Thursday, November 21, 2019

Sabun Basuh Pulak Dah!


Nampak macam cheese tak? Haha!

Sebelum ni pernah cerita tentang sabun Melt & Pour, kali ni kita cerita tentang sabun yang dihasilkan melalui teknik cold process.

Sabun yang dihasilkan melalui cold process ni kalau ikutkan mudah sahaja. Bahan pun ada 3 iaitu minyak, lye dan air. 

Apabila guna minyak masak terpakai, sabun ni cepat jadi 'trace' dan terus masuk dalam acuan. Yang jadi lambat adalah kena tunggu dalam sebulan sebelum boleh digunakan. 

Ha lamanya!

Sebab apa?

Sebab nak tunggu lye hilang. Lye ni sejenis bahan kimia yang tukarkan minyak dan air menjadi sabun. Jadi selepas sebulan, lye tu akan hilang, yang ada hanyalah sabun! Proses ni dipanggil sapofinikasi.

Percaya atau tidak, dulu siapa yang ambil aliran sains, dalam subjek kimia ada proses buat sabun ni masa tingkatan 4 atau 5. Cuma mungkin dulu tak ada letak pewangi, pewarna, bunga-bungaan jadi plain je. Kau pun buat tak kisah, sabun je kot? Haha!

Jadi, apa yang nak sibuk sangat dengan sabun ni sebenarnya?

Buat mak mak yang memasak di dapur, pasti ada minyak masak terpakai. Selalu lepas dah penuh bekas, buang dekat mana minyak tu?

Buang minyak masak ke tanah boleh menyebabkan minyak ni kembali semula ke sungai/laut dan menjadikan air tercemar. Tak kesian ke dekat anak-anak kita nanti, mewarisi alam yang tercemar :(

Dulu pernah juga bijak sangat buang kat longkang. Sudahnya jenuh nak curah air haha! 

Bagaimana kalau minyak masak terpakai tu kita boleh tukarkan jadi sabun? Sabun ni pula jenis yang tak rosakkan kulit tangan, eczema friendly gitu. Sabun ni bukan sahaja boleh jadikan sabun basuh pinggan je, malah boleh buat sental baju berdaki, buat basuh lantai dan basuh baju!

Ha, dapat bayangkan berapa banyak dah jimat setiap bulan apabila tak perlu berpusu-pusu ke pasar raya membeli pelbagai jenis sabun. Tersenyumlah si suami apabila dapat isteri pandai berjimat. Untung-untung dapat emas sekilo dua 😁😁😁

Cuma itulah, kena belajar buat sendiri. Kalau beli daripada orang, akan jadi mahal baliklah. 

Sejak belajar buat sabun yang hot process dan cold process, memang ketagihlah. Seronok eksperimen macam-macam. Campur bunga telang lah, campur minyak kelapa sikitlah, buat bentuk itulah, inilah.

Berbalik kepada jenis sabun buku tadi, cara buatnya adalah cold process. Maka bulan lepas dah buat 2 batch, jadi lepas sebulan berlalu, sabun dan keras dan bolehlah mula guna. 

Apabila kau ada sabun buku sebanyak 2 bekas besar baulu, maka kau pun jadi orang kaya yang suka bersedekah 😂😂😂

Nak dijadikan cerita, dapat resipi sabun basuh baju guna sabun buku yang disagat (bukan memasak je tau ada resipi :p)

Maka, dengan pantas pi kedai plastik cara penyagat.

Lepas tu baru tau sagat sabun tu memenatkan haha! Jadi sagatlah besar-besar. Jadilah macam gambar pertama tu, macam cheese nak tabur atas pisang 😂😂😂


Yang atas ni dah potong kecil-kecil, nak hadiahkan dekat kawan ABS minggu depan. Insya-Allah nak ke KL kursus sampai kurus 🤭🤭🤭

Yang cantik ni nak jual, seketul lima ringgit. 

Nampaknya kena cari masa lagi supaya boleh buat sabun ni. Kali ni nak boh beetroot powder, bagi merah sikit. 

Hari tu letak air bunga telang, tapi sebab sikit sangat, memang tak ada perubahanlah pada warna. 

