Tuesday, June 22, 2021

Qowwiyul Jismi Day 3 : The Four Minute Workout

 

Ha ini dia senaman 4 minit tapi perghhh lenguh betul. 4 jenis pergerakan x 3 set buat. Cukup dah buat permulaan yang tak biasa bersenam atau yang dah lama tak jogging seperti diriku ini.

Cubalah buat dan rasakan sendiri adakah tercungap-cungap macam lepas lari laju.

Nak buat ini kena jarakkan 2 jam antara pusingan seterusnya. Buat masa ini target 3 kali sehari sahaja dulu. Sampai tak lenguh baru katanya kena belajar senaman lain.

Untuk hari ini, buka perut jam 2 petang. Eloklah lepas zohor. Pagi tadi masih ada rasa sedikit pening akibat semalam rasanya lama sangat. 

Lepas pekena nasi lemak dan telur kurma, masih pening. Alhamdulillah lepas tu dah beransur sihat hilang dah pening. Biasanya makan memang nasi lemak 2 bungkus ok. 1 bungkus rasa rm1 je kot mana kenyang.

Masa makan tadi dah sampai penghujung nampak ada lagi 2 bungkus lagi nasi lemak. Hati memang nak makan dah ni. Tunggu sebentar sambil habiskan sikit nasi lemak Nuh. Lepas tu sendawa. Alhamdulilah. Terus rasa dah sendawa ni dah penuh ok, terbatallah niat nak makan lagi 2 bungkus nasi lemak, phew phew. Perasaan ini hanya yang kuat makan je akan tahu, hehehehehhe.




Balik rumah dah dekat jam 7. Cepat-cepat goreng tempe. Cuba cari nampaknya ada je orang goreng pakai air fryer. Tabur kunyit dan garam sikit, masak sekejap. Tak garing sangat tapi bolehlah. Tempe ni makanan asasi. Tak masak pun boleh je makan begitu sahaja tapi tak banyak la. Setakat rasa sambil sambil masak gitu. Jadi walaupun rasanya tak sesedap mana dan tak de sambal kicap macam biasa, tapi hati rasa 'puas' gitu. Gitu sekali.

Ditambah dengan sayur pakchoy tumis air, letak ikan bilis, black pepper. Lepas tu jagung rebus. Eh ada lagi, telur separuh masak air fryer 2 biji, lepas masak dalam air fryer, pecahkan dan letak black pepper. Fuh nikmat betul.

Ok jadi kali ini lauk rasa sedapnya sedapnya sebab variasi dan semua kegemaran. Boleh repeat lagi jenis macam ni. Oh ye, jagung rebus lagi sedap sebab masih manis, berbanding semalam pi rajin ikut resipi bakar la, boh mayonis la, boh butter la, boh garam la. Lepas ini ingat, rebus je ok :P

Baiklah, hari ini tutup perut jam 8 malam. Berjumpa lagi perut jam 2 petang insya-Allah.

Oh ya, jika memang tak berpuasa sunat, sepanjang tutup perut boleh minum air masak, teh kosong, lemon atau za'faran, tanpa gula ya. Jadi tak ada siksanya, Tu lemak dekat perut tu, banyak lagi simpanan (cakap pada diri sendiri ya ni). 

Jangan lupa amalkan senaman 4 minit. Insya-Allah jimat masa jimat tenaga. Untuk permulaan jangan pulun sangat, nanti uturn lagi seksa. Teringat pesan DSK, hidup ini bukan menuntut keselesaan jasad semata-mata. Allah sebut dalam al-Quran, manusia ini memang dicipta untuk hidup dalam bersusah payah (nanti insya-Allah update semula ayat berapa dan tafsirannya). Nak mula TKBZoom untuk anak-anak Kembara Bijak.

"Ikatlah ilmu dengan menuliskannya..."

Nurul Fauzana
Belia anti gula :)


Qowiyyul Jismi Day 2



Isnin hari kedua bermulanya perlawanan menahan nafsu makan. Isnin cuba berpuasa tetapi sahur yang jam 9 malam. Punya la konon makan petang semalamnya tadi kenyang betul. Jadi malam hanya makan nangka 2 ulas terus tutup perut. Kali ini kita guna istilah buka perut dan tutup perut. Menandakan waktu makan bermula (8 jam).

Jadi mengambil keberkatan sahur, sebelum subuh minum air masak segelas sahaja. 

Lepas tu bekerja seperti biasa. Pagi ok je. Waktu Zohor dah mula pening. Pening sikit la taklah sampai tak boleh buat bekerja.

