Bukit Malau |
Yakin, akan tenang.
Tenang, akan lapang.
Lapang, diuji akan hadap dengan sabar, penuh kebijaksanaan dan syukur.
Fenomena alam dilihat dan diyakini. Sebagaimana Nabi Ibrahim memohon kepada Allah untuk menunjukkan kepada dirinya bagaimana Allah menghidupkan yang mati.
"Belum percayakah engkau?""Aku percaya, tetapi agar hatiku tenang."(Al-Baqarah : 260)
Kita ini pula tak perlulah hendak berbuat yang sama, memotong burung dan meminta Allah tunjukkan. Cukup dengan menyaksikan fenomena alam. Bagaimana bumi yang tandus, Allah hidupkan semula dengan turunnya hujan. Bagaimana tanaman boleh hidup subur setelah hujan turun membasahi.
Dan di bumi terdapat tanda-tanda (kebesaran Allah) bagi orang-orang yang yakin.
(Az-Dzariat : 20)
"Tetapi Ustazah, kenapa masih sedih ada musibah, muncul kemarahan, tinggi suara, hempas pintu dan lain-lain seumpamanya."
Antara persoalan yang ditimbulkan semasa kuliah Ramadan tahun lepas bersama Ustazah Dr. Sholihah (baru lihat tahun ini).
Yakin itu akan mula terhakis apabila tidak sinergikan dengan usaha sentiasa melakukan Tazkiyatun Nufus (penyucian jiwa).
Nabi Yusof a.s misalnya yakin ketika diuji, dipenjara, diganggu oleh Zulaikha, masih juga menyatakan - maksudnya "Dan aku tidak (mengatakan) diriku bebas (daripada kesalahan), kerana sesungguhnya nafsu itu, selalu mendorong ke arah kejahatan, kecuali (nafsu) yang diberi rahmat oleh Tuhanku." (Yusuf : 53)
Keyakinan itu ada dalam hati kita tetapi syaitan tidak akan pernah berhenti mengganggu kita punya keyakinan. Dalam diri kita ada hawa (ego) yang sentiasa mengajak kita merasa lebih tinggi. Dalam diri juga ada syahwat yang sentiasa ingin cenderung selesa dalam kenikmatan jasad.
Nafsu ammarah, hawa, syahwat tidak tinggalkan kita. Bersama-sama keyakinan itu, kita lakukan tazkiyatun nufus. Mohon pada Allah. Keluarkan kekotoran.
Untuk menjadi orang yang bijaksana dalam berdepan dengan apa jua musibah, awalilah dengan tindakan mencari keyakinan dengan melihat fenomena alam. Lihat di sekitar apa jua di fenomena alam mana benda-benda yang dilihat tidak masuk akal adakah dengan kekuasaan Allah boleh berlaku. Cuba difikirkan.
Apabila sudah ada rasa yakin tiada kuasa lain yang boleh membuat apa berlaku dalam fenomena alam. Perlahan-lahan jiwa kita akan rasa tenang. Apabila sudah tenang, barulah akan lapang. Apabila sudah lapang, barulah mudah menerima apa jua yang melanda.
Sentiasa memupuk dan menjaga keyakinan, barulah Allah berikan level tertinggi iaitu keikhlasan seperti Nabi Ibrahim (Sad : 46).
"Ikatlah ilmu dengan menuliskannya..."
Nurul Fauzana
Di penjara dunia
30 April 2021
0 comments:
Post a Comment