Semoga lebih ramai yang berminat belajar buat sabun sendiri. Kulit sihat, alam selamat dan poket jimat 😁😁😁


Thursday, November 7, 2019

Klik Klik


Abah seingat aku sering mengabadikan gambar di dalam kamera. Zaman dulu, lepas habis segulung terus hantar ke kedai. Memang banyak la dulu album gambar.

Minat itu menurun kepada diriku ini, chewah. Dulu ingat lagi kamera pertama yang dibeli sendiri masa sudah bekerja di SPA. Masa tu pergi dengan Kak Norish dan Kina. 

Boleh pergi beli camera compact, semua elok dah, sekali tu rakam video tak ada suara, hahaha! Tak tahu apa motif pengilang buat kamera macam tu. Lepas tu pergi balik kedai tu, tukarlah model lain. 

Selepas berjinak-jinak dengan kamera compact, entah macam mana terjebak dengan kamera gabak DSLR. Masa tu suka skodeng blogger dari Jepun. Guna kamera beginner DSLR sahaja tapi hasilnya superb.

Akhirnya, beli juga DSLR beginner, Nikon D40. Seronoknyalah. Ditambah masa tu ada perisian edit gambar PICASA, bertambah giat la aktiviti ambil gambar, edit dan print. Rajin juga ke Warta B.B.Bangi, tempat print gambar murah. 

Apa yang paling suka masa tu tangkap gambar orang, especially budak-budak. Ekspresi wajah anak-anak tu macam magika. Menenangkan.

Yelah anak tiada dosa kan. Kita yang tua ni asyik nak marah depa ja (keluaq dah loghat Utagha chek).

Selepas DSLR, beli aksesori macam flash la. Lepas tu dah bosan guna, upgrade lens pulak dah. Masa akhir bekerja kat SPA, dapat anugerah cemerlang. Masa tu dapat RM1K. 

Dapat la sambar lens 35mm yang sesuai untuk rakam potret. Bokeh dia superb orang kata (bokeh tu yang macam blur kat belakang tu). Lens tu harga dalam RM800. Haih memang hobi yang 'mahal'. Tapi bila tengok hasilnya, boleh tersenyum sepanjang hari. Cukuplah untuk newbies orang kata.

Dalam ada kamera ni dengat kit lens dan 35mm, dapatlah juga ambil job birthday party anak kawan. Official photographer untuk 3 majlis kahwin, sepupu dan makcik. 

Nak ambil job luar memang tak berani, ni ala-ala volunteer gitu. Lepas ambil gambar, buat la album yang ala-ala storybook tu. Memang haih, mengasyikkan.

Sampai akhir tahun lepas, kamera yang dah berbakti lebih 10 tahun dah rosak. Tekan tekan tak boleh. Rasanya shutter count tu dah habis masa. Nak hantar baiki sampai Penang sana nun. 

Last-last pi beli kamera second hand di shopipipi. Jadilah, habuan ambil gambar hujung tahun anak-anak Tadika Kembara Bijak.

Begitulah asal usulnya. Haaa nampak tak betapa asyiknya cerita hahahahaha. 

Baru ni habis ambil gambar anak-anak juga. Terapi diri la juga, sampai lupa ada anak kecil yang ditinggalkan dengan cikgu dalam tadika. Hehehe. 

13 orang anak 6 Santun. 

Begitulah al kisah di sebalik gambar.

Selalunya apa yang ibu ayah buat masa anak kecil memberikan kesan kepada anak. Mungkin mereka akan minat atauuuu tak minat langsung. Macam kes kamera ni lah.

Begitulah kehidupan, akan datang kita tak akan tahu. Apa yang penting, kita usahalah berikan contoh terbaik. Moga-moga, yang baik-baik tulah anak-anak akan ingat apabila kita sudah tiada lagi 😭

"Ikatlah ilmu dengan menuliskannya."

Nurul Fauzana
5.44 pagi
Pekan Jitra

Friday, November 1, 2019

Cair Dan Tuang


Sebelum ni dah berangan nak tulis pasal current hobby, soap making. Tapi itulah janji tinggal janji. Kena alih icon Blogger ni ke depan supaya tak lupa (mengaku je la dah tua 🤭)

Ok yang 3 ketul ni namanya Melt & Pour soap. Atau bahasa mudah, cairkan, letak pewarna dan pewangi jika mahu, kemudian tuang dalam acuan. Siap!