Kata kawan-kawan yang biasa buat ini menandakan kekurangan gula. Waktu inilah lemak yang disimpan dalam peti ais besar dicara untuk dibakar. Harap betullah konsepnya. 

Jadi bukan tak biasa puasa kan. Ok sahaja tak adalah melepek. Lagipun waktu bekerja ni ada kerja nak dibuat jadi tak boleh lah nak lenaaaaaaaa.

Alhamdulillah, bertahan sehingga Maghrib puasa. Sebab itu ada beza puasa ibadah dengan puasa tutup perut. Puasa ibadah dimulakan dengan niat, lepas tu kita sedar ada waktu sahur. Lepas tu berbuka sebaik sahaja masuk waktu maghrib.

Sebab sekarang ini ada yang kata daripada buat IF baik puasa sunat. Ni adik ada bagi di wassap,

"Daripada buat IF, baik kau puasa sunat terus," kata Joyah (bukan nama sebenar) kepada Zul. 

Betul dah tu. 

Tapi kalau belum mampu nak istiqamah puasa sunat, ada baiknya juga kita berlatih dengan buat IF dulu. 

Nanti bila dah biasa dengan IF, insya-Allah lama-lama akan teringin dan rajin puasa sunat.

___

"Ek eleh! Padahal orang yang suka cakap macam Joyah tu, IF tak nak, puasa sunat pun tak buat. Asyik mengunyah je aku tengok," kata Lisa (member sebelah Joyah) dalam hati.

Setelah beberapa hari merenungkan, sebenarnya selama ini bukan kita tak pernah berpuasa. Jika sekarang sudah 40 tahun, mula belajar berpuasa darjah 1, katakanlah sekolah rendah ni puasa banyak yang yok, kira dari tingkatan 1, dah berapa tahun berpuasa. Tapi kenapa umur 40 tahun ni masih tak sihat jasmani, semakin lama semakin bertambah usia semakin membesar dan akhirnya obesiti (ini sebut dekat diri sendiri).



Setakat ini seronok guna konsep QJ sebab boleh makan apa sahaja pada tempoh buka perut (tak sibuk kira kalori) dan janji gula cuba elakkan terus dan ubah daripada segi masakan yang lebih sihat. Kiranya kalau dulu deep fry, sekarang air fryer. Banyakkan fiber. Less stress i must say because I don't like to kira-kira. Minda jadi eh dah lebih dah lebih.


Memang tahu banyak benda tapi tak dihayati. Mengapa puasa tak dapat membantu menahan nafsu makan benda tak sihat?

Jadi setelah merenung, jelaslah sebab amalan gaya hidup sihat yang tidak diamalkan. Tapi kenapa? Kenapa dulu rasa masa kecil memang minum air sirap, jajan. Tapi masa umur sebaya Iyman yang kini darjah 4, badan tak besar begitu. Rata-rata tengok anak-anak sebaya Iyman pun yang dulu tadika comel je, bila dah darjah 4, membesar dengan jayanya!

Setelah melihat video utiub Sugar Conspiracy, jadi boleh nampak antara beza dulu makan jajan, minum air manis, dulu makanan segera seperti KFC, Pizza dsb bukan makanan rutin setiap bulan atau mudah didapati. Dulu ingat lagi masa bersekolah di Sains Muo, mak bawa outing dengan Abang Am dan adik-adik, dapat makan kfc di wetex parade. Allahu akbar sampai boleh ingat sebab memang jarang sangatlah makan.

Apabila dah berkeluarga sendiri, lihatlah apa dalam peti beku. Nugget , fries, sosej, ayam drummet. 

Sebab apa? Malas masak satu, takut anak lapar satu. Ada air fryer yang dihadiahkan orang pun akhirnya digunakan memasak nugget dan drumet semata-mata. Tang mana sihat tu?

MSG  yang tersembunyi dalam makan terproses mestilah salah satu penyebab yang menjadikan badan rasa kita dah dapat nutrisi sebab ianya meniru rasa tu. Boleh cari di utiub apakah asal usul MSG. Ditiru daripada mana.

Kenapa makan benda ada msg, ada gula bukan semulajadi menyebabkan kita rasa nak lagi nak lagi.

"Take on sodium, you get tastier. So much sugar to hide the salt."

"High fructose corn syrup and sucrose are exactly the same.

they are POISON."

"It's not because of the calory. They are POISON."

Apabila yang sebut ni Cikgu Tadika atau orang biasa, kita mungkin boleh dengar masuk telinga kanan keluar telinga kiri, tapi bila dalam kuliah ni orang Amerika yang seorang doktor klinik obesiti kanak-kanak bercakap? Mungkin kena renungkan lebih lagi.

