Showing posts with label Usrah Jitra. Show all posts
Showing posts with label Usrah Jitra. Show all posts

Saturday, June 5, 2021

Nota Buat Anakku : 8 Hak-hak Al-Quran Yang Mesti Dipenuhi

Alhamdulillah pagi ini diberi peluang untuk mengikuti kuliah daripada Ustazah Dr. Sholihah Kaswari berkaitan (DSK) hak-hak Al-Quran. Selama ini ada dengar daripada kawan semasa Usrah Jitra. Kali ini dapat dengar sendiri daripada gurunya.

Kuliah ini selama 2 hari di FB Group. Sekarang ada 15 minit rehat. Maka waktu inilah kita cuba gunakan untuk taipkan semula agar ilmu itu tidak terpendam di dalam buku nota sahaja.

Sebelum kita teruskan dengan 8 Hak-hak Al-Quran, apa sebenarnya yang kita tahu tentang Al-Quran?

Biasalah apabila disoal, terus rasa err err tak tau apa sebenarnya Al-Quran ini. DSK kongsikan apa yang dituliskan oleh Imam Ibn Qayyim Al-Jauziyah dalam bukunya Fawaid al-Fawaid. Ini yang dijumpai dalam salah satu blog yang menulis tentang tajuk yang sama.

Sumber di Nota Kuliah Ibu


Secara ringkasnya, ini 8 hak-hak Al-Quran yang perlu dipenuhi oleh kita sebagai orang Islam. Apabila selesai kuliah, memang nampak dari dulu sampai sekarang hanya 1 hak sahaja yang selalu dipenuhi, iaitu yang ke-3. Apa pun tak akan ada istilah terlambat. Allah akan hadirkan sesuatu apabila sesuai masanya kerana Allah itu Maha Adil. Mungkin jika dulu ternampak blog yang ditulis berkaitan Hak-Hak Al-Quran akan dipandang sepi sahaja kerana rasa tidak ada kaitan atau sibuk dengan hal-hal dunia yang lain.

Mengambil nota di Nota Kuliah Ibu tentang apa itu Al-Quran, 

AL QURAN

Al Quran itu adalah kitab yang mengandungi keberkatan (Al Barakah) untuk kita fahami pelajari (Tadabbur)  dan dijadikan peringatan (Zikra)  sebagai panduan hidup (Hidayah) untuk capai kebahagiaan (Saadah)  dunia akhirat. Insya Allah.

DSK mulakan dengan satu pernyataan Gladstone, Perdana Menteri Britain suatu masa dahulu.

William Ewart Gladstone (1809 - 1898) - mantan Perdana Menteri Britain ketika zaman pemerintahan Queen Victoria. Beliau berkata " Selagi mereka umat Islam berpegang dengan kitab ini, selama itulah mereka bangkit dan kita tidak dapat menundukkan mereka. Oleh itu pisahkan mereka dari Kitab ini". - (ucapan beliau sambil mengangkat Al-Qur'an dalam Parlimen Britain ketika membincangkan penentangan umat Islam terhadap penjajahan).
Pernyataan ini menjadikan Badi'uzzaman Said Nursî (1878 – 23 Mac 1960) tidak boleh tidur. 

Dalam hati terasa, sedang diri ini sejak dulu boleh tidur dengan penuh lenanya.
Pastinya sebab sejak dulu hanya tunaikan 1 hak Al-Quran sahaja :( 

Tanpa membuang masa, apakah 8 Hak-hak Al-Quran ini?

1. AL-TASDIQ [41:53]

سَنُرِيْهِمْ اٰيٰتِنَا فِى الْاٰ فَا قِ وَفِيْۤ اَنْفُسِهِمْ حَتّٰى يَتَبَيَّنَ لَهُمْ اَنَّهُ الْحَـقُّ ۗ اَوَلَمْ يَكْفِ بِرَبِّكَ اَنَّهٗ عَلٰى كُلِّ شَيْءٍ شَهِيْدٌ

"Kami akan perlihatkan kepada mereka tanda-tanda kekuasaan Kami di merata-rata tempat (dalam alam yang terbentang luas ini) dan pada diri mereka sendiri, sehingga ternyata jelas kepada mereka bahawa Al-Quran adalah benar. Belumkah ternyata kepada mereka kebenaran itu dan belumkah cukup (bagi mereka) bahawa Tuhanmu mengetahui dan menyaksikan tiap-tiap sesuatu?"

(QS. Fussilat 41: Ayat 53)

Jika dahulu orang Arab dapat menerima al-Quran apabila mukjizatnya dilihat dari segi sastera/syair. Mereka tidak mampu untuk mendatangkan satu pun ayat seperti al-Quran.

Tapi pada masa ini. Bahasa Arab apatahlagi sastera terasa begitu jauh. Jadi pada waktu ini, kebenaran al-Quran boleh dilihat dari segi fenomena alam semesta.

Cuba perhatikan kedalaman laut.


Pada kedalaman 1000 meter sudah bermula kegelapan.

Perhatikan pula Al-Quran surah An-Nur : 40


اَوْ كَظُلُمٰتٍ فِيْ بَحْرٍ لُّـجّـِيٍّ يَّغْشٰٮهُ مَوْجٌ مِّنْ فَوْقِهٖ مَوْجٌ مِّنْ فَوْقِهٖ سَحَا بٌ ۗ ظُلُمٰتٌۢ بَعْضُهَا فَوْقَ بَعْضٍ ۗ اِذَاۤ اَخْرَجَ يَدَهٗ لَمْ يَكَدْ يَرٰٮهَا ۗ وَمَنْ لَّمْ يَجْعَلِ اللّٰهُ لَهٗ نُوْرًا فَمَا لَهٗ مِنْ نُّوْرٍ
"Atau (orang-orang kafir itu keadaannya) adalah umpama keadaan (orang yang di dalam) gelap-gelita di lautan yang dalam, yang diliputi oleh ombak bertindih ombak; di sebelah atasnya pula awan tebal (demikianlah keadaannya) gelap-gelita berlapis-lapis - apabila orang itu mengeluarkan tangannya, ia tidak dapat melihatnya sama sekali. Dan (ingatlah) sesiapa yang tidak dijadikan Allah menurut undang-undang peraturanNya mendapat cahaya (hidayah petunjuk) maka ia tidak akan beroleh sebarang cahaya (yang akan memandunya ke jalan yang benar)."
(QS. An-Nur 24: Ayat 40)

Sudah dinyatakan lautan itu dalam, gelap gelita berlapis-lapis. Sains hari ini membuktikan apa yang sudah tertulis di dalam Al-Quran sejak dulu. 

Teringat juga baru-baru ini berkaitan tenggelamnya kapal Naggala, barulah cuba nak cari tentang dalamnya laut sehingga nampak dokumentari tentang Jurang Mariana. Sungguh terasa kerdil diri ini, jika nak dibandingkan luasnya alam ciptaan Allah.

2. AL ISTIMA’ [7:204]

وَاِ ذَا قُرِئَ الْقُرْاٰ نُ فَا سْتَمِعُوْا لَهٗ وَاَ نْصِتُوْا لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُوْنَ

"Dan apabila Al-Quran itu dibacakan, maka dengarlah akan dia serta diamlah (dengan sebulat-bulat ingatan untuk mendengarnya), supaya kamu beroleh rahmat."

(QS. Al-A'raf 7: Ayat 204)

Potensi manusia ini (ahsani taqwim : sebaik-baik bentuk - 95:4) dimulakan dengan pendengaran, kemudian penglihatan dan seterusnya hati (67:23) 

لَقَدْ خَلَقْنَا الْاِ نْسَا نَ فِيْۤ اَحْسَنِ تَقْوِيْمٍ ۖ 

"Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya (dan berkelengkapan sesuai dengan keadaannya)."

(QS. At-Tin 95: Ayat 4)

قُلْ هُوَ الَّذِيْۤ اَنْشَاَ كُمْ وَجَعَلَ لَـكُمُ السَّمْعَ وَا لْاَ بْصَا رَ وَ الْاَ فْــئِدَةَ ۗ قَلِيْلًا مَّا تَشْكُرُوْنَ

"Katakanlah (wahai Muhammad): Allah yang menciptakan kamu (dari tiada kepada ada), dan mengadakan bagi kamu pendengaran dan penglihatan serta hati (untuk kamu bersyukur, tetapi) amatlah sedikit kamu bersyukur."