Dalam pembuatan sabun ni, secara umumnya ada 3 cara,

1. Melt & Pour
2. Cold Process
3. Hot Process

Cara pertama memang paling mudah, sesuai dengan anak seawal umur ke tadika, 4 tahun. Cuma tak bolehlah biar anak tu buat sendiri hokey!

Boleh bagi task mudah seperti potong soap base, letak pewarna dan pewangi, kacau dan letak dalam acuan. 

Part nak cairkan tu yang paling mudah guna microwave, seminit dua dah cair. Atau yang paling seronok guna konsep double boil. Seronok sebab dapat tengok daripada ketulan jadi cecair. Haa kan dah konsep fizik tu, pepejal menjadi cecair. Hehehe.

Yang panas memanas ni kena la tolong anak. Gituuu. 

Soap base? Apa tu?

Masuk Shopee, taip soap base, keluarlah ia. 

Cuma itulah, setelah bertemu lutut dengan ramai pengajar, ada banyak jenis soap base. Ada yang konfiden kata soap base dia halal (tapi minta senarai bahan, diam sampai sudah), ada yang kata beli dekat founder dia yang itu ini, trusted. Ada yang pesan jangan beli yang murah sangat!

Apa yang penting, cuba chat dengan seller, minta ingredient penuh soap base tu. Ada jenis yang free sls tapi ada sles. Ada yang masih ada sls dan sles. Ada yang ramuan kimia pelik sampai kena gugel. Hehe.

Melalui pengalaman sendiri, buat kajian sikit, lepas tu beli dulu 1 yang diyakini bahan-bahannya, kemudian cuba buat dan pakai. 

Kemudian, upgrade ilmu dengan hadir kursus bersama para guru yang dah biasa buat sabun. 

Ada yang buat konsep sharing, yuran serendah RM30. Malah ada yang sehingga mencecah 1 ribu untuk 4 resipi. Ini guna melt & pour tau, bukan proses 2&3 yang kat atas tu.

Dari situ, kita boleh tambah baik ilmu dan kemudian dapat pilih soap base terbaik sebelum mula dijual kepada orang lain. Kalau bertuah, para guru tu akan kongsi terus nama pembekal soap base yang bagus 🤭🤭🤭

Nampak kan, walaupun benda mudah macam masak maggi 2 minit ni pun boleh jadi kompleks. That's the beauty of it!

Tu belum lagi nak nyatakan perasaan bila pakai sabun yang dibuat oleh jejari gemuk sendiri, yang selalu typo kalau taip laju. 

The feeling is real, lol 😂😂😂 

Untuk proses membuat sabun cara 2&3, fuh, mencabar nak tulis. Mungkin kena buat video atau lukis? 😆😆😆

Sampai bertemu lagi. Ini sabun yang baru buat semalam, sementara Nuh Luqman lena. 

Dari atas, bauan Lemon, Sweet Lime Kafe dan Ylang Ylang (Kenanga). Kali ni cuba campur warna, menjadi juga buat warna biru muda nak ke turqoise, yay! (eh tengok sekali lagi, tang mana turqoisenya, biru je haha!). Ini semua salah kamera.

Ala kulli hal, alhamdulillah. Allah berikan nikmat masa dan ilham. Semuanya kembali kepada Dia yang satu. 

"Ikatlah ilmu dengan menuliskannya."

Nurul Fauzana
Kampung Tok Yom, Wang Tepus
5.24 pagi

Sunday, October 20, 2019

How Time Flies

Masa berlalu begitu cepat. Ada yang kata ia menandakan begitulah di akhir zaman, semuanya seakan tidak cukup masa. Walhal 24 jam itu masih sama, tiada yang kurang tiada yang lebih.

Dunia blogging yang dulunya tempat persinggahan setiap hari, kini sudah berganti dengan muka buku dan IG. Saban hari penerimaan kawan baru yang tidak dikenali dari mana datangnya. Malas mahu sesak kepala, lepas accept, unfollow sahaja. Pardon me, I am that old. 

