Tuesday, October 21, 2014

Kisah Memborong Di Guangzhou Siri 11

Tolong, Banyaknya Barang ! Nak Pos Udara Ke Pos Laut ?



3 Pilihan Pos Barang Dari Guangzhou Ke Malaysia

1. Pos udara 2-3 hari tiba (FedEx)

Pilihan ini tidak termasuk harga tax kastam, sekiranya terdapat tax, kita perlu membayar tax kepada posmen FedEx. Sesuai untuk barang mempunyai seberat 20 kg - 50 kg seperti baju atau pun barang yang mempunyai susut nilai harga mengikut pasaran seperti power bank. Power bank pada kebiasaannya tidak boleh dibawa melebihi 2 unit seorang sekiranya ingin dibawa balik bersama bagasi di dalam kapal terbang. Terdapat kes power bank dirampas sekiranya dapat dikesan. Anggaran harga pos udara ini adalah RMB25-30/kg (lebih kurang RM12-15/kg) dan tidak termasuk tax.

2. Pos udara anggaran 7 hari tiba

Pilihan ini adalah sama seperti pilihan 1, hanya kelebihan pilihan ini adalah termasuk urusan tax walaupun tiba lewat sedikit. Jadi tidak perlu rasa risau sama ada barang ini akan dikenakan tax atau tidak. Anggaran harga pos udara ini adalah RMB25-30/kg (lebih kurang RM12-15/kg) termasuk tax.


3. Pos menggunakan kapal laut, anggaran 2-4 minggu tiba

Sesuai untuk barang berat dan banyak seperti cadar cotton patchwork dan peralatan tadika seperti gelongsor dan perabot. Pada kebiasaannya, apabila menghantar barang menggunakan kapal laut, kita akan mendengar istilah CBM. Apakah Itu Cubic Meter (CBM)?


1 CBM = 1m x 1m x 1m

Walaupun ilustrasi menunjukkan bentuk 4 segi sama untuk 1 CBM, namun begitu, barang yang dibeli tidak perlu dimasukkan ke dalam kotak bersaiz 1m x 1m x 1m. Pada permulaannya saya pun menganggap barang yang hendak dihantar perlu berukuran tepat seperti gambar. 

Rupa-rupanya, apabila barang-barang yang dibeli dikumpulkan daripada kedai borong dan dihantar ke gudang syarikat pengangkutan (warehouse), staf di gudang akan mengukur lebar x tinggi x panjang barangan kita (contohnya 1m x 2m x 1.5m = 3 CBM). Katakan harga untuk 1 CBM adalah RM400 untuk penghantaran door to door dari Guangzhou ke Malaysia dan barangan kita bersaiz 3 CBM, jumlah yang perlu dibayar untuk penghantar melalui kapal laut adalah RM400 x 3 CBM = RM1200. Harga ini termasuk harga tax yang akan diuruskan terus oleh syarikat pengangkutan. 

Semasa kami membeli peralatan tadika iaitu gelongsor, 5 set meja tadika, 30 biji kerusi, 2 almari buku dan 10 biji yoyo car, ukurannya lebih kurang 2.8 CBM. Sekiranya barangan kita berukuran kurang 1 CBM, kebiasaanya caj minimum adalah 1 CBM. Ini bermaksud, kita perlu beli barang sekurang-kurangnya 1 CBM. Sebagai anggaran, kebiasaanya 50-60 set cadar cotton patchwork bersamaan 1 CBM. 

Kos 1 CBM ini berbeza-beza mengikut syarikat dan lokasi penghantaran. Kebiasaannya dari Guangzhou ke Kuala Lumpur adalah sekitar RM330-RM380 bergantung kepada berapa banyak barangan kita. Sekiranya perlu dihantar ke luar Kuala Lumpur, kebiasaannya terdapat caj tambahan. 



Ukuran 1 CBM


Sekiranya 1m x 1.5m x 0.5m masih dikira 1 CBM walaupun bukan 4 segi sama

Nampaknya 11 siri Kisah Memborong di Guangzhou telah pun selesai. Alhamdulillah. 

Semoga pengalaman kami mengembara ke Guangzhou ada manfaatnya. Perjalanan beribu batu, bermula dengan langkah pertama. Bermulalah, kerana tanpa bermula, kita tidak tahu sejauh mana kita boleh melangkah.


Nurul Fauzana
nurulfauzana.com[at]gmail.com
www.nurulfauzana.com

0 comments:

Post a Comment