(QS. Al-Mulk 67: Ayat 23)

3. Al-QIRAAH [96:1]

اِقْرَأْ بِا سْمِ رَبِّكَ الَّذِيْ خَلَقَ ۚ 

"Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk),"

(QS. Al-'Alaq 96: Ayat 1)

Ini yang dari kecil sampai ke besar, fokusnya pada Qiraah sahaja. Bagi orang yang tidak boleh membaca, qiraahnya akan jadi hafazan. Bagi yang boleh membaca, lihat dan baca sahaja, belum masuk ke hati.

Terkait dengan diri sebagai cikgu mengajar membaca. Memang begitulah pada awalnya. Belajar gunakan kaedah fonik, anak akan mendengar dulu, kemudian barulah melihat simbolnya dan dikaitkan dengan bunyi pertuturan. Kemudian anak akan boleh membaca apabila menggabung bunyi. Namun, jika bahasa anak itu masih rendah, anak tidak akan faham apa yang dibaca. Perkataan seperti pilu, boros, huru hara, haru biru. Anak akan boleh baca, tetapi faham? Bergantung kepada tahap bahasa mereka ketika itu.

Teringat kata Ustaz Abdul Muein, tajwid itu memang perlu belajar, biasanya jika fokus 3 bulan boleh habis. Tadabbur itu yang perlu dibuat sepanjang masa.

4. AL-TILAWAH [29:45]

اُتْلُ مَاۤ اُوْحِيَ اِلَيْكَ مِنَ الْكِتٰبِ وَاَ قِمِ الصَّلٰوةَ    ۗ اِنَّ الصَّلٰوةَ تَنْهٰى عَنِ الْفَحْشَآءِ وَا لْمُنْكَرِ ۗ وَلَذِكْرُ اللّٰهِ اَكْبَرُ   ۗ وَا للّٰهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُوْنَ

"Bacalah serta ikutlah (wahai Muhammad) akan apa yang diwahyukan kepadamu dari Al-Quran, dan dirikanlah solat (dengan tekun); sesungguhnya solat itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar; dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya); dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan."

(QS. Al-'Ankabut 29: Ayat 45)

Tilawah ini biasanya untuk diri sendiri yang tak faham Bahasa Arab, fokusnya kepada bacaan berlagu. Akan tetapi hakikat sebenarnya tilawah ini adalah baca dan faham. Berbeza dengan Qiraah tadi yang hanya baca.

5. AL-TADABBUR [23:68] [47:24]

اَفَلَمْ يَدَّبَّرُوا الْقَوْلَ اَمْ جَآءَهُمْ مَّا لَمْ يَأْتِ اٰبَآءَهُمُ الْاَ وَّلِيْنَ ۖ 

"Maka adakah mereka melakukan yang demikian kerana mereka tidak dapat memahami kata-kata ajaran (yang disampaikan kepada mereka)? Atau kerana telah datang kepada mereka sesuatu yang tidak pernah datang kepada datuk nenek mereka yang telah lalu?"

(QS. Al-Mu'minun 23: Ayat 68)


اَفَلَا يَتَدَبَّرُوْنَ الْقُرْاٰ نَ اَمْ عَلٰى قُلُوْبٍ اَقْفَا لُهَا

"(Setelah diterangkan yang demikian) maka adakah mereka sengaja tidak berusaha memahami serta memikirkan isi Al-Quran? Atau telah ada di atas hati mereka kunci penutup (yang menghalangnya daripada menerima ajaran Al-Quran)?"

(QS. Muhammad 47: Ayat 24)

Hari kedua kelas, DSK menyebut beza lafaz dalam Quran ini menunjukkan mesej yang berbeza. Hati misalnya ada 4 lapisan. 

Lub - Lapisan paling dalam, tempat data-data ayat Al-Quran disimpan. Perhatikan ayat di atas 47:24, apabila diceritakan tentang ayat al-Quran, Allah menggunakan perkataan قُلُوْبٍ.

Fuad - Mata hati, tempat data fenomena alam

Qolbu - alat yang digunakan untuk mengingat (di dalamnya ada Lub & Fuad)

Sodru - lapisan paling luar, di sini syaitan berbisik. Boleh lihat surah An-Nas 

الَّذِيْ يُوَسْوِسُ فِيْ صُدُوْرِ النَّا سِ ۙ 

"Yang melemparkan bisikan dan hasutannya ke dalam hati manusia, -"

(QS. An-Nas 114: Ayat 5)

Awal dulu risau juga kadang-kadang apabila belajar ilmu baharu. Takut jadi sesat ke apa kan. Dah la cetek ilmu. Sebab tu apabila kita belajar dengan guru, perhatikan apa yang diperkatakan, adakah selari dengan Al-Quran dan hadis. Jangan memandang batang tubuh guru sahaja, cantik, jelita, berpenampilan menarik, apa yang dikata semuanya benar sehingga timbul taasub. Ini DSK tekankan dan juga Ustaz Abdul Muein ada sebut. Jangan sebab tak suka dengan fizikal seseorang, apa sahaja yang keluar walaupun selari dengan Al-Quran, kita tolak.

Jadi ada gugellah tentang 4 lapisan hati ini, ada jumpa di web Mufti Wilayah, nampaknya selari dengan apa yang dijelaskan. DSK bukan buat teori sendiri, tetapi mengambilnya daripada tafsiran para ulamak. Di akhir penjelasan di web Mufti Wilayah, dituliskan begini,

Hendaklah diketahui bahawa penjelasan ini adalah ijtihad ulama’ tasawwuf semata-mata hasil daripada rasaan (zauq) dan ilham daripada Allah SWT. Semoga pencerahan ini memberi manfaat kepada kita untuk memahami perbezaan antaranya dan lebih mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Jadi, jelaslah ini bukanlah penjelasan Rasulullah, tetapi ijtihad ulama' tasawwuf. Jika teori barat tentang psikologi kita terima dan angguk-angguk, bagaimana dengan ijtihad ulama' yang ini? Kata kuncinya, baca, kaji dan tidak taasub kepada guru. Wallahu a'lam.

Ada dikongsikan DSK tentang kisah Al-Ahnaf semasa Tadabbur Al-Quran,

لَقَدْ اَنْزَلْنَاۤ اِلَيْكُمْ كِتٰبًا فِيْهِ ذِكْرُكُمْ ۗ اَفَلَا تَعْقِلُوْنَ

"Sesungguhnya Kami telah menurunkan kepada kamu sebuah Kitab (Al-Quran) yang mengandungi perkara yang menimbulkan sebutan baik dan kelebihan untuk kamu, maka mengapa kamu tidak memahaminya (dan bersyukur akan nikmat yang besar itu)?"

(QS. Al-Anbiya 21: Ayat 10)

Lalu beliau berkata kepada dirinya untuk membuka Al-Quran lembaran demi lembaran untuk mencari apakah karakter dirinya.

Sehingga beliau berjumpa profil Ahli Syurga di Adz-Zariyat 51:17-19. Beliau merasakan beliau masih jauh lagi daripada profil itu. Lalu dibelek lagi sehingga berjumpa dengan ayat yang menyatakan golongan ahli neraka di Al-Muddathir 74:42-46. 

Akhirnya, beliau menemukan dirinya di ayat surah At-Taubah 9:102 

Begitulah bagaimana tadabbur itu, merenungkan ayat-ayat yang dibaca dan membandingkan dengan diri sendiri.

Erti mentadabburi suatu kalimat adalah memikirkannya dari bahagian awal sampai akhir, kemudian mengulang-ulangi perenungannya


Sumber : Nota Kuliah


Teringat ini diucapkan oleh Dr. Zulkifli Al-Bakri, beza apabila kita takut dengan sesuatu atau seseorang, kita akan menjauh. Contohnya kita takut dengan ular, nampak, kita lari jauh. Namun apabila kita takut dengan Allah, kita akan semakin mendekat. 