Sepatutnya dalam badan ni Allah dah jadikan reseptor yang boleh beritahu badan, tapi semuanya dah rosak dek kita ambil MSG dan gula tiruan ni terlebih daripada had. 

"Your brain thinks it's starving even you fat cells a generating a signal that says, "Hey, I'm full like all get out."

Leptin dikacau oleh fructose. Tak boleh buat kerja."

Jadi begitulah refleksi hari ini. Oh ya hari ke-3 nanti saya kongsikan satu senaman NOD. Yang buat sikit tapi impak lebih. Untuk permulaan jangan kalut sangat nak ronda 1 tasik, tak gitu?

Insya-Allah berjumpa lagi di catatan seterusnya.

"Ikatlah ilmu dengan menuliskannya..."


Nurul Fauzana
Lawan terus lawan!


Sunday, June 20, 2021

Qowwiyul Jismi Day 1

Bismillah. Memulakan proses ke arah hidup yang lebih sihat hari ini dengan membeli-belah di tesko hari ini. Selepas lihat video tentang konspirasi gula, ada sedikit rasa seram ketika nak membeli barang-barang di tesko.

Susu coklat selalu akan beli 2 kotak besar habuan sendiri mimum ketika kehausan. Sekotak besar tu kalau berebut dengan anak-anak memang boleh sekali habis. Tak ada simpan-simpan. Selepas menyedari gula fruktos di label susu coklat dan teringat video utiub, terus ambil sahaja susu putih. Itu pun untuk anak-anak lah sebab emaknya tak berapa lalu susu putih hehehe.

Untuk gula putih minuman sejak akhir-akhir ini memang dah cuba tak ambil. Teh dan kopi memang bukan rutin pagi. Cuma apabila penat ketika petang dan panas terik, terus teringin nak teh ais atau milo ais. Apa lagi, sebelum balik kita order dulu. Dah la kedai makan ada dalam taman yang sama, jadi order dulu sebelum ambil buat minum dalam kereta. Gitu!

Hanya yang paling sekarang ni ketagih adalah kek, coklat, fast food macam nugget, sosej. Sedap betul rasanya hahaha. Kalau nampak tepi jalan tu rasa memanggil-manggil.

"Mari mari, 1 singgit 1 singgit"

Semalam last makan tergoda makan nasi kandaq ha ha ha. Gara-gara nak habiskan makanan anak. Geram betul order bukan main, lepas tu dah sampai rumah selalu depa tak mau makan. Dahlah bukan murah nasi kandaq. Kekekekek.

Jadi akhirnya termakan juga. Dekat jam 9 baru habis.

Oleh kerana nak cuba Intermittent Fasting 16:8, maka waktu makan seterusnya adalah lebih kurang jam 1 ptg. Lepas balik tesko, pi merket sat beli tomato dan beberapa sayur yang tak ada di tesko, terus balik rumah dan cubalah masak. Gugel 'resipi ayam sihat air fryer', jumpa yang paling mudah,

1 sudu black pepper
1 sudu cili serbuk
secubit garam
Gaul dan perap 10 minit
Bakar dalam Air Fryer 200 darjah celcius selama 20 minit.




Sebelum bakar


Dah kehitaman tak nampak. Tapi rasanya not bad, sipi-sipi keny rogers la ngeh ngeh.

Untuk sayur, kubis bunga kita tumis bawang putih dengan ikan bilis, lepas tu goreng sayur dan letaklah air. Letak sikit serbuk black pepper. Letak air sikit.

Lepas tu dalam dilema, nak letak garam ke tak sebab selalu dah letak ikan bilis pun letak garam gak. Jadi teringat dalam peti ais ada cili padi kampung. Jadi ambil 4-5 biji, potong dan letak dalam kuah. Rasa sikit hmm not badlah, macam selalu makan maggi ayam letak cili, sedap. 

Ha nampak tak betapa tak selalu masak sampai perbandingan kuah tu ambil perbandinngan maggi ayam, ish ish ish.

Tomato potong separuh biji, lepas tu beria pi petik ulam raja, hiris dan tabur. Coach Umi kata sedap, sebagai penaik selera tak perlu kicap ke sos.

Oh ya, punya la 'poyo', pi tesko beli beras merah. Beras ni keluaran kajian ukm ke gitu lah. Dulu pernah terbaca dalam FB seorang kawan, dia terlibat dalam projek. Konon dulu  nak cuba, tapi biasalah, hanya tinggal mimpi. Walaupun rasa macam tak lalu dulu pernah belikan beras perang untuk Iyman (hmm anak pertama biasalah nak makanan sihat sahaja hehehe), tapi kali ni cuba je la beli.


