Friday, May 22, 2020

Siri Nota Kelas Mengaji (6) : Izhar Mutlak

Kredit FB Jom Tajwid

Sebelum kita cerita berkaitan Izhar Mutlak, kita lihat dulu hukum Idgham Maal Ghunnah.

Idgham Ma’al Ghunnah bermaksud menggabungkan huruf yang sukun ke dalam huruf yang berbaris beserta dengung.

Apabil nun mati atau tanwin bertemu dengan salah satu daripada 4 huruf di bawah.


 
ي و ن م

Tanda-tanda bacaan dalam Rasm Uthmani.



Kredit : Tajwid Asas 


Tiada tanda sukun di atas nun sakinah (mati) dan tanda tanwin yang tidak selari.

Cara bacaan:
Digabungkan bacaan nun ke dalam huruf selepasnya dengan didengungkan.


Berbalik kepada hukum Izhar Mutlak, seperti foto di atas, apabila nun sakinah (mati) bertemu dengan ي و, sepatutnya hukumnya adalah Idghom Maal Ghunnah.

Akan tetapi, terdapat 4 pengecualian untuk 4 perkataan seperti foto di atas. Jika kita perhatikan di dalam mushaf Rasm Uthmani tajwid berwarna, 4 perkataan di atas tidak akan berwarna seperti hukum Idgham Maal Ghunnah. Hukumnya dinamakan Izhar Mutlak.

Jadinya apabila namanya Izhar, hanya perlu dibaca dengan jelas dan nyata. Dun-ya. Bukannya dung-ya.

Semoga Allah berikan kefahaman kepada diri ini dalam membaca al-Quran dan mengamalkannya.

"Ikatlah ilmu dengan menuliskannya."

Nurul Fauzana 
30 Ramadan 1441H
Wang Tepus

Siri Nota Kelas Mengaji (5) : Wakaf & Ibtida'

Kredit AlMukhlisin Home Quran

Bagaimana nak wakaf dan ibtida' dalam al-Quran? Terutamanya bagi orang awam yang setakat belajar raksun 💆, junjumatun 💀

Memang nafas pendek betul, asyik nak berhenti sahaja. Ada baca tip, bacalah al-Quran sebelum Subuh. Haaa ambikkk mendapat nasihat terbaik 😂

Setelah digugel dan diutiub,

Ustaz Asraff kata tak boleh suka suki berhenti macam tengah memandu dekat lebuhraya.

Melainkan emergency macam tayar pancit ke.

Jika dah darurat, berhenti dekat tempat yang kecemasan tu. Kemudian ambil 1 perkataan di belakang. Tapi ini pun kena tengok juga perkataan.

Ada beberapa perkataan yang boleh dijadikan kata kunci. Foto di bawah ini contoh kata kunci yang diberikan oleh Ustazah.

Kredit https://www.instagram.com/p/B_hGYVtHH7G/
Kata Ustazah, apabila sudah terberhenti di tengah ayat atau tempat yang tiada tanda wakaf, sebaiknya bermula dengan mengambil beberapa kalimah ke belakang dengan mencari perkataan di dalam bulatan kuning atau putih.

Elakkan bermula dengan perkataan di dalam bulatan biru dalam foto di atas kerana perkataan di dalam bulatan biru memerlukan subjek dan predikatnya secara keseluruhan supaya makna ayat tidak terjejas.

Juga boleh juga berhenti pada hukum mad lin atau mad 'iwadh atau pada kata kerja. Mulakan semula dengan perkataan yang bermula di dalam bulatan kuning atau putih.

Seeloknya, tarik nafas panjang sebelum mula baca. Ada terlihat video Qariah Ustazah Farhah sebut dia bernafas melalui mulut dan hidung. Fuh. Kena berlatih lagi ni.

Ustazah juga ada berpesan, seeloknya jika masih belum akhir tajwid, gunakan Quran tajwid berwarna dan ada juga Quran Wakaf Ibtida' jika sejenis nafas tak panjang :D. Nampaknya kena cari juga Quran Wakaf Ibtida' yang ada tajwid warna. Sebelum ni ada beli wakaf ibtida' tapi rasanya yang versi pertama tak ada tajwid.