6. Al-TAZAKKUR [38:29]

كِتٰبٌ اَنْزَلْنٰهُ اِلَيْكَ مُبٰرَكٌ لِّيَدَّبَّرُوْۤا اٰيٰتِهٖ وَلِيَتَذَكَّرَ اُولُوا الْاَ لْبَا بِ

"(Al-Quran ini) sebuah Kitab yang Kami turunkan kepadamu (dan umatmu wahai Muhammad), -Kitab yang banyak faedah-faedah dan manfaatnya, untuk mereka memahami dengan teliti kandungan ayat-ayatnya, dan untuk orang-orang yang berakal sempurna beringat mengambil iktibar."
(QS. Sad 38: Ayat 29)

Tazakkur ini berkaitan dengan peringatan di dalam ayat-ayat Al-Quran. Tazakkur berkaitan dengan mengeluarkan peringatan atau pengajaran di dalam Al-Quran sebagai 'zikra'. Kita baca dan fahami dulu, dan apabila kita ditimpa isu dalam kehidupan, kita tinggal petik sahaja untuk mengamalkannya. 


7. AL-I'TIBAR [59:2]


هُوَ الَّذِيْۤ اَخْرَجَ الَّذِيْنَ كَفَرُوْا مِنْ اَهْلِ الْكِتٰبِ مِنْ دِيَا رِهِمْ لِاَ وَّلِ الْحَشْرِ ۗ مَا ظَنَنْـتُمْ اَنْ يَّخْرُجُوْا وَظَنُّوْۤا اَنَّهُمْ مَّا نِعَتُهُمْ حُصُوْنُهُمْ مِّنَ اللّٰهِ فَاَ تٰٮهُمُ اللّٰهُ مِنْ حَيْثُ لَمْ يَحْتَسِبُوْاوَقَذَفَ فِيْ قُلُوْبِهِمُ الرُّعْبَ يُخْرِبُوْنَ بُيُوْتَهُمْ بِاَ يْدِيْهِمْ وَاَ يْدِى الْمُؤْمِنِيْنَ ۙ فَا عْتَبِـرُوْا يٰۤاُ ولِى الْاَ بْصَا رِ

"Dia lah yang telah mengeluarkan orang-orang kafir di antara Ahli Kitab - dari kampung halaman mereka pada julung-julung kali mereka berhimpun hendak memerangi Rasulullah. Kamu (wahai umat Islam) tidak menyangka bahawa mereka akan keluar (disebabkan bilangannya yang ramai dan pertahanannya yang kuat), dan mereka pula menyangka bahawa benteng-benteng mereka akan dapat menahan serta memberi perlindungan kepada mereka (dari azab) Allah. Maka Allah menimpakan (azabNya) kepada mereka dari arah yang tidak terlintas dalam fikiran mereka, serta dilemparkanNya perasaan cemas takut ke dalam hati mereka, (lalu) mereka membinasakan rumah-rumah mereka dengan tangan mereka sendiri (dari dalam) sambil tangan orang-orang yang beriman (yang mengepung mereka berbuat demikian dari luar). Maka insaflah dan ambilah pelajaran (dari peristiwa itu) wahai orang-orang yang berakal fikiran serta celik mata hatinya."

(QS. Al-Hasyr 59: Ayat 2)

Iktibar ini dikaitkan dengan mengambil ibrah dari alam semesta.

Gabungan tazakkur dan tadabbur ini disebutkan sebagai IDDIKAR [54:15 & 51]. Muddakir, orang yang mengambil pelajaran, orang yang memikirkan.

8. AL-I'TTIBA' [6:155]


وَهٰذَا كِتٰبٌ اَنْزَلْنٰهُ مُبٰرَكٌ فَا تَّبِعُوْهُ وَا تَّقُوْا لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُوْنَ ۙ 

"Dan ini sebuah Kitab (Al-Quran) yang Kami turunkan, yang ada berkatnya (banyak manfaatnya). Oleh itu, hendaklah kamu menurutnya; dan bertaqwalah (kepada Allah), mudah-mudahan kamu beroleh rahmat."
(QS. Al-An'am 6: Ayat 155)

Ini yang terakhir sekali, apabila 7 hak-hak Al-Quran itu dipenuhi, perlulah diikuti dan tidak hanya memilih-milih apa yang sesuai dengan hawa nafsu. Menyampaikan juga termasuklah dalam hak al-Quran yang ke-8.

Kelas kedua DSK bertanya, apakah lawannya al-Quran. 

Setelah beberapa kali mengikut kelas di FB dan membeli beberapa pendrive kuliah, pada mulanya terfikir syaitan. Tetapi eh syaitan tu satu je, ada lagi musuh kita yang selalu disebutnya.

Terlintas perkata HAWA yang selalu DSK sebutkan. Syahwat, syubhah dan syaitan. 3S yang saling berkaitan.

Benarlah, Quran itu lawannya Hawa. Hawa itu apa sahaja keinginan yang menyalahi apa di dalam Al-Quran.

Inilah 8 hak-hak Al-Quran yang secara ringkas dapat dituliskan untuk diri ini menyusun masa yang diberi Allah 24 jam sehari untuk memenuhinya.

Memang nampak cemas apabila sudah belajar, banyak sungguh yang tak terpenuhi. 

Namun, mengingatkan pesanan DSK selalu, di dalam Al-Quran Allah telah menyatakan sifat manusia ini AJULA. Suka tergesa-gesa. Mahu buat semua, akhirnya buat 1 hari sahaja kesemuanya kemudian ditinggalkan atas dasar kemalasan melanda. 

خُلِقَ الْاِ نْسَا نُ مِنْ عَجَلٍ ۗ سَاُ ورِيْكُمْ اٰيٰتِيْ فَلَا تَسْتَعْجِلُوْنِ

"Jenis manusia dijadikan bertabiat terburu-buru dalam segala halya; Aku (Allah) akan perlihatkan kepada kamu tanda-tanda kekuasaanKu; maka janganlah kamu meminta disegerakan (kedatangannya)."
(QS. Al-Anbiya 21: Ayat 37)

Ada banyak lagi sambungannya untuk hari kedua,

Ulul Albab, ulul absar, ulun nuha.
Siapakah sahabat Al-Quran?
Siapakan pengabai Al-Quran? Boleh baca juga di blog Kuliah Notes, ada secara ringkas nota kelas yang sama tapi pada sesi berbeza.

Moga Allah berikan keberkatan masa untuk menuliskannya semula. 

Penulisan akhir ini ditutup dengan satu ayat al-Quran yang rasa terkesan ketika dibacakan oleh DSK semalam.

Allah Ta’ala berfirman,

طه (1) مَا أَنْزَلْنَا عَلَيْكَ الْقُرْآَنَ لِتَشْقَى (2) إِلَّا تَذْكِرَةً لِمَنْ يَخْشَى (3) تَنْزِيلًا مِمَّنْ خَلَقَ الْأَرْضَ وَالسَّمَاوَاتِ الْعُلَا (4)

“Thoha. Kami tidak menurunkan Al Quran ini kepadamu agar kamu menjadi susah; tetapi sebagai peringatan bagi orang yang takut (kepada Allah), yaitu diturunkan dari Allah yang menciptakan bumi dan langit yang tinggi.” (QS. Thoha: 1-4).


Apabila diterbalikkan ayat kedua ini, akan terserlahlah maksudnya, "Kami menurunkan Al-Quran ini kepadamu agar kamu bahagia". Begitulah indahnya ayat-ayat Al-Quran ini, turun untuk menyuburkan hati-hati yang membacanya seperti turunnya hujan membasahi tanah lalu menyuburkan tanaman.

Wallahu a'lam.

"Ikatlah ilmu dengan menuliskannya.

Nurul Fauzana
Wang Tepus
6.6.2021

Thursday, March 11, 2021

Usrah Jitra 9 : Israk Mikraj Permulaan Syariat Solat


Sambil mendengar kuliah Israk Mikraj Ustaz Shaari di Tadabbur Centre, tulislah sedikit ilmu yang didapati sepanjang Usrah Jitra ke-8 hari ini.

Sambung membaca surah Fussilat, dapatlah juga kami menghabiskan 2 halaman beserta terjemahan. Kali ini terjumpa satu hukum tajwid yang merupakan bacaan istimewa di dalam al-Quran iaitu Tashil.