2kg dalam RM12

Jadi dalam 2.30 dah tenang-tenang, baru la 'breakfast'. So far tak ada rasa gigil ke apa, sebab bekalan lemak di perut punyalah banyak ok :D

Teringat dulu masa awal kahwin dah tahun ke-2 rasanya, try diet jusmate5 Dr. Rozmey, masa tu punyalah viral. Dah la orang Jitra. Beli 3 kotak RM150 agaknya, tak berapa ingat. Masalahnya benda ni dah makan 1 sachet, kena juga jaga makan. Hahaha. Yelah, beli target nak kurus je. Memang gigil lah oi tak dapat nasi. 

Tapi masa tu semangat, siap penimbang tak ada, gigih setiap minggu balik kerja pi kat cmart rasanya untuk timbang. Memang turun la seminggu 1kg.

Lepas tu rasanya mengandung, jadi sempat makan 1 atau 2 kotak sahaja.

Gigih kan.

Begitulah ceritanya. Lepas tu selepas bersalin anak pertama walaupun berat badan bertambah tapi tak adalah sampai debab sangat. Mungkin masih kerja pejabat, jadi masih aktif naik turun tangga.

Lepas anak kedua si Ali tu mulalah episod obesiti kembali menjelma.

Antara yang pernah belajar, kira kalori. Memang seronok sebab ada geng. Tapi nampak biskut kat tepi tu memanggil-manggil.

Sempatla bertahan 2-3 bulan.

Lepas tu mengandung anak ke-3.

Eh eh eh. Seram pulak, apabila turun berat badan je mengandung kan? Hohoho.

Oh no, I'm old already. 4 series.

Eh panjang la pula membebel. Lama tak menaip, rasa macam seronok kan bercerita sambil mengimbau kenangan nak kurus.

Tapi dalam banyak-banyak cara, nampak sangat masih tak ubah cara hidup. Hanya buat pulun lepas tu kembali. 

Kali ini dah tau dah (walaupun sebelum ni tau juga tapi buat buat tak tau), Coach Umi kata, mesti cut gula. Gula inilah 'hantu'. Ditambah dengan lihat konspirasi gula dalam utiub, bertambah percaya yang selagi tak ubah gaya hidup buang gula ni, selagi tu akan yoyo dalam menjaga kesihatan.

Memang dulu tau, tapi tak yakin. Kali ini dengan visceral fat yang ada di perut ni, dah nampak bukti depan mata. Tak yakin lagi tak tau la yang gula ini memang sesuatu yang toksik. Bak kata Dr. dalam utiub tu, alkohol tanpa 'buzz'.  Akan ku ulang selagi tak jemu nak bagi ingat otak ni.

"Fructose is a chronic hepatoxin (it's a alcohol without the buzz).
Alcohol is metabolized by the brain so you get the alcohol effect.
Fructose is not metabolized by the brain so you don't get the effect.
But everything else it does is the same."

Sugar : The Bitter Truth by Robert Lustig

High fructose corn syrup is so cheap and found it's way into everything hamburger buns, pretzel, bbq sos, ketchup, almost everything.

Mereka boleh membuatkan makanan yang teruk terasa sedap, dengan harga yang murah. 

Economically evil.

Ini pula kata nutritionist adik, 

Beli makanan mahal²... Tp end up, nutrisi xdpt dkt kita... Dpt penyakit ada la. Yg dpt rasa sedap sementara.

Ha, kena ingat bagi terngiang-ngiang setiap kali nampak junk food.

Oklah, nampak dah panjang bebeno.

Moga Allah permudahkan perjalanan menuju gaya hidup sihat. Menjaga amanah badan yang dipinjamkan oleh Allah Yang Maha Penyayang.


Nurul Fauzana
Kita lawan!





 

Saturday, June 19, 2021

Qowiyyul Jismi


 Pagi di Wang Tepus

Kekuatan jasmani (qowiyyul jismi) merupakan salah satu sisi peribadi muslim yang perlu ada.


Kekuatan jasmani bererti seorang muslim memiliki daya tahan tubuh sehingga dapat melaksanakan ajaran Islam secara optimal dengan fizikal yang kuat. Solat, puasa, zakat dan haji merupakan amalan di dalam Islam yang perlu dilaksanakan dengan fizikal yang sihat atau kuat, apalagi perang di jalan Allah dan bentuk-bentuk perjuangan lainnya.

Dulu ketika aktif usrah hari Khamis, Umi ada berpesan supaya Khamis ini boleh dijadikan hari peringatan untuk berpuasa sunat. 