Quran Wakaf Ibtida' Tajwid Berwarna

Alhamdulillah, banyak betul belajar baharu + belajar semula apa yang belajar masa sekolah.

Didoakan Allah mudahkan urusan Ustazah Khadijah Gani dan keluarga atas asbab meluangkan masa setiap hari sejam lebih juga mengajar kami membaca dengan bertajwid. Amin.


"Ikatlah ilmu dengan menuliskannya."

Nurul Fauzana 
30 Ramadan 1441H
Wang Tepus

Siri Nota Kelas Mengaji (4) : Kalimah Unik Lafzul Jalalah ٱللَّهُ



Hari ni sambung lagi kelas mengaji. Kali ni ada kerja rumah. Ustazah Khadijah Gani tanya,
kenapa dalam Rasm Uthmani, kalimah Lafzul Jalalah (Allah), tiada alif kecil di atas macam tulisan khat tu.
Ingat lagi masa kecil beria kalau tak bagi orang curi barang mesti tulis Alif Lam Lah Ha dekat buku la, pemadam la 😂😂😂
Ustazah kata boleh tanya dekat pakcik gugel, tak boleh tanya dalam group. Katanya jarang ada kat gugel.
Selaku orang suka gugel, mustahil tak ada ni. Hehehehe.
Jadi habis kelas terus gugel sebab nak tau jawapan. Memang tak perasan kalau Ustazah tak habaq.
Jumpa jawapan, dalam Rasm Uthmani, tidak ditulis alif kecil di atas walaupun kena baca 2 harkat. Sebabnya...

Nak bezakan penulisan Al Lata (berhala). Cuba lihat ayat 19 Surah An Najm.

Ada lagi satu nota ditulis lebih panjang oleh Ustaz Asraff Ayob, boleh baca di sini.

***

Ini tambahan nota ditulis oleh Ustazah Khadijah Gani, gabungkan di sini untuk simpanan. Moga jadi ilmu bermanfaat.

Lafzul Jalalah.
Lafaz “ALLAH” di dalam Rasm Uthmani ditulis berbeza daripada Rasm Imal-ie yang menggunakan tanda alif kecil. Walaupun kalimah ALLAH ditulis dengan tanda baris fathah di atas huruf lam bersabdu, ia wajib dibaca dengan panjang 2 harkat dan bukannya 1 harkat. Huruf Lam pada Lafaz Jalalah adalah sebahagian hukum mad.
Di dalam Rasm Uthmani sahaja lafzul jalalah ditulis berbeza daripada fungsi baris yang kelihatan.
Ini bagi membezakan kalimah ALLAH daripada kalimah “Al-Laata” (Tuhan sembahan orang Jahiliyyah tanah Arab sebelum kedatangan Islam) yang juga terdapat di dalam Al-Quran yang ditulis dengan kebiasaan tanda panjang 2 harkat iaitu alif kecil di atas huruf Lam bersabdu.
أَفَرَءَيْتُمُ ٱللَّٰتَ وَٱلْعُزَّىٰ
(Surah an najm : 19)
Terdapat Qiraat lain yang membaca "Al- Laata" sebagai Al-Laah apabila diwaqafkan. Maka, bagi membezakan sebutan Allah apabila diwaqafkan, semua lafaz jalalah ditulis dengan tanda luar daripada kebiasaan iaitu dengan baris satu (fathah) sahaja namun, mafhum buat para pembaca wajib membacanya dengan panjang 2 harkat.
Kerana ini, lafaz jalalah adalah sangat unik dan istimewa dari segi penulisan dan cara bacaannya mengikut Rasm Uthmani.
ٱللَّهُ
Apabila diwaqafkan ianya dibaca dengan 2, 4 atau 6 harkat sama seperti hukum mad 'Aaridh Lil Sukun.
Lafaz Jalalah terbahagi kepada 2 iaitu ;
1. Tebal (tafkhim) jika sebelumnya berbaris fathah (atas) atau dhammah (hadapan).
قَالَ ٱللَّهُ اللَّهُمَّ حُدُودُ ٱللَّهِ عَلَيْهُ ٱللَّهَ
2. Nipis (tarqiq) jika huruf sebelumnya berbaris di bawah (kasrah).
وَلِلَّهِ بِٱللَّهِ يَتَّقِ ٱللَّهَ مُعْجِزِى ٱللَّهِ
***