Antara yang menarik analogi dikongsikan Wawa tentang membeli gula-gula dengan duit yang haram, masih manis. Begitu juga jika kita mendakwa sesuatu tanpa asbab itu berjaya sebagai sesuatu yang benar. Contoh paling mudah, kita gunakan essential oil Abundance, berduyun-duyun masuk rezeki, maka belilah jom, pasang, akan jadi magnet rezeki :(

Sesuatu yang berlaku di luar lingkungan asbab, akan menjadikan kita percaya kepada kuasa selain Allah dan inilah yang dikatakan syirik. Inilah benda yang paling bahaya sebab kita pun tahu syirik inilah dosa yang tak diampunkan oleh Allah. Lebih sedih jika kita buat sebab kita tak sedar, sebab kejahilan kita sendiri.

***
Israk Mikraj. Kenapa agaknya kita cuti dan apakah penghayatan yang dapat dikongsikan bersama anak-anak? Jika ditanya kepada Ali, dia boleh ingat Muallimah cerita tentang minta diskaun solat. Adakah itu sahaja?

Peristiwa Israk Mikraj ini tercatat dalam surah Al-Israa’ ayat 1 (Al-Quran:17:1). Surah An-Najm (al Quran:53:13-18) juga menceritakan peristiwa ini.

“Maha Suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haram (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Jerusalem), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” ( Al-Quran, Surah Al Israa’: 1)

Antara perkongsian rakan usrah berkaitan solat.

1. Khusyuk ini adalah kewajipan dan ianya bermula sebelum kita mula berdiri di atas sejadah.

2. Bagaimana kita menjalankan kehidupan seharian kita akan menentukan khusyuk di dalam solat.

3. Adakah kita menggunakan data Albab (di dalam Al-Quran) dan data Absar (lihat fenomena alam) dan menyusun surah apakah kali ini yang akan kita persembahkan untuk 'bercakap-cakap' dengan Allah dalam setiap solat?

4. Bagaimana tabiat kita ketika solat dan selepas solat boleh menunjukkan tahap iman kita. Adakah kita bergegas-gegas mahu bangun setelah tamat solat?

5. Solat ini Allah beri kita pilih nak solat di mana, bila waktunya (di dalam waktu yang ditetapkan). Hanya perlu wuduk dan angkat takbir. Wuduk pula sebagai salah satu cara nak putuskan dengan urusan dunia. Bercakap dengan diri sendiri, tanpa penghayatan, lepas wuduk tengok tv sat (drama jam 7), iklan baru lari solat. Itu dululah kannnnnnnnnnnn. Tapi tu la tv dah tak ada, telefon pula. Sambil tunggu waktu, tangan telefon. Lepas solat, capai telefon. Lepas tu sibuk nak cari khusyuk :(

6. Dikongsikan juga oleh rakan usrah, Surah Tur ayat 21;

وَالَّذِينَ آمَنُوا وَاتَّبَعَتْهُمْ ذُرِّيَّتُهُم بِإِيمَانٍ أَلْحَقْنَا بِهِمْ ذُرِّيَّتَهُمْ وَمَا أَلَتْنَاهُم مِّنْ عَمَلِهِم مِّن شَيْءٍ كُلُّ امْرِئٍ بِمَا كَسَبَ رَهِينٌ

Dan orang-orang yang beriman, dan yang anak cucu mereka mengikuti mereka dalam keimanan, Kami hubungkan anak cucu mereka dengan mereka, dan Kami tiada mengurangi sedikitpun dari pahala amal mereka. Tiap-tiap manusia terikat dengan apa yang dikerjakannya.

Untuk anak-anak menjadi soleh, ibu bapanya perlu soleh dahulu. Kadang-kala banyak sangat angan-angan nak anak itu ini, tapi terlupa nak membaiki diri. 

7. Alim ulama pada zaman dahulu akan sedih apabila tidak mati ketika dalam solat. Solat itu adalah kerehatan bagi Nabi Muhammad SAW dan sahabat. Bukan setelah habis solat rasa lega. Tetapi dalam solat itu sendiri. Boleh lihat bagaimana Nabi Muhammad beribadat sehingga bengkak kakinya. Penuh khusyuk dan penghayatan. Ketenteraman perlu dicari sebelum mula solat.

Bercakap dengan diri sendiri lagi, apabila kadang-kadang solat sendiri, anak-anak pun tak ada dekat sekeliling, itu pun masih penuh dengan hal dunia yang teringat. Kadang tu nak salahkan anak bising kat keliling, tapi bukan itu punca utamanya tak khusyuk :(

Sambil menaip ni masih dengar lagi Ustaz Shaari. Apa yang penting kita ni kena faham apa itu Islam supaya kita tak takut dengan taktik musuh. Tambah Ustaz, mari jadikan peristiwa Israk' Mikraj tidaklah sekadar sebagai sambutan. Bagaimana nak berikan kualiti dan makna dalam sambutan?

Kata Ustaz, berikan makna baru dalam sambutan, mengembalikan kita dalam surah Israk itu sendiri. 110 ayat. Pintu gerbang surah Al-Kahfi. Penuh dengan pesanan hidup di akhir zaman. Zionis menguasai pelbagai bidang, jadi bagaimana usaha kita sebagai orang Islam? Tadabbur ayat 1-7 Surah Israk itu sendiri. 

Nampaknya nak kena sambung dengan Tadabbur di Ghulam Dakwah. Surah Israk antara tadabbur yang dah lengkap 1 surah. Sibukkan diri dengan perkara-perkara 'tinggi' walaupun ujian mengantuk, malas tu menjelma. 

Teringat Dr. Sholihah pesan dalam salah satu kuliah di utube, sekadar mampu usaha tu bukan macam sekadarnya sahaja, maksudnya kita dah cuba sampai betul-betul penat, barulah kita kata, inilah semampu kita. Bukan ala kadar je cuba. Tertidur sekali dengar kuliah, ulang balik. Benda baik memang susah. Tengok cerita lagho, tv netfik, utiub memang mudah, tadah mata sahaja. Tak perlu hadam, tak perlu tulis nota, tak perlu berfikir lebih-lebih. Ala macam tengok The Home Edit la, Konmari la, tengok dokumentari memang senang la, semangat nak buat. Lepas tu pusing tengok rumah sendiri, he he he :D

Moga Allah berikan kemanisan solat buat kita semua sebelum menutup mata untuk selama-lamanya. Amin amin amin Ya Rabbal Alamin.

"Ikatlah ilmu dengan menuliskannya..."

Nurul Fauzana
Wang Tepus
10.3.2021

Monday, March 8, 2021

Usrah Jitra 8 : Pentingnya Niat & Apakah Tazyin Syaitan

 



New Village, Tepus Money

Usrah kali ini kami membaca secara bergilir ayat al-Quran dan terjemahan Surah Fussilat seorang setengah muka, bermula ayat 21 sehingga 28. Alhamdulillah minggu ini 4 orang dapat hadir, dapatlah 2 muka dibaca.

Apabila setiap minggu dibuat Usrah, memang rasa sekejap betul. Kononnya lepas habis Usrah nak baca la sikit tentang surah Fussilat ni, supaya ada juga ilmu baru nak dikongsi, tapi tiba-tiba eh dah hari Rabu. Nampak sangat apalah yang disibukkan dengan urusan dunia ni kan. Mungkinkah ini yang dikatakan apabila engkau mahu sangat dunia, akan disibukkanlah sehingga kelihatan betul-betul sibuk :(

Jadi sebelum tiba Usrah berikutnya, marilah kita menggerakkan jari-jemari, mencatatkan serba sedikit perkongsian rakan-rakan agar di saat diri ini lupa, ada tulisan yang mampu mengingatkan kembali, insya-Allah.

1. Pentingnya niat dalam kehidupan. Mengambil ibrah daripada kisah ibu Saidatina Maryam, mewakafkan anak ke jalan Allah.

Allah Subhanahu Wa Ta'ala berfirman:


اِذْ قَا لَتِ امْرَاَ تُ عِمْرٰنَ رَبِّ اِنِّيْ نَذَرْتُ لَـكَ مَا فِيْ بَطْنِيْ مُحَرَّرًا فَتَقَبَّلْ مِنِّيْ ۚ اِنَّكَ اَنْتَ السَّمِيْعُ الْعَلِيْمُ

"(Ingatlah) ketika isteri Imran berkata: Tuhanku! Sesungguhnya aku nazarkan kepadaMu anak yang ada dalam kandunganku sebagai seorang yang bebas (dari segala urusan dunia untuk berkhidmat kepadaMu semata-mata), maka terimalah nazarku; sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui."

