang guru seakan-akan pemindahan menggunakan 'usb drive' daripada satu peranti kepada satu peranti.

Walhal hakikatnya, seorang pelajar itu perlu melakukan perkara-perkara yang disebut di langkah-langkah 1-4 di atas untuk memperoleh hasilnya. Ini boleh dilihat daripada kemalasan pelajar untuk membuat kerja rumah, hanya membuat kerja rumah 5 minit sebelum kelas seterusnya.

Sebab itulah kita boleh lihat ada yang sudah beli 'threadmill' tetapi akhirnya hanya dijadikan tempat gantung tuala. Sudah beli 'slow juicer' mahal-mahal tetapi akhirnya beli sahaja jus di kedai, sudah beli 'air fryer' tetapi akhirnya digunakan untuk masak 'nugget' sahaja. Ha ha ha. Tak cakap kat orang naaaa, cakap kat diri sendiri.

Begitulah wahai anakku. 

Tidak terhad kepada belajar bahasa sahaja. Hatta belajar agama Islam yang telah kau warisi turun-temurun ini juga memerlukan usaha gigih kerana kau tidak akan dapat mengimani dan mengamalkannya jika tiada usaha untuk memperbaiki dan menambah ilmumu dari sehari ke sehari. 

Teruslah bergerak, walau kau terpaksa merangkak. Kerana Allah itu Maha Adil dan Dia akan pandang usahamu!

"Ikatlah ilmu dengan menuliskannya..."


Mama 
Menulis Di Meja Makan Di Rumah Wang Tepus 
(Kipas rosak di meja belajar)

19 Mac 2021
Setahun sudah PKP 2020 berlalu


0 comments:

Post a Comment