"Ikatlah ilmu dengan menuliskannya."

Nurul Fauzana
29 Ramadan 1441H
Wang Tepus

Wednesday, May 20, 2020

Siri Nota Kelas Mengaji (3) : Hukum Mim Mati Idgham Mislaini Syafawi & Wajibul Ghunnah.



Kredit : https://www.facebook.com/akademi.alkhalil.12

Sebenarnya baru semalam dok cari juga info ni. Gugel tak jumpa. Dok fikir tentang bonggol Ustazah Khadijah Gani cerita. Ada 2&4.
Macam terasa panjang betul nak dengung sampai 4. Tu yang dok cari juga.
Tup tup pagi ni Ustazah bincangkan isu ni. Katanya perlu kaji semula. Adakah betul panjang dengung sampai 4.
Nanti kena bentang next class.
Jadi, selepas cari di fb dan utiub, jumpa la beberapa video dan post.

1. Ustaz Asraff ada sebut dalam videonya masa terangkan tentang wajibul ghunnah. Ada dekat satu ayat tu, mim mati jumpa mim, ustaz sebut ni bukan wajibul ghunnah, tapi dengung juga 2 harakat.



2. Ada jumpa nota seperti di foto. Beza hukum wajibul ghunnah dan idghom mislaini. Siap ada ditanda ini bukan wajibul ghunnah.

Persoalannya, eh kan ada sabdu juga di mim kedua.
Jadi teruskan mencari, jumpa 1 live ni, ada disebut semasa idghom mislaini, sabdu itu menunjukkan ianya idghom kamil. Ting!
So make sense la, sebelum ini memang ada bincangkan dalam kelas, beza idghom naqis dan kamil di rasm Uthmani adalah pada tanda sabdunya!
Sel otak dah bersambung!

 
Jadi, kesimpulannya, di contoh foto, dibulatkan oren, surah An-Nisa ayat 1, hukum yang terlibat adalah Idghom Mislaini Syafawi sahaja (mim bertemu mim) dan bukannya wajibul ghunnah. Jadi panjangnya hanya 2 harkat. Mim bersabdu di mim kedua menunjukkan ianya adalah idghom kamil (dimasukkan huruf kedua dengan sempurna).

Alhamdulillah, banyak betul percambahan ilmu baharu. Sesuai dengan tema hari guru 2020, "Belajar demi ilmu, bina generasi baharu."

"Ikatlah ilmu dengan menuliskannya."

Nurul Fauzana
25 Ramadan 1441H
Wang Tepus

Siri Nota Kelas Mengaji (2) : Sujud Sajadah/Tilawah


Tilawah ertinya bacaan. Maka Sujud Tilawah bererti sujud bacaan iaitu sujud kerana membaca atau mendengar ‘ayat-ayat Sajadah’ dari pembacaan Al-Quran yang kebiasaannya boleh dikenali pada ayat-ayat tersebut dengan ditandai garis atau simbol kubah dan tertulis perkataan sajadah.

Bacaan sujud sajadah/tilawah :

َسَجَدَ وَجْهِىَ لِلَّذِى خَلَقَهُ وَصَوَّرَهُ وَشَقَّ سَمْعَهُ وَبَصَرَهُ بِحَوْلِهِ وَقُوَّتِهِ فَتَبَارَكَ اللهُ أَحْسَنُ الخَالقِين

“Aku bersujud kepada Allah yang menjadikanku, memberikan pendengaranku dan penglihatanku dengan Kekuasaan-Nya dan Kudrat-Nya. Maka Maha Suci Allah, Dialah sebaik-baik pencipta kejadian.”