(QS. Ali 'Imran 3: Ayat 35)

فَلَمَّا وَضَعَتْهَا قَا لَتْ رَبِّ اِنِّيْ وَضَعْتُهَاۤ اُنْثٰى ۗ وَا للّٰهُ اَعْلَمُ بِمَا وَضَعَتْ ۗ وَ لَيْسَ الذَّكَرُ كَا لْاُ نْثٰى ۚ وَاِ نِّيْ سَمَّيْتُهَا مَرْيَمَ وَاِ نِّيْۤ اُعِيْذُهَا بِكَ وَذُرِّيَّتَهَا مِنَ الشَّيْطٰنِ الرَّجِيْمِ

"Maka apabila ia melahirkannya, berkatalah ia: Wahai Tuhanku! Sesungguhnya aku telah melahirkan seorang anak perempuan (sedang yang aku harap-harapkan ialah anak lelaki), - dan Allah memang mengetahui akan apa yang dilahirkannya itu - dan memanglah tidak sama anak lelaki dengan anak perempuan; dan bahawasanya aku telah menamakannya Maryam, dan aku melindungi dia dengan peliharaanMu, demikian juga zuriat keturunannya, dari godaan syaitan yang kena rejam (yang dikutuk dan disingkirkan)."

(QS. Ali 'Imran 3: Ayat 36)

Teringat tadi ada melihat utiub Ustaz Abdul Muein berkaitan cita-cita ibu bapa.




Cita-cita tertinggi ibu bapa adalah supaya anak-anaknya menjadi anak soleh. Satu perkataan yang ditekankan ialah مُحَرَّرًا (bebas). Apa itu bebas? Bebas daripada cinta dunia. Tak kiralah anak itu jadi doktor, jurutera atau apa sahaja, asalkan dia jadi soleh, pastinya dia akan menjadi anak yang kita sebagai ibu bapa mahukan. 

Walaupun dihajatkan di dalam hati anaknya lelaki, kelahiran Saidatina Maryam ke dunia ini menunjukkan bahawa tidak kira anak lelaki atau perempuan, ada peranannya. Semasa Usrah 2 ada dikongsikan berkaitan peranan wanita seperti yang disebut di dalam al-Quran.

2. Lantas apa lagi yang ada dengan niat? Saidina Ali juga dikatakan pernah berhenti membunuh musuh apabila musuh itu meludah wajahnya. Ditanyakan kenapa. Jawabnya, di saat wajahnya diludah, beliau jadi marah dan tidak mahu membunuh itu disebabkan marah dan bukan kerana Allah. Allahu Akbar.

Ini yang hari-hari marah anak sebab nafsu amarah apa cerita :(

TAZYIN SYAITAN

Tazyin? Apa itu tazyin? Memperindahkan atau memperelokkan perbuatan yang jahat supaya manusia merasakan maksiat yang dilakukan bukanlah suatu perkara yang keji. Bahkan, manusia akan merasakan perbuatan dosa tersebut mendatangkan kebaikan kepadanya.

3. Ada terbaca yang syaitan ini beranak pinak dan tidak mati. Jadi bayangkanlah manusia yang mati ini pun sudah berapa juta, apatahlagi syaitan yang tidak mati. Dalam Al-Quran ada disebutkan tentang syaitan ini, surah Al-Hijr ayat 39-40 dan surah Al-A'raf ayat 16-17.

Allah Subhanahu Wa Ta'ala berfirman:

قَا لَ رَبِّ بِمَاۤ اَغْوَيْتَنِيْ لَاُ زَيِّنَنَّ لَهُمْ فِى الْاَ رْضِ وَلَاُ غْوِيَـنَّهُمْ اَجْمَعِيْنَ ۙ 

"Iblis berkata:  Wahai Tuhanku! Kerana Engkau telah menjadikan daku sesat, (maka) demi sesungguhnya aku akan memperelokkan segala jenis maksiat kepada Adam dan zuriatnya di dunia ini, dan aku akan menyesatkan mereka semuanya,"

(QS. Al-Hijr 15: Ayat 39)

اِلَّا عِبَا دَكَ مِنْهُمُ الْمُخْلَصِيْنَ

"Kecuali di antara zuriat-zuriat Adam itu hamba-hambaMu yang dibersihkan dari sebarang syirik."

(QS. Al-Hijr 15: Ayat 40)

قَا لَ فَبِمَاۤ اَغْوَيْتَنِيْ لَاَ قْعُدَنَّ لَهُمْ صِرَا طَكَ الْمُسْتَقِيْمَ ۙ 

"Iblis berkata: Oleh kerana Engkau (wahai Tuhan) menghukum daku tersesat (maka) demi sesungguhnya aku akan mengambil tempat menghalangi mereka (dari menjalani) jalanMu yang lurus;"

(QS. Al-A'raf 7: Ayat 16)

ثُمَّ لَاٰ تِيَنَّهُمْ مِّنْۢ بَيْنِ اَيْدِيْهِمْ وَمِنْ خَلْفِهِمْ وَعَنْ اَيْمَا نِهِمْ وَعَنْ شَمَآئِلِهِمْ ۗ وَلَا تَجِدُ اَكْثَرَهُمْ شٰكِرِيْنَ

"Kemudian aku datangi mereka, dari hadapan mereka serta dari belakang mereka, dan dari kanan mereka serta dari kiri mereka; dan Engkau tidak akan dapati kebanyakan mereka bersyukur."

(QS. Al-A'raf 7: Ayat 17)

Masa Wawa kongsi rujukan dalam al-Quran ni tak baca betul-betul maksudnya. Apabila dah buat nota ni, haaa seram ke tak seram.

Liciknya syaitan ni, dia pandai nak ikut keadaan kita. Katakan kita ni dah mula pergi Usrah, elok dah tu. Lepas tu kita dok ajak kawan pi, dia kata dia sibuk la, bizi la. Terus hati kita ni menghukum, "ha tu la orang ajak takmo, lepas tu sibuk nak complaint macam-macam hati susah la gelisah la..."

Nampak tak permainan syaitan? Astaghfirullah azim. أعوذ بالله من الشيطان الرجيم. Aku berlindung kepada Allah daripada syaitan yang direjam. 

Begitulah. Lintasan itu akan memang selalu ada. Sebab kita ini hanya manusia. Bezanya apa kita buat dengan lintasan itu, menidakkan atau membenarkannya? 

Ada lagi tentang syaitan ni.

Allah Subhanahu Wa Ta'ala berfirman:


وَقَيَّضْنَا لَهُمْ قُرَنَآءَ فَزَيَّنُوْا لَهُمْ مَّا بَيْنَ اَيْدِيْهِمْ وَمَا خَلْفَهُمْ وَحَقَّ عَلَيْهِمُ الْقَوْلُ فِيْۤ اُمَمٍ قَدْ خَلَتْ مِنْ قَبْلِهِمْ مِّنَ الْجِنِّ وَا لْاِ نْسِ ۚ اِنَّهُمْ كَا نُوْا خٰسِرِيْنَ

"Dan Kami adakan untuk mereka teman-teman rapat (dari jin dan manusia), lalu teman-teman itu memperhiaskan kepada mereka (fahaman-fahaman sesat) mengenai perkara-perkara dunia yang ada di hadapan mereka, serta perkara-perkara akhirat yang ada di belakang mereka; dan (dengan sebab itu) tetaplah hukuman (azab) atas mereka bersama-sama dengan umat umat (yang sesat) dari jin dan manusia yang terdahulu daripada mereka. Sesungguhnya mereka semuanya adalah golongan yang rugi (bawaan hidupnya)."

(QS. Fussilat 41: Ayat 25)

Berkait dengan jin dan syaitan ini, imbas kembali tempoh hari ada berbincang tetapi belum dituliskan, ikhtiar berkait dengan rawatan sihir menggunakan jin sehingga dikatakan boleh nampak bentuk jin yang datang dan sebagainya (walaupun claim menggunakan ayat al-Quran) adalah ditegah sama sekali. Analoginya seperti kita membayar 'gangster' untuk beri perlindungan kepada kita daripada diganggu. 