Apabila peringatan itu dekat dan terngiang-ngiang di telinga, badan pun terasa ya ampun beratnya. Berjalan pun rasa tak selesa dah. 

Alasan menyusukan anak menyebabkan selera bertambah dan macam-macam lagi ayat penyedap selama bertahun-tahun menyebabkan pemakanan paling tak berapa nak jaga.

Berpuasa pula jarang-jarang nak buat sebab banyak sangat alasan di minda. Walhal apabila dengar beberapa perkongsian pengamal kesihatan, lemak-lemak akan dibakar apabila tubuh berpuasa. Sampai ada satu ayat yang paling ingat,

"Lemak dekat perut tu sumber tenaga" kira macam ayat mudahnya, kalau tak makan tu setakat sehari tak mati sebab banyak simpanan lemak tu di perut (sambil menggosok perut sendiri) hehehehehe

Begitulah, jadi puasa tu sebenarnya bagi diri sendiri tak susah tapi haaa tapiii.. itulah yang susah banyak alasan hehehe.

Jadi banyak sangat benda dalam hidup ni nak disusun, nak cari khusyuk solat, nak kemanisan iman, nak hafal al-Quran, nak pandai bercakap dan menulis Bahasa Inggeris. Nak tadabbur al-Quran. Nak ish macam macam punya nak la.

Sampai dipertemukan semula dengan Umi di alam maya yang tawarkan bagaimana nak menjaga kesihatan (dan turun berat badan) hahaha. Itu kata kuncinya.

Sebelum ni dah pernah belajar kira kalori, Memang boleh turun istiqamah seminggu 1 kg.

Lepas tu bila badan dan semakin turun, Allah rezekikan mengandung Nuh Luqman. 

Lepas tu, faham-faham je la.

Dengan ketinggian dulu 167 cm, rasa sekarang dah kecut jadi 166 atau 165. Sepatutnya ikut kiraan sains berat kenalah 67-68. Tapi kalau ikutkan berat tu masa sekolah menengah atau kat universiti agaknya. 

Sekarang punya berat? Hmmm tak perlulah tanya. Tapi ayat orang yang selalu akan kata,

"Takpe ko tinggi"

Itulah cuma isu sekarang lemak tu banyak turun ke perut dan sekitarnya. Dah jadi macam semua serba tak kena. Nak berjalan tak selesa. 

Jadi nak dipendekkan cerita, Umi tawarkan coaching untuk dikongsikan cara-cara yang telah berjaya dibuat dan praktikal. Semalam dapat masuk coaching dengan Umi dan seorang lagi rakan baharu, Mas. Bukan tak ada orang yang offer kelas macam-macam, tapi dengan Umi ni special sikit sebab beliau akan selitkan dengan keceriaan ke syurga. Ditambah dengan profil beliau sebagai seorang cikgu dan pensyarah sebelum ini, memang beliau akan study dan mudahkan apa yang hendak disampaikan. Jadiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiii tak ada alasan lagi tak ada masa nak itu ini. Alhamdulillah.

Jadi antara rumusan semalam, Qowiyyul Jismi ini adalah salah satu tuntutan sebagai seorang muslim.

Sampai apabila Umi cerita, terus terfikir patutlah Rasulullah dan sahabat boleh berperang dalam bulan puasa. Selain keimanan yang tinggi, badan mereka pastinya berada dalam keadaan jisim yang kuat dan sihat untuk melaksanakannya. Keimanan sahaja tak cukup. Bayangkan memanglah kita ni beriman, percaya. Tapi kita sakit. Bolehkah kita ikut ke medan perang? Begitulah analogi yang bermain di fikiranku selama ini.

Jadi rumusan pendekatan coaching hampir 2 jam semalam.

PENDEKATAN

1. Buat kerana Allah

2. Buat yang mana mudah dulu

kecuali yang prinsipnya buang gula mesti kena buat

3. Tumpu kesihatan kesuluruhan

Ukuran kejayaan (bukan turun kg semata2)

1. Ubah gaya hidup sendiri (buang msg)

2. Tiada paksaan kepada keluarga. Lama-kelamaan anak-anak dan keluarga akan ikut insya-Allah.

Buat kerana Allah ini amatlah pentingnya dan selalunya coach lain mungkin tak tekankan. Mungkin sebut tapi kadang kita ni dok fikir usaha usaha usaha. Bergantung harap pada usaha kita. Bergantung kepada coach.

Lepas beberapa lama, malas. Tak jadi. Ini adalah kerana tanpa sedar kita letakkan kebergantungan kepada manusia yang lemah.

