Tuesday, July 20, 2021

Qowiyyul Jismi : Finally 1 month

Gambar hiasan : Nuh Luqman menyorok makan kuih ros dalam bilik. Patutlah cari tak ada.
 

Alhamdulillah.

Berjaya menjalani kehidupan 'baru' selama lebih kurang sebulan. I feel good. 

Dahulu selalu ingat lambat makan nasi, perut kosong menyebabkan angin naik kepala.

Setelah hampir 2 minggu tidak makan nasi (ada juga makan sikit apabila ke rumah kawan), tak ada perut berkeroncong. Rasa ketagih tu tak ada. 

Adakah sebenarnya makan nasi berlebihan menyebabkan ketagih? Itu yang bermain-main di fikiran.

Walaupun tak makan nasi, tetaplah makan buah. Buah itu pun sebenarnya ada gula tapi gula yang dimakan bersama seratnya tidaklah memudaratkan. Jadi tak adalah nak kata selama ni buat benda ekstrem. Ikut atas badan masing-masing. 

Inilah yang coach katakan Enjin Keto (lemak) dah berjalan dan dibakar apabila sudah kehabisan gula. Selama ini dok guna Enjin Gula memanjang. Tu yang akan jadi ketagihan. Lemak dalam peti beku tak digunakan sebab asyik 'refill' gula sahaja.

Sebenarnya yang paling seronok apabila anak sulung Iyman pun sibuk nak tiru. Malah dia yang lebih semangatnya. Siap apabila dengar Coach cerita tentang kebaikan puasa 9 hari sebelum Aidiladha, dia yang teruja nak puasa. Si Ali pun sibuk juga nak sahur.

Mamanya ni konon malas nak puasa sampai 9 hari. Tak pernah seumur hidup puasa sebelum raya haji. Ingatnya nak puasa Isnin Khamis sahajalah.

Tapi dah anak semangat, mamanya pun bangunlah sediakan sahur juga. Oh ya, kalau konsep IF ni, makan terakhir tetaplah malam sebelum katakan jam 9. Pagi sebelum subuh hanya minum air masak sebagai mengambil keberkatan bersahur.

Alhamdulillah hari ini 10 Zulhijjah, hari raya yang dinanti-nantikan pun tiba.

Untuk Hari Raya, coach ada berikan panduan untuk 'treat'. Boleh makan lauk raya atau apa sahaja yang diidamkan 1 hari sahaja. Selalu orang kata 'cheat day'. Tapi bagi kami, kita sebut sebagai 'treat' supaya semuanya nikmat Allah, kita kena makan dalam keadaan sedar dan syukur. Jangan sesekali makan dalam keadaan bersalah.

Tapi apabila difikirkan, takut juga terjadi ketagih ke apa. Jadi tak mahulah treat dari segi makan pelik-pelik. Tetap teruskan Intermittent Fasting. Malam semalam makan terakhir (tutup perut) jam 9.30 malam, maksudnya hari ini boleh mula buka perut jam 3.30 petang (konsep 18:6)

Ada juadah lontong biras masak, tapi tak teringin sangat pun nak makan. Hanya rasa kuahnya beserta isi, makan dengan sambal goreng jawaku yang buat semalam + rendang arnab dapoq kayu yang suami masak.

Ni semalam Tuan Suami masak rendang arnab

Makan pula jam 3.30 petang, bertambah lauknya. Lepas tu 6.30 petang mengulang lagi lauk yang sama. Rasa nikmat betullah dapat makan rendang tu, secukup rasa + sambal goreng kegemaran yang setakat ini belum jemu lagi.

Selain tu makan juga buah nangka madu beberapa ulas. Sedap sungguh!


Pinggan tetap sama walaupun di rumah mak sebab pinggan yang ada pun 'cilok' dari rumah mak heheheheheheehhehe. 

tambah lagi. raya kan :p




Moga 2km ini dapat membakar lemak yang penuh keliling pinggang ;)

Kuih raya, kerepek tak teringin pula nak makan. Moga Allah tutup ketagihan dan keinginan terhadap makanan rapu ni. Amin!

Untuk makanan selesai, senaman NOD seperti biasa mesti buat 3x sehari. Pagi tadi awal-awal siap dah jalan 2km sekitar kampung. Pagi raya joging kau ada? Ha ha ha. Amboi berlagak sungguh na!

Bukan apa, memang dah lama tak berjalan pagi. Sibuk setiap pagi bekerja ada pelajar di Akademi. Jadi memang tak ada me-time. Fokus pada PdPR depa dan anak-anak sendiri.

Dapat menghirup udara segar, syukur sungguh masih belum tercemar udara di kampung ini. Kadang-kadang seharian lupa untuk menarik nafas panjang, mengucapkan alhamdulillah kepada Tuhan yang masih meminjamkan masa untuk diri membuat persiapan ke negeri abadi nanti.

Senaman NOD mesti buat 3x sehari. Setiap kali buat 3 set dan jarak mestilah 2 jam antara 1 senaman tu. Patutnya ini minimum dan kenalah tambah dengan senaman lain. Tapi setakat ini masih belum ada rentak nak bersenam lain, buat sahajalah dulu NOD ni 3x sehari. Tu pun badan rasa sedap sebab sendi rasa bergerak semua terutamanya masa buat yang pusingan penuh tangan tu. Lenguh dan jantung berdegup kencang, lup dup lup dub :p 

Cubalah. Banyak manfaatnya insya-Allah.

Oh ya, untuk rekod setelah lebih kurang sebulan, berjaya memasuki fasa 'overweight' berbanding fasa obesiti sebelum ni. Moga terus istiqamah menjaga kesihatan fizikal. 

الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِى بِنِعْمَتِهِ تَتِمُّ الصَّالِحَاتُ

Salam Aidiladha buat semua yang membaca. Moga terus kuat berjuang melawan 4S (moga diberikan keberkatan masa menulis tentang 4S insya-Allah)!

"Ikatlah ilmu dengan menuliskannya..."


Nurul Fauzana
Menulis dari Kg. Seberang
10 Zulhijjah 1442H


0 comments:

Post a Comment