Apa yang paling ditakuti, amalan meminta perawat menghalau jin ini boleh menjadikan kita syirik kerana percaya kepada kuasa selain Allah. Dosa yang kita buat tanpa sedar atas asbab kejahilan kita dengan tipu daya syaitan. Dosa besar lain Allah boleh ampunkan apabila kita bertaubat, akan tetapi dosa syirik? Nauzubillahi min zalik. 

Biasanya apabila mula terjebak dengan bantuan perawat ini, katakan 1 kes selesai. Kemudian tiba-tiba kejadian berulang atau tanda-tanda lain ada gangguan, kita akan terus tergerak nak minta tolong 'tengokkan' lagi. Ala-ala kita demam terus ambil ubat. Memang kita tahu ubat tu asbab sahaja. Dibolehkan. Hanya apabila pertama kali berkesan, kita gembira, syukur sebab Allah beri. Kali kedua sakit, terus kita ambil ubat tu gulp gulp telan, wah ubat ni berkesan. Lupa terus Allah yang beri. 

Begitulah kadang benda ni macam automatik tanpa sedar. Moga Allah bantu kita dalam perkara ini. Jika ternampak tegurlah dan jika kita kadang terlupa, ada yang akan tegur kita juga. Wallahu a'lam.

Jadi, bagaimana nak bantu diri kita ini dalam melawan tipu daya syaitan?

Contohi Nabi Ibrahim a.s. Sentiasa hidupkan deria mata untuk melihat kebesaran Allah melalui fenomena alam dan telinga juga dihidupkan dengan mendengar ayat-ayat Al-Quran. Apabila qalbu tenang, baru dada (sodru) lapang. 

Dada yang lapang ini antaranya apabila tidak diisi dengan kecintaan kepada dunia. Nampak kawan beli emas, aduh terasa nak juga. Kawan beli gajet baru, nak juga. Selagi tak dapat tu dia punya teringat. Ni tak mengata orang, diri sendiri pun macam tu hai. Lepas tu justifikasikan dengan pelbagai justifikasi. Hakikatnya, dada sempit :(

Bercerita tentang dada lapang, teringat dulu Puan Amni ada berkongsi tentang kenapa kita suka lihat benda yang tersusun, lapang. Kita ini asalnya dari syurga. Indah tak tergambar. Jadi apabila kita nampak benda yang lapang, kemas tak serabut dengan barang merata, hati kita ini rindu pada rumah kita di syurga. Begitulah analoginya.

No wonder apabila pergi Ikea aduhai lapangnya, minimalisnya, seronok melihatnya. Tapi balik rumah walaupun beli barang Ikea tak lapang macam kat Ikea. Ha ha ha! Jangan lupa dekat Ikea ada pekerja yang tugasnya mengemas dan memastikan dekorasi tip top. Dekat rumah kita? Haaa, ada makhluk kenit yang selalu buat sepah. Pantang emak tidur sekejap, dah jadi macam kapal karam, hailah anak. 

Tapi itulah, apabila sibuk kemas rumah, anak buat sepah mula la nak marah. Nak-nak lagi 5 minit ada orang nak sampai rumah. Moga Allah kurniakan syurga Firdaus buat kita semua yang nanti tak perlu kita sibuk berkemas dah :( .... amin amin ya rabbal 'alamin.

Alhamdulilah. 

الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِى بِنِعْمَتِهِ تَتِمُّ الصَّالِحَاتُ Segala puji hanya milik Allah yang dengan segala nikmatnya segala kebaikan menjadi sempurna.

Banyak lagi yang dibincangkan, namun ini yang sempat dicoretkan. Moga yang sedikit ada manfaatnya.

"Ikatlah ilmu dengan menuliskannya..."

Nurul Fauzana
Wang Tepus

Thursday, February 25, 2021

Usrah Jitra 7 : 4 Kedudukan Anak Di Dalam Al-Quran

Dah 2 kali dengar semasa usrah tetapi belum tulis secara elok lagi. Semalam dengar kali kedua, kena ambil juga masa menuliskannya.

1. ZIINATUN (Perhiasan)

Allah Subhanahu Wa Ta'ala berfirman:

اَلْمَا لُ وَ الْبَـنُوْنَ زِيْنَةُ الْحَيٰوةِ الدُّنْيَا ۚ وَا لْبٰقِيٰتُ الصّٰلِحٰتُ خَيْرٌ عِنْدَ رَبِّكَ ثَوَا بًا وَّخَيْرٌ اَمَلًا

"Harta benda dan anak pinak itu, ialah perhiasan hidup di dunia; dan amal-amal soleh yang kekal faedahnya itu lebih baik pada sisi Tuhanmu sebagai pahala balasan, dan lebih baik sebagai asas yang memberi harapan."
(QS. Al-Kahf 18: Ayat 46)

Contohnya anak waktu umur baya Nuh Luqman ni, sebut mama mama dan buat muka comel. Pegang pipi mama sebut, mey mey (comel). Lepas tu mama sibuk snap gambar letak dekat FB. Memang betullah perhiasan dunia.

2. QURROTA A’YUN (Penyejuk Hati)

Allah Subhanahu Wa Ta'ala berfirman:

وَا لَّذِيْنَ يَقُوْلُوْنَ رَبَّنَا هَبْ لَـنَا مِنْ اَزْوَا جِنَا وَذُرِّيّٰتِنَا قُرَّةَ اَعْيُنٍ وَّا جْعَلْنَا لِلْمُتَّقِيْنَ اِمَا مًا

"Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang-orang) yang berdoa dengan berkata: Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa."
(QS. Al-Furqan 25: Ayat 74)

Qurrotu a’yun adalah menyejukkan pandangan mata kerana anak ini mempelajari tuntutan Allah dan melaksanakannya.

Ibnu ‘Abbas Radhiyallahu ‘Anhu berkata, "Qurrota a'yun maksudnya adalah keturunan yang mengerjakan ketaatan, sehingga dengan ketaatannya itu membahagiakan orang tuanya di dunia dan akhirat."

Pernah tak ada hari anak ni boleh bangun tanpa disuruh, siap sendiri dan apabila kita lihat, eh dah solat subuh. Tanpa perlu disuruh-disuruh. Orang Melayu kata, sejuk perut ibu mengandung. Gitulah umpamanya. Pastinya bukan setiap harilah anak ini akan berperangai begini.

Cuma apabila kita faham, Allah nak tunjukkan sedikit kemanisan apabila anak itu menjadi penyejuk hati. Jadi apakah usaha kita nak bentuk amanah kita ni supaya dapat menjadi Qurrota a'yun. Cukupkah dengan sekadar berdoa?

3. FITNAH (Ujian & Cubaan)

Allah Subhanahu Wa Ta'ala berfirman:

اِنَّمَاۤ اَمْوَا لُـكُمْ وَاَ وْلَا دُكُمْ فِتْنَةٌ  ۗ وَا للّٰهُ عِنْدَهٗۤ اَجْرٌ عَظِيْمٌ

"Sesungguhnya harta benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah menjadi ujian, dan di sisi Allah jualah pahala yang besar."
(QS. At-Taghabun 64: Ayat 15)
Baca lebih lanjut tentang fitnah ini maksudnya ujian yang menyebabkan kita sebagai orang tua terjerumus dalam maksiat. Contohnya di saat kita bekerja sekuat-kuatnya demi untuk memastikan anak kita dapat makan minum, kita melewatkan solat. Sedangkan yang memberi rezeki itu Allah Yang Maha Pemberi Rezeki yang beri tetapi kita seperti bertuhankan harta dunia dan menggunakan alasan demi anak-anak.

Selain itu, apabila anak-anak terlibat dengan perkara maksiat walaupun pada daya kita sebagai orang tua, kita dah berikan sebaiknya pendidikan. Inilah waktunya anak ini adalah ujian.

4. ‘ADUWWUN (Musuh)

Allah Subhanahu Wa Ta'ala berfirman:

يٰۤاَ يُّهَا الَّذِيْنَ اٰمَنُوْۤا اِنَّ مِنْ اَزْوَا جِكُمْ وَاَ وْلَا دِكُمْ عَدُوًّا لَّكُمْ فَا حْذَرُوْهُمْ ۚ وَاِ نْ تَعْفُوْا وَتَصْفَحُوْا وَتَغْفِرُوْا فَاِ نَّ اللّٰهَ غَفُوْرٌ رَّحِيْمٌ

"Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya ada di antara isteri-isteri kamu dan anak-anak kamu yang menjadi musuh bagi kamu; oleh itu awaslah serta berjaga-jagalah kamu terhadap mereka. Dan kalau kamu memaafkan dan tidak marahkan (mereka) serta mengampunkan kesalahan mereka (maka Allah akan berbuat demikian kepada kamu), kerana sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani."
(QS. At-Taghabun 64: Ayat 14)

Ini yang paling ditakuti. Contohnya anak nak tablet yang beribu di luar kemampuan kita. Kita dapatkan dengan jalan mencuri. Nauzubillah. Saat inilah anak menjadi musuh.