Sekarang kalau dengar radio yang muziknya entah apa-apa memang mahu bingit telinga. Melainkan terdengar lagu nostalgia lama, bolehlah sebentar memenuhi halwa telinga. Hanya ikim fm sahaja yang dirasakan tidak menyesakkan (kecuali ketika slot tajaan, pantas ku tutup radio). Itupun adakalanya lagu-lagunya menyesakkan. 

Petanda, diri sudah semakin tua. Memilih apa yang menyenangkan sahaja. Tidak mahu ribut ribut dong 🤭🤭🤭

Maybe later i will share about my current hobbies. Making soap and natural products!

Bukankah ilmu yang bermanfaat itu salah satu bekalan? Akan ku cuba mengikat ilmu itu dengan menuliskannya, insya-Allah.

Till then, assalamualaikum 💪💪💪

Tuesday, January 9, 2018

HARI MALAS SEDUNIA (huruf besar tanda menjerit!)

Malas mandi. Diikuti dengan malas solat. Pakej lengkap.

Tahap survival yang tinggi membolehkan diri sendiri tidur di mana sahaja. Letak kepala je terus lena. Zzzz dan diriku tidak dapat dipisahkan. My superpower. Ha ha ha!

Maka seperti biasa apabila tidur awal dan belum solat Isyak, maka akan terjagalah awal sedikit daripada kebiasaan. 

Ali terjaga,
"Nak kencing!"

Kaki kulangkahkan, merajinkan diri juga. Kang buatnya dia terkencing kat atas tilam, dah berganda kerja.

Bukakan lampu lepas tu terus balik bilik yang jarak kadar 5 langkah. Lepas tu pandai-pandai la nak oi!
Tengok jam baru 3.30. Ada masa lagi ni, sambung lena. Malas ke apa namanya ni. 

Hai. Kadang-kadang ada terfikir bila malas, tak solat terus tidur. Mati tak sempat solat. Kan seburuk-buruk kematian. Huhuhu. Tapi itulah, kadang-kadang mengingatkan itu pun tak mampu memotivasikan diri. Tak tau nak kata apa lah.

Yang nak dijadikan cerita bukan tang malas tu, ini ceritanya.

Terjaga semula jam 4.30. Bangun, gosok gigi, ambil wuduk.

Lepas tu teringat pula tudung sekolah Iyman yang tak basuh lagi. Haiya, beria cari dalam bakul. Tudung beli 3 je sebab nak test. Lepas tu rutin membasuh baju yang tak ada. Suka hati nak basuh bila, agak bakul penuh je baru terhegeh-hegeh nak basuh.

Lepas habis solat, buka la Quran yang tak ada tafsir. Teringat semalam tak baca Quran pun. Entah apalah yang disibukkan dengan dunia ni!

"Dunia tempat untuk diuruskan, bukan dirungsingkan."
Terngiang-ngiang kata Ustaz Amin di slot IkimFM.

Jadi, buka Quran secara rawak. Mata memerhati ke nama surah.

Al-Israk, ayat 72. 

Berdebar juga apalah ayat Allah nak 'cakap' ni. Ini perangai sejak cuba faham arab Quran kaedah hafal kata. Tenung sebiji-biji ayat tu. Dengan harapan menjelma maknanya dalam BM di minda.

Haram tak keluar. Mana taknya, ingat ada kamus auto translate ke dalam kepala? Dah la hari-hari dengar, tulis dan cakap bahasa Melayu. Mungkin masa hadapan ada teknologi boleh letak macam simkad kat kulit. Apabila dibacakan ayat Quran, automatik sel-sel otak berhubung dan autotranslate setiap patah kata sehingga mampu gerun, sedih dan menitiskan air mata. Fuh.

Dah dah kembali ke alam nyata. Kringggg!

Masa baca halaman dalam Quran ni, sampai kat satu ayat macam familiar.

"Eh, ini macam ayat baca masa sujud akhir solat tahajud."

Nak tengok apa ayat cinta hari ini, cuba tengok, berdebar ke tak berdebar baca. Buka perisian Al Quran Melayu dalam telefon.