JIKA TAK DAPAT SUJUD KERANA TERDESAK, APAKAH TEKNIK YANG DIAJARKAN OLEH ULAMA’?

Mengikut pendapat beberapa ulama Syafi’iyyah seperti Imam Nawawi dalam kitabnya Al Azkar & Ibnu Hajar Al Haitami, jika kita tidak dapat sujud maka boleh ditukarkan dengan membaca Tasbih, Tahmid, Tahlil dan Takbir.

سُبْحَانَ اللهِ وَالْحَمْدُ لِلهِ وَلآ اِلَهَ اِلاَّ اللهُ وَاللهُ اَكْبَرُ

“Maha suci Allah dan segala puji-pujian bagiNya, tiada tuhan yang berhak disembah melainkan Allah dan Allah itu Maha Besar”.

Sebenarnya baru tau juga. Jika waktu kita baca tengah tidak tutup aurat elok (perempuan terutamanya), jadi takkan nak terus angkat takbir dan sujud kan? Jadi Ustazah kata boleh baca seperti di atas di dalam hati.


Nota tambahan :

     1. Niat Sujud Tilawah
Kredit : https://shafiqolbu.wordpress.com/2012/08/16/sujud-tilawah-sajadah/
 “Daku melakukan Sujud Tilawah kerana Allah Ta‘ala”
     2.  Bertakbir
     3.  Sujud
     4.  Salam


"Ikatlah ilmu dengan menuliskannya."

Nurul Fauzana
Wang Tepus
15 Ramadan 1441H



Siri Nota Kelas Mengaji (1) : Hamzah Wasal




Hamzah wasal. Hamzah wasal ini di dalam Rasm Uthmani ditulis dengan huruf alif dan di atasnya ada seperti kepala hurus sad.

Contohnya di dalam Surah Yasin, ayat ke-21 di atas.

Kredit : Jom Tajwid

Dulu masa sekolah memang ada belajar, jika nak baca, lihat baris huruf ketiga. Seperti ayat di atas, huruf ketiga adalah huruf 'ba' dengan baris bawah. 

Formulanya,

Huruf ke-3 baris bawah, dibaca bermula baris bawah.
Huruf ke-3 baris atas, dibaca 
bermula baris bawah.
Huruf ke-3 baris depan, dibaca bermula baris hadapan.

Namun jika perkataan tersebut ada Alif Lam, mestilah dibaca baris atas, tanpa melihat baris huruf ketiga.

Ilmu tajwid tahap sekolah berhenti setakat ini. Apabila masuk kelas mengaji online sepanjang Ramadan ini, rupa-rupanya ada pengecualian. Bukan semua ikut formula baris huruf ketiga.





Jadi apa pengecualiannya? 

1. Dalam Rasm Uthmani, hanya ada 1 tempat hamzah wasal yang perlu dibimbangkan tersilap sebut. Iaitu pada Surah Al Ahkaf ayat 4. Boleh rujuk di foto, yang ada tulisan bergaris.
Kenapa nak bimbang? Sebab dalam ayat tu ada tanda ( ﺻﻠﮯ ) (sambung lebih baik) tapi boleh berhenti.
Jadi apabila kita sambung, ok sahaja sebutnya samawati' tuni.
Hanya apabila kita berhenti. Bagaimana nak baca pada permulaan perkataan ﭐئتُواني.

I'tuni?
U'tuni?
Dua dua bukan.

Yang sebenarnya bacaan jadi ii tu ni. ii 2 harkat. Huruf hamzah bertukar jadi ya.
ﭐئتُواني jadi إِيتُواني

2. Merujuk kepada foto yang ada dibulatkan perkataan, ini tidak perlu bimbang jika kita gunakan rasm Uthmani kerana perkataannya bersambung dengan yang sebelumnya.
Jika mengikut rasm Imla'ie, ada ﺻﻠﮯ, maka jika berhenti dan mahu mulakan, perkataan yang betul adalah Ismuhu. Ia termasuk dalam nota yang pernah dikongsikan sebelum ini.
Hamzah Wasol dibariskan dengan TIDAK berpandukan Huruf Ketiga.