Begitulah serba sedikit catatan dan pencarian lanjut 4 kedudukan anak-anak sebagaimana dicatatkan di dalam Al-Quran hasil perkongsian Noor Azurah Anuar sahabat yang gigih menuntut ilmu.

Apabila kita jelas 4 kedudukan ini sebagaimana Allah nyatakan, jadi kita tahu saat ini anak kita jadi apa dan kita tak akan mudah sedih, marah (walaupun kita tahu nak kawal marah, sedih bukan dengan sekadar memahami kedudukan yang 4 ini).

Ianya perjalanan yang panjang. Apabila kita berkehendak, kita akan cari jalannya. Moga Allah mudahkan pencarian kita dalam menuju kepada-Nya.

"Ikatlah ilmu dengan menuliskannya..."

Nurul Fauzana
Wang Tepus
26.2.2021


Thursday, February 18, 2021

Usrah Jitra 6 : Analogi Kehidupan Dunia

Tak tau nak letak gambar apa. Kita letak gambar promosi Jual Buku Solat aci?

 Minggu ni kehadiran 3 orang sahaja di rumah yang ada bunyi air mengalir. Alhamdulilah, rasa nyaman sungguh. 

Secara ringkasnya perkongsian minggu ini;

1. Benda yang lama atau baru, tetapi dicampak ke hati yang 'hidup' akan tetap segar.

2. Apabila asam limau diperah ke tangan yang luka, sakitnya ibarat dihiris-hiris. Namun apabila diperah ke atas tangan yang tiada luka, tiada kesannya.

Itulah analogi hati yang dekat dengan Allah tatkala ujian melanda (tidak terkesan) dan akan tenang. Apabila hati yang jauh, ibarat ada luka di kulit. 

3. Mujahadah yang besar sejak lahir, berperang dengan hawa nafsu.

4. Hadis Rasulullah.

مِنْ سَعَادَةِ الْمَرْءِ الْمَسْكَنُ الْوَاسِعُ ، وَالْجَارُ الصَّالِحُ ، وَالْمَرْكَبُ الْهَنِيءُ

Maksudnya :” Antara (tanda) kebahagiaan seseorang ialah rumah yang luas, jiran yang soleh dan kenderaan tunggangan yang elok.”

Riwayat al-Bukhari (457) di dalam al-Adab al-Mufrad.

Perhatikan adakah rumah yang luas itu kita gunakan untuk jalan Allah.

5. Banyak analogi di dalam al-Quran agar kita boleh rasa. Ahsani Takwim ini ada 3 deria yang perlu diaktifkan iaitu penglihatan, pendengaran dan qalbu.

Teringat dok tolong kerja rumah anak sekolah rendah. Terma deria, ada gambar mata. Mula-mula suruh anak tulis mata. Tapi apabila rujuk buku teks deria tu penglihatan bukan deria mata. 

Jadi bagaimana deria penglihatan ini mahu diaktifkan? Untuk penglihatan, gunakanlah mata untuk melihat alam. 

6. Orang mukmin akan sentiasa melakukan kebaikan sebagaimana pokok kurma sentiasa menghasilkan buah. Jika di Malaysia ni, boleh diumpakan bagai pokok kelapa 1000 guna. Kalimah yang baik dalam ayat 24 Surah Ibrahim merujuk kepada kalimah tauhid لا اله الا الله.

7. Orang kafir pula umpama pokok yang tidak elok.

ISU SESAT TEKNIK BERDOA ASMAUL HUSNA

8. Secara umumnya, berdoa dengan menyebut nama Allah itu tidak salah. Jangan risau. 

Perlu perhatikan apabila berdoa kita gunakan Allah Ya Rahman. Tetapi apabila kita menyebut (bukan bentuk doa), gunalah Allah Ar-Rahman dan bukan Allah Ya Rahman.

Tambahan pagi ini ada dengar live tadabbur Ustaz Abdul Muein tentang amalan berdoa. Jadi terus cuba komen bertanya menggunakan berdoa menggunakan Al-Mathurat. Sebelum Ustaz jawab, ada yang balas di komen, gunakan sahih sahaja. 

Ustaz sempat menjawab, di dalam Al-Mathurat memang ada bercampur yang sahih dan doif. Namun begitu, jika BERDOA, tidak salah jika doif sekalipun. Jika buat amalan, guna yang sahih sahaja. Wallahu a'lam.

Dalam live Ustaz juga ada dikongsikan apabila berdoa yang berlebih-lebih atau meleret. Lihat sahaja bagaimana Rasulullah berpesan kepada Saiditina Aishah apakah doa yang perlu dibaca jika malam itu Lailatul Qadar. Lihat doanya ringkas sahaja, 

Cari semula di gugel :

Dari Aisyah radhiallahu ‘anha, beliau bertanya kepada Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam:

يَا رَسُولَ اللَّهِ أَرَأَيْتَ إِنْ عَلِمْتُ أَيُّ لَيْلَةٍ لَيْلَةُ القَدْرِ مَا أَقُولُ فِيهَا؟ قَالَ: قُولِي: اللَّهُمَّ إِنَّكَ عُفُوٌّ تُحِبُّ الْعَفْوَ فَاعْفُ عَنِّي 

Ertinya:
Wahai Rasulullah, jika aku menjumpai satu malam merupakan lailatul qadar, apa yang harus aku ucapkan di malam itu? Beliau menjawab: Ucapkanlah: 

اللَّـهُـمَّ إنَّكَ عَفُوٌّ تُـحِبُّ العَفْوَ فَاعْفُ عَنِّي

Ertinya:
“Ya Allah, sesungguhnya Engkau Zat Yang Maha Pemaaf dan Pemurah maka maafkanlah diriku”.
(HR. Ahmad 25384, At-Tirmizi 3513, Ibn Majah 3850, An-Nasai dalam Amal Al-yaum wa lailah, dan Al-Baihaqi dalam Syua’bul Iman 3426).

Ini antara yang dapat dituliskan. Kadang-kala rasa segan juga sebab tak banyak nak dikongsi, banyak menyerap ilmu sahaja. Baca Tafsir Az-Zumar pun tak bergerak lagi. Jadi sumbangan yang mampu, tuliskan di blog untuk diikat ilmu yang sedikit. Moga jadi ilmu yang bermanfaat.

Alhamdulillah, sepanjang mengikuti Usrah Jitra dapat juga melawan nafsu menghabiskan masa di Netflix tanpa perlu delete Netflix. Kalau dulu memang cara terbaik untuk elak dengan buang, contohnya nak exam asyik berYAHUMsgr, uninstall. Gitu sekali. Lepas tu install balik, hahaha. 

Kali ni, kita nampak je Netflix tu ada, tapi keseraman membayangkan terkaman syaitan apabila meninggalkan al-Quran dan kekosongan yang dirasai apabila setelah selesai menonton cerita menyebabkan satu perasaan yang ibarat haus tidak berkesudahan. Sudah nampak sedikit cahaya, alhamdulillah.

Bukanlah nak kata tak lagha sepenuhnya. Masih tengok fb dan benda lain, cuma kadarnya tidaklah seperi netflix yang berjam-jam habiskan siri demi siri cerita kononnya me time sebab dah penat bekerja. Akhirnya bukan me time pun, sebab mencari di tempat yang salah :(

Begitulah hidup ini. Berjuang selagi ada masa yang dipinjamkan. Cuba dan terus cuba, moga pengakhiran yang baik buat kita semua. Amin :x

Nurul Fauzana
Wang Tepus
19.2.2020



Thursday, February 11, 2021

Usrah Jitra 5 : Mencari Di Tempat Yang Salah





Antara refleksi diri sendiri selama hampir sebulan meninggalkan tempat melihat cerita-cerita korea dan seangkatan dengannya (tapi masih belum delete ya ka ka tergelak Dr. Nadiyah Elias mendengarnya).