Ini versi ada tafsir.
Allah SWT berfirman:

وَمِنَ الَّيْلِ فَتَهَجَّدْ بِهٖ نَافِلَةً لَّكَ  ۖ  عَسٰۤى اَنْ يَّبْعَـثَكَ رَبُّكَ مَقَامًا مَّحْمُوْدًا
"Dan bangunlah pada sebahagian dari waktu malam serta kerjakanlah solat tahajjud padanya, sebagai solat tambahan bagimu; semoga Tuhanmu membangkit dan menempatkanmu pada hari akhirat di tempat yang terpuji."

وَقُلْ رَّبِّ اَدْخِلْنِيْ مُدْخَلَ صِدْقٍ وَّ اَخْرِجْنِيْ مُخْرَجَ صِدْقٍ وَّاجْعَلْ لِّيْ مِنْ لَّدُنْكَ سُلْطٰنًا نَّصِيْرًا

"Dan pohonkanlah (wahai Muhammad, dengan berdoa): Wahai Tuhanku! Masukkanlah daku ke dalam urusan ugamaku dengan kemasukan yang benar lagi mulia, serta keluarkanlah daku daripadanya dengan cara keluar yang benar lagi mulia; dan berikanlah kepadaku dari sisiMu hujah keterangan serta kekuasaan yang menolongku,"
(QS. Al-Isra' 17: Ayat  79-80)

Dah la tadi ada terdetik nak solat Isyak je, lepas tu nak baca Quran. Taknak solat sunat 😅😅😅

Sekali tu, dah terbaca ayat ni. Insaf dengan kadar segera. Maka, bangunlah solat sunat tahajud 2 rakaat, tutup dengan witir 2 rakaat + 1. Inilah semalas-malas solat sunat seperti yang pernah dikongsikan oleh Prof Kamil.


Latihan Faham Arab Quran Kaedah Hafal Kata #AQHK


Allahu Akbar. Benarlah al-Quran itu tiada keraguan padanya. Petunjuk bagi orang-orang bertakwa.
Betapa Tuhan Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Sentiasa memaafkan hamba-Nya ini yang selalu leka.

"Ikatlah ilmu dengan menuliskannya."

Nurul Fauzana
Wang Tepus
10.1.2018

Wednesday, December 14, 2016

Elsa By Iyman

Elsa & Princess Sophea by Iyman Amalea

Melihat senyuman anak kecil yang dahulunya sangat tembam bagai duta tayar Michelin menjadikan air mata bergenang. Betapa cepatnya masa berlalu, mama juga sudah 5 tahun lebih tua dari saat dirimu lahir.

Setiap hari berazam untuk menjadi mama penyayang, yang akan terpahat dalam memori anak. Bukannya mama garang ibarat hulk hogan yang sering bertukar hijau tanpa mengira masa, hatta hanya kerana sedikit salah yang pastinya bukan engkau sengajakan.

I want to be old and happy. 



Sunday, August 28, 2016

Nota Cinta Dari Langit

EKSAITED!

Pagi ini baru saya faham kenapa disebut-sebut seperti membaca novel apabila faham al-Quran.

Contohnya surah Yasin ayat 5.

Sambil menulis setiap patah kata, cari kata dasar dan kemudian tuliskan maknanya di belakang kertas

تَنزِيلَ

(Al-Quran) diturunkan oleh

الْعَزِيزِ

Allah Yang Maha Perkasa

Apabila menulis Yang Maha Perkasa tiba-tiba rasa takut, perkataan perkasa itu terasa sangat kuat.

Saya teruskan menulis kata berikutnya

الرَّحِيمِ

Maha Penyayang

Allahu akbar. Tadi daripada rasa takut tiba-tiba Allah pujuk dengan kata Maha Penyayang. Sebak.

Puan Dr. Nadiyah Elias pesan semalam, salah satu cara istiqamah adalah dengan mengajarkan kepada orang lain walaupun kita baru belajar satu ayat.

Bak kata saya kepada ramai orang apabila diminta jadi penceramah atau pengajar secara 'live', saya ni 'keyboard warrior', kalau menaip memang laju semacam, sampai orang ingat saya boleh bertutur selancar dan setenang tulisan saya.

Ketahuilah, saya lebih rela menaip 4200 patah kata sejam daripada disuruh bertutur 100 patah kata.

Nota kaki : Eh bukan dulu engkau suka potpetpotpet sampai kawan akan tanya demam ke kalau nampak senyap sahaja?