[+] 7 kata nama (اسم) yang Hamzah Wasolnya di baris bawah.
> ابْنُ [al-Imran : 45]
> ابْنَتَ [at-Tahrim : 12]
> اثْنَيْنِ [Yaseen : 14]
> اثْنَيْنِ [an-Nisaa : 176]
> اسْمُ [al-Hajj : 40]
> امْرُؤٌا [an-Nisaa :176]
> امْرَأَة [an-Nisaa : 12]
> امْرَأَتُ [Yusof : 30]

[+] Empat kata kerja (فعل) yang Hamzah Wasolnya di baris bawah.
> ابْنُوا [al-Kahf :21]
> اقْضُوا [Yunus : 71]
> َامْضُوا [al-Hijr : 65]
> امْشُوا [Sad : 6]

3. Akhir sekali, bagaimana nak kenal Quran kita guna ni Rasm Uthmani atau Imla'ie?

Mudah sahaja, perhatikan lafzul jalalah, perkataan الله‎ jika ditulis baris biasa, ianya Uthmani. Jika ada alif kecil di atas, ianya Imla'ie (rujuk foto). Macam dulu kita kecil, ada Quran Majid, yang itu Ustazah kata rasm Imla'ie. Cuma perlu ingat masih perlu dibaca dua harakat walaupun tiada tanda alif kecil di atas الله‎.

Nak tahu lebih lanjut tentang kalimah unik Lafzul Jalalah 
الله‎ , baca di sini.

Kesimpulannya, jika masih baru belajar, gunakanlah Rasm Uthmani baik di telefon atau Quran fizikal. Di telefon, jika bukan Rasm Uthmani, guna untuk baca surah yang memang kita biasa baca. Atau macam saya guna untuk rujuk makna per kata dan mp3.

Oh ya, untuk bacaan Al Ahkaf ayat 4 di atas boleh rujuk mp3 Qari. Dengar guna Quran Melayu Apps memang sama dengan yang diajarkan Ustazah Khadijah Gani إِيتُواني

Terima kasih Ustazah dan rakan sekelas. Didoakan Allah berikan kesihatan yang baik buat Ustazah sekeluarga atas masa yang diluangkan mengajar kami.

Benarlah, makin banyak belajar, semakin banyak yang tidak tahu. Moga Allah ampunkan dosa kesalahan membaca sebelum ini.

"Ikatlah ilmu dengan menuliskannya."

Nurul Fauzana
Wang Tepus
13 Ramadan 1441H

Tuesday, April 21, 2020

Kebun Sayur PKP

KEBUN SAYUR PKP KAMI

Alhamdulillah, syukur. Di sebalik ujian COVID 19, ada banyak terselit hikmah.

Pertama, menjadi semakin rajin. Kedua, ada masa untuk siapkan satu tugasan yang lama bertangguh. 

Siapa yang mengenali diri ini pasti tahu tak ada sebatang pokok bunga atau sayur pernah aku tanam. Mungkin tauge jika ada pun. Memasak dan bertani seakan sinonim. Jadi, memasak tak ada dalam kamus hobi. Bercucuk tanam apatah lagi.

Semuanya bermula dengan kawan pengusaha tadika di Manjung menunjukkan hasil Bayam Brazil. Senang hidup katanya. Cucuk cucuk je. 

Tak pernah dengar pun Bayam Brazil ni. Nampak sangat 'not in the loop'. Katanya dah viral lama.

Oleh kerana terpengaruh dengan perkataan 'senang', maka aku pun masukkanlah dalam takwim 2020 Tadika Kembara Bijak. Januari 2020 mesti semua anak-anak ada satu pasu Bayam Brazil.