Adakalanya kita penat buat kerja seharian, lepas tu 'me time' di saat tak boleh ke mana-mana kita justifykan dengan menonton sejam dua baik di yt, nt dan di mana-mana.
Saya juga begitulah walau jarang berkongsi sinopsis cerita. Tapi diam-diam baca cerita orang dan cari cerita tersebut. Astaghfirullah.
Tapi itulah, adakalanya apabila berjumpa cerita yang seronok pada persepsi diri seperti cerita korea Start Up, akan sedih ala kenapa dah habis episod ni. Ada season 2 ke tak nanti. Nak lagi nak lagi, nak cari lagi cerita macam ni.
Maka bermulalah cari lagi cerita seangkatan dengannya sampai kadang terjerumus ke cerita tak best dan lepas sejam dua, adui menyesalnya tengok cerita yang tak menepati kehendak.
Maka tanya review orang lain lagi dan lagi dan berulanglah kitaran begitu.
Sebab apa? Mencari di tempat yang salah. Tak akan jumpa. Jika jumpa pun masih tak puas sebab tempat tu takkan berikan apa yang fitrah kita nak.
Jadi banyak sangat tulis ni dah jumpa ke tempatnya?
Satu lagi refleksi minggu ini, manusia ini sifatnya tergesa-gesa. Kalau boleh semua nak sekarang. Kena terima hakikat ini.
Tiba-tiba apabila kita terasa dah jumpa, lepas tu kita pun sibuk pumpangpumpang, tapi orang yang dengar dan baca rasa ala apa kebenda la dia cerita ni. Orang buat tak tahu.
Lepas tu kita mula stress. Kenapa semua orang tak nampak apa aku nampak. Kenapa semua orang tak rasa apa aku rasa.
Ini juga satu benda yang kita kena faham. Dunia ini Darul Ibtila', tempat ujian. Jadi apabila kita cuba buat benda yang diluar kuasa kita seperti memahamkan orang, kita akan jadi penat.
Tugas kita sebagai hamba-Nya adalah sampaikan. Allah akan izin dan aturkan hidayah itu sampai.
Jadi berbalik kepada dah jumpa ke tempat nak cari sesuatu yang akan membuat fitrah rasa cukup? Berbalik kepada kempen Hamalatul Quran.

Intro panjang. Sebenarnya nak tulis ringkasan Usrah Jitra minggu ni. Ada beberapa perkongsian yang perlu dicatatkan, moga jadi ingatan berpanjangan buat diri.

Bagaimana nak atasi rasa 'down' / 'stress' apabila kita cuba kongsi apa yang kita rasa kita dah dapat dan faham kepada kaum keluarga terdekat tapi reaksi mereka berbeza dengan apa yang kita mahu.

Wawa kongsi Ustaz Yusnaidi UUM ada kongsi dalam menerangkan Tafsir Pimpinan Ar-Rahman.
Allah Subhanahu Wa Ta'ala berfirman:
خُذِ الْعَفْوَ وَأْمُرْ بِا لْعُرْفِ وَاَ عْرِضْ عَنِ الْجٰهِلِيْنَ
"Terimalah apa yang mudah engkau lakukan, dan suruhlah dengan perkara yang baik, serta berpalinglah (jangan dihiraukan) orang-orang yang jahil (yang degil dengan kejahilannya)."
(QS. Al-A'raf 7: Ayat 199)

a) خُذِ الْعَفْوَ Terimalah apa yang mudah engkau lakukan -> Bersikap pemaaflah wahai Muhammad apabila mereka menyatakan sesuatu kepada kamu (gila dan banyak lagi).

b) وَأْمُرْ بِا لْعُرْ dan suruhlah dengan perkara baik -> Teruskan ajar dan kongsi benda baik

c) وَاَ عْرِضْ عَنِ الْجٰهِلِيْنَ serta berpalinglah (jangan dihiraukan) orang-orang yang jahil (yang degil dengan kejahilannya) -> Jangan simpan dalam fikiran jika kita berhadapan dengan orang jahil yang suka serang peribadi kita.

SIFAT-SIFAT BAIK YANG PERLU ADA PADA PERIBADI KITA

1. Refleksi buat diri. Orang yang serang peribadi kita apabila tak dapat terima fakta kita beri, maksudnya memang itulah peribadi orang jahil. Orang jahil akan serang peribadi apabila mereka tak dapat cari fakta ilmiah. Jadi kita maafkanlah mereka.

2. Tak cukup dengan maaf. Jangalah berhenti berkongsi atau sebarkan kebaikan.

3. Jangan hiraukan orang yang jahil. Yelah apabila orang serang peribadi kita, benda yang kita buat mungkin di waktu kita jahil dibesar-besarkan, mestilah kita dok teringat. Ada yang sampai tak boleh tidur malam. Tapi Allah dah tuliskan buat Nabi Muhammad, berpalinglah. Jangan hiraukan. Pastinya terpakai untuk kita juga.

Nampak macam senang je ko tulis ni ya. Memang tulis senang. Nak buat, Allah sahaja yang tahu susah. Bukankah bersusah-susah itu memang keperluannya di dunia?
Apabila orang kata kita, mestilah kita akan cepat melenting. Geram je kan sebab kita tahu kita tak buat.

Sambungan ayat 200.

Allah Subhanahu Wa Ta'ala berfirman:
وَاِ مَّا يَنْزَغَـنَّكَ مِنَ الشَّيْطٰنِ نَزْغٌ فَا سْتَعِذْ بِا للّٰهِ ۗ اِنَّهٗ سَمِيْعٌ عَلِيْمٌ
"Dan jika engkau dihasut oleh sesuatu hasutan dari Syaitan, maka mintalah perlindungan kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui."
(QS. Al-A'raf 7: Ayat 200)
Allah ajar, فَا سْتَعِذْ بِا للّٰ. Cepat-cepatlah. Ada diajarkan, apabila sedang berdiri, duduk. Ambil wudhuk. Beristighfar.

اِنَّهٗ سَمِيْعٌ عَلِيْمٌ

sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.

Sambungan ayat 201;
اِنَّ الَّذِيْنَ اتَّقَوْا اِذَا مَسَّهُمْ طٰٓئِفٌ مِّنَ الشَّيْطٰنِ تَذَكَّرُوْا فَاِ ذَا هُمْ مُّبْصِرُوْنَ ۚ 
"Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa, apabila mereka disentuh oleh sesuatu imbasan hasutan dari Syaitan, mereka ingat (kepada ajaran Allah) maka dengan itu mereka nampak (jalan yang benar)."
(QS. Al-A'raf 7: Ayat 201)
Inilah gunanya kita mahu faham Quran, supaya kita cepat-cepat ingat. Kadang kita belajar cara-caranya, kita tahu apa nak buat apabila marah. Tapi tak dapat nak aplikasikan apabila terjadinya perkara yang membuatkan kita marah. Sebab kita tahu caranya tapi dalam dada tak diisi dengan sepatutnya diisi.

وَاِ خْوَا نُهُمْ يَمُدُّوْنَهُمْ فِى الْغَيِّ ثُمَّ لَا يُقْصِرُوْنَ
"Sedang saudara (pengikut) Syaitan-syaitan, dibantu oleh Syaitan-syaitan itu dalam melakukan kesesatan, kemudian mereka tidak berhenti-henti (melakukan perbuatan yang sesat lagi menyesatkan itu)."
(QS. Al-A'raf 7: Ayat 202)

kerana sahabat-sahabat syaitan ini akan tidak berhenti, terus-menerus menyesatkan kita.

Teringat pula tulisan sahabat di FB, marah itu adalah pada PUKULAN PERTAMA. Jika pada pukulan pertama itu kita dapat kawal, maka di saat itulah syaitan kalah. Caranya dah diajarkan, cuma itulah kadang tak tak dapat buat apa yang dibaca sebab tak faham Quran dan Quran tiada dalam dada :(

Banyak lagi yang dikongsi dari segi kaunseling bagaimana nak membantu orang yang selalu stress. Tak tercatat semuanya. Moga yang sedikit dicatatkan di sini ada manfaatnya.

"Ikatlah ilmu dengan menuliskannya."

Nurul Fauzana Wang Tepus 12 Februari 2021