Gabungan berguru secara maya dengan DSK mahu dijadikan bekal. Melawan hawa. Melawan nafsu. Ini yang selalu ditekankan. Lawan al-Quran adalah 3S. Syahwat, Syubhat dan Syaitan. DSK kepakarannya dalam memudahkan cara berinteraksi dengan Al-Quran, jadi fokusnya di situ. Tak adalah beliau mahu perincikan bagaimana nak menjaga kesihatan jisim. Apa yang paling penting, betulkan semula semua kerana Allah kerana nak dekat dengan Allah. Mahukan perhatian daripada Allah.

Apabila saat sukar nak khusyuk solat pun sukar walaupun pelbagai teori dah belajar, ini membawa maksud "bergantunglah kepada Allah", "mintalah","Allahusomad, Allah Tempat Bergantung". 

Begitulah juga sekarang ni tengah 'struggle' dengan pemakanan. Teori dah belajar, nak aplikasikan, jalannya berliku.

Apabila diceritakan tentang gula, msg, umami. Kadang tau, tapi tak dalami, jadi masih tak dapat buat betul-betul. Macam disebut al-Quran sumber panduan hidup. Tahu. Tapi adakah didalami, ditadabbur setiap ayat? 

Eh dah mula la membebel panjang. Pantang nampak keyboard. Laju je menaip tu.

Berbalik kepada konsep tadi,

MSG - BAHAN KIMIA

1. Bagi tubuh percaya kita sedang dapat protien dan zat yang banyak

2. Allah dah bagi lidah kita ni reseptor. Orang Jepun kata UMAMI

3. MSG dalam maggi, seolah2 ada air daging, sotong. So badan akan kata dapat.

Paling terkesan ada dengar utiub tadi, MSG ni diletakkan dalam makanan seperti burger dll akan membuatkan orang boleh jual apa jua makanan tak sedap dan tak sihat diterima sebagai sedap. Lantas akhirnya kita tahu kan ketagihan asyik nak makan fast food sebab kita nak fast dan nak sedap. 

Ada kawan kelas tanya, cuba dah buat patty burger sendiri, tapi tak sedap.

Umi kata sebab reseptor lidah kita ni dah bertukar. 

Pernah dengar orang kata air masak ni sedap, manis. Sebab lidah mereka dah dibiasakan tak minum air manis.

Bagi diri sendiri ni, ya ampun, minum air sirap daripada kecik sampai sekarang. Air masak ni bercinta nak minum. Coklat, fast food memang kegemaran. Nampak nugget tepi jalan orang jual tu bukan tak tau digoreng dengan minyak berulang kali pakai, tapi panggilannya itu fuh, dengan alasan ala sekali sekala je. 

Akhir sekali, ditambah dengan method intermitent fasting.

1. Jaga waktu makan (dalam IF ada 2 waktu, waktu makan dan waktu tak boleh makan). Nanti kita tulis lanjut insya-Allah.

2. Jaga kualiti makanan pada waktu boleh makan (bukan makan apa sahaja). Buang gula. kurangkan karbo dan makanan berproses.

3. Senaman 

Subhanallah. Maha Suci Allah. Mengumpul data absar.


Jadi untuk misi Qowiyyul Jismi kali ini, guna ratio begini,

16:8 (12 bfast, sebelum 8 dinner) waktu tak makan boleh minum air kosong, teh atau kopi o, za'faran

Oleh kerana diri sendiri tak ketagih kopi atau teh, jadi air kosong akan dijadikan peneman. Sasaran untuk diri sendiri 3liter sehari. Biasanya nak minum 1 liter pun bercintaaaaa.

Musuh utama yang perlu dilawan dalam misi kali ini ialah GULA!

Oleh kerana gula ni cerdik, dia akan menyorok di banyak tempat, maka kita cari dimanakah gula banyak bersembunyi. Bahan untuk tonton sendiri untuk meyakinkan diri gula itu musuh. Selama ni dengar je orang cakap, percaya tapi tak yakin.

Sugar The Bitter Truth - ilmiah tapi berbaloi untuk ketahui di mana gula bersembunyi

Motto kali ini, sebagaimana dulu boleh tinggal NETFLIX kerana takut diterkam syaitan, makan kali ini GULA kita tinggalkan supaya tidak dikejar 'hantu' hehehehehe. Oh ya kali ni dah delete ya Umi :p

Ya Allah permudahkanlah. Amin.