Jadi sementara tu, cubalah cucuk cucuk di rumah. Siram sehari dua kali. Ku tatang bagai minyak yang penuh. Jika ada sehari tak balik rumah, risau bayam mati. Hahaha. 

Pelbagai video di utiub tentang Bayam Brazil ditonton. Ternyata memang nampak senang.

Ambil keratan batang di ofis Tuan Suami

Barisan pertama Bayam Brazil

Yang ni buat gaya Edward Scissorhand

Si debab ni sibuk juga nak tolong siram

Dah dapat jawatan Tukang Kebun Tadika 
Ni tapau dari kedai makan :D

Maka nak dijadikan cerita, projek Bayam Brazil di Tadika Kembara Bijak pun dah berjaya dilaksanakan pada awal Februari.


Selepas rasa yakin dengan 'tangan sejuk' ni, maka bermulalah macam-macam di tanam.

Bermula di beranda sampai buat 'raised beds' dekat laman rumah.
Semua kata tanah perkuburan pulak dah. Adoi sedih makcik :(
Bukan Ali yang ditanam ya. Haha!


Ini Kangkung tanam secara hidroponik, guna tapis. Nanti kena buat post lain khas untuk ini sahaja.
Lawak juga sebab ada yang tak percaya ini benih kangkung. Semua kata tauge. Aku pun cuak eh takkan salah biji benih?


Bayam Brazil tanam di tanah lebih gebu. Ada baja tahi kambing :D

Tuaian Bayam Merah dan Hijau pertama. 

Tuaian Kangkung kali pertama dan Bayam Merah Hijau kali kedua. Bagi hadiah kat kawan yang ini. Tak larat makan. 

Rapat rapat sungguh bayam ni. Kena buat post khas kongsi bagaimana tanam bayam. 

Ni kutip kali kedua.


Tengah semai Pak Choy. Hari tu ada tanam tapi habis daun dimakan serangga. Kena semai lain.


Sekarang dah ada beberapa jenis sayuran.

1. Petola
2. Bendi
3. Ulam Raja
4. Bayam Merah Hijau
5. Bayam Brazil
6. Cili (dah ada buah 2 biji kecil hehe. Seronoknya!)
7. Mint
8. Jagung

Dalam perancangan nak tanam :

1. Timun
2. Tembikai
3. Daun sup (tengah semai, banyak kali tak berjaya)

Antara menu, kerepek bayam brazil. Rangup. Jadikan ulam pun sedap!

Oleh kerana nampak gaya PKP ini akan dilanjutkan lagi. Maka, Tuan Suami nak menunaikan janjinya kepada Ali, darjah 1 boleh bela arnab.

Baru siap rumah teresnya, tapi arnabnya belum ada lagi. Tunggu!

Alhamdulillah. Saja nak simpan gambar di blog. Senang nak scroll semula. Di FB bersepah merata.

Sebelum ini pernah terfikir, adakah kalau duit minyak kereta dah diberi percuma, makanan semua dah terhidang tak perlu nak fikir, adakah kita akan masih bekerja sehari suntuk, keluar pagi balik petang.

Sedikit sebanyak, persoalan itu seolah-olah menjadi realiti di musim COVID 19. Terutamanya buat yang kerja kerajaan, yang tak risau dicutikan tanpa gaji atau dipotong gaji.

Bagi yang swasta ni, memang ada cabarannya. Namun semua itu hanyalah ujian kecil sahaja. Insya-Allah ada caranya.

Apa yang penting, rantaian covid 19 ini dapat diputuskan. Graf semakin menurun.

Ramadan pun sudah mahu menjelma.

Ruginya jika sepanjang PKP ini tiada ibrah yang diambil. 'The new normal' yang perlu disusun semula rutin harian kita.

Semoga semuanya baik-baik sahaja. Moga disampaikan kepada Ramadan dan berjumpa malam seribu bulan.

Akhir kata, selagi masa diizinkan Tuhan, melangkahlah terus ke depan.

Nurul Fauzana Kapi
Wang Tepus
21.4.2020