Nurul Fauzana
Obesiti :(

Saturday, June 5, 2021

Nota Buat Anakku : 8 Hak-hak Al-Quran Yang Mesti Dipenuhi

Alhamdulillah pagi ini diberi peluang untuk mengikuti kuliah daripada Ustazah Dr. Sholihah Kaswari berkaitan (DSK) hak-hak Al-Quran. Selama ini ada dengar daripada kawan semasa Usrah Jitra. Kali ini dapat dengar sendiri daripada gurunya.

Kuliah ini selama 2 hari di FB Group. Sekarang ada 15 minit rehat. Maka waktu inilah kita cuba gunakan untuk taipkan semula agar ilmu itu tidak terpendam di dalam buku nota sahaja.

Sebelum kita teruskan dengan 8 Hak-hak Al-Quran, apa sebenarnya yang kita tahu tentang Al-Quran?

Biasalah apabila disoal, terus rasa err err tak tau apa sebenarnya Al-Quran ini. DSK kongsikan apa yang dituliskan oleh Imam Ibn Qayyim Al-Jauziyah dalam bukunya Fawaid al-Fawaid. Ini yang dijumpai dalam salah satu blog yang menulis tentang tajuk yang sama.

Sumber di Nota Kuliah Ibu


Secara ringkasnya, ini 8 hak-hak Al-Quran yang perlu dipenuhi oleh kita sebagai orang Islam. Apabila selesai kuliah, memang nampak dari dulu sampai sekarang hanya 1 hak sahaja yang selalu dipenuhi, iaitu yang ke-3. Apa pun tak akan ada istilah terlambat. Allah akan hadirkan sesuatu apabila sesuai masanya kerana Allah itu Maha Adil. Mungkin jika dulu ternampak blog yang ditulis berkaitan Hak-Hak Al-Quran akan dipandang sepi sahaja kerana rasa tidak ada kaitan atau sibuk dengan hal-hal dunia yang lain.

Mengambil nota di Nota Kuliah Ibu tentang apa itu Al-Quran, 

AL QURAN

Al Quran itu adalah kitab yang mengandungi keberkatan (Al Barakah) untuk kita fahami pelajari (Tadabbur)  dan dijadikan peringatan (Zikra)  sebagai panduan hidup (Hidayah) untuk capai kebahagiaan (Saadah)  dunia akhirat. Insya Allah.

DSK mulakan dengan satu pernyataan Gladstone, Perdana Menteri Britain suatu masa dahulu.

William Ewart Gladstone (1809 - 1898) - mantan Perdana Menteri Britain ketika zaman pemerintahan Queen Victoria. Beliau berkata " Selagi mereka umat Islam berpegang dengan kitab ini, selama itulah mereka bangkit dan kita tidak dapat menundukkan mereka. Oleh itu pisahkan mereka dari Kitab ini". - (ucapan beliau sambil mengangkat Al-Qur'an dalam Parlimen Britain ketika membincangkan penentangan umat Islam terhadap penjajahan).
Pernyataan ini menjadikan Badi'uzzaman Said Nursî (1878 – 23 Mac 1960) tidak boleh tidur. 

Dalam hati terasa, sedang diri ini sejak dulu boleh tidur dengan penuh lenanya.
Pastinya sebab sejak dulu hanya tunaikan 1 hak Al-Quran sahaja :( 

Tanpa membuang masa, apakah 8 Hak-hak Al-Quran ini?

1. AL-TASDIQ [41:53]

سَنُرِيْهِمْ اٰيٰتِنَا فِى الْاٰ فَا قِ وَفِيْۤ اَنْفُسِهِمْ حَتّٰى يَتَبَيَّنَ لَهُمْ اَنَّهُ الْحَـقُّ ۗ اَوَلَمْ يَكْفِ بِرَبِّكَ اَنَّهٗ عَلٰى كُلِّ شَيْءٍ شَهِيْدٌ

"Kami akan perlihatkan kepada mereka tanda-tanda kekuasaan Kami di merata-rata tempat (dalam alam yang terbentang luas ini) dan pada diri mereka sendiri, sehingga ternyata jelas kepada mereka bahawa Al-Quran adalah benar. Belumkah ternyata kepada mereka kebenaran itu dan belumkah cukup (bagi mereka) bahawa Tuhanmu mengetahui dan menyaksikan tiap-tiap sesuatu?"

(QS. Fussilat 41: Ayat 53)

Jika dahulu orang Arab dapat menerima al-Quran apabila mukjizatnya dilihat dari segi sastera/syair. Mereka tidak mampu untuk mendatangkan satu pun ayat seperti al-Quran.

Tapi pada masa ini. Bahasa Arab apatahlagi sastera terasa begitu jauh. Jadi pada waktu ini, kebenaran al-Quran boleh dilihat dari segi fenomena alam semesta.

Cuba perhatikan kedalaman laut.


Pada kedalaman 1000 meter sudah bermula kegelapan.

Perhatikan pula Al-Quran surah An-Nur : 40


اَوْ كَظُلُمٰتٍ فِيْ بَحْرٍ لُّـجّـِيٍّ يَّغْشٰٮهُ مَوْجٌ مِّنْ فَوْقِهٖ مَوْجٌ مِّنْ فَوْقِهٖ سَحَا بٌ ۗ ظُلُمٰتٌۢ بَعْضُهَا فَوْقَ بَعْضٍ ۗ اِذَاۤ اَخْرَجَ يَدَهٗ لَمْ يَكَدْ يَرٰٮهَا ۗ وَمَنْ لَّمْ يَجْعَلِ اللّٰهُ لَهٗ نُوْرًا فَمَا لَهٗ مِنْ نُّوْرٍ
"Atau (orang-orang kafir itu keadaannya) adalah umpama keadaan (orang yang di dalam) gelap-gelita di lautan yang dalam, yang diliputi oleh ombak bertindih ombak; di sebelah atasnya pula awan tebal (demikianlah keadaannya) gelap-gelita berlapis-lapis - apabila orang itu mengeluarkan tangannya, ia tidak dapat melihatnya sama sekali. Dan (ingatlah) sesiapa yang tidak dijadikan Allah menurut undang-undang peraturanNya mendapat cahaya (hidayah petunjuk) maka ia tidak akan beroleh sebarang cahaya (yang akan memandunya ke jalan yang benar)."
(QS. An-Nur 24: Ayat 40)

Sudah dinyatakan lautan itu dalam, gelap gelita berlapis-lapis. Sains hari ini membuktikan apa yang sudah tertulis di dalam Al-Quran sejak dulu. 

Teringat juga baru-baru ini berkaitan tenggelamnya kapal Naggala, barulah cuba nak cari tentang dalamnya laut sehingga nampak dokumentari tentang Jurang Mariana. Sungguh terasa kerdil diri ini, jika nak dibandingkan luasnya alam ciptaan Allah.

2. AL ISTIMA’ [7:204]

وَاِ ذَا قُرِئَ الْقُرْاٰ نُ فَا سْتَمِعُوْا لَهٗ وَاَ نْصِتُوْا لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُوْنَ

"Dan apabila Al-Quran itu dibacakan, maka dengarlah akan dia serta diamlah (dengan sebulat-bulat ingatan untuk mendengarnya), supaya kamu beroleh rahmat."

(QS. Al-A'raf 7: Ayat 204)

Potensi manusia ini (ahsani taqwim : sebaik-baik bentuk - 95:4) dimulakan dengan pendengaran, kemudian penglihatan dan seterusnya hati (67:23) 

لَقَدْ خَلَقْنَا الْاِ نْسَا نَ فِيْۤ اَحْسَنِ تَقْوِيْمٍ ۖ 

"Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya (dan berkelengkapan sesuai dengan keadaannya)."

(QS. At-Tin 95: Ayat 4)

قُلْ هُوَ الَّذِيْۤ اَنْشَاَ كُمْ وَجَعَلَ لَـكُمُ السَّمْعَ وَا لْاَ بْصَا رَ وَ الْاَ فْــئِدَةَ ۗ قَلِيْلًا مَّا تَشْكُرُوْنَ

"Katakanlah (wahai Muhammad): Allah yang menciptakan kamu (dari tiada kepada ada), dan mengadakan bagi kamu pendengaran dan penglihatan serta hati (untuk kamu bersyukur, tetapi) amatlah sedikit kamu bersyukur."

(QS. Al-Mulk 67: Ayat 23)

3. Al-QIRAAH [96:1]

اِقْرَأْ بِا سْمِ رَبِّكَ الَّذِيْ خَلَقَ ۚ 

"Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk),"

(QS. Al-'Alaq 96: Ayat 1)

Ini yang dari kecil sampai ke besar, fokusnya pada Qiraah sahaja. Bagi orang yang tidak boleh membaca, qiraahnya akan jadi hafazan. Bagi yang boleh membaca, lihat dan baca sahaja, belum masuk ke hati.

Terkait dengan diri sebagai cikgu mengajar membaca. Memang begitulah pada awalnya. Belajar gunakan kaedah fonik, anak akan mendengar dulu, kemudian barulah melihat simbolnya dan dikaitkan dengan bunyi pertuturan. Kemudian anak akan boleh membaca apabila menggabung bunyi. Namun, jika bahasa anak itu masih rendah, anak tidak akan faham apa yang dibaca. Perkataan seperti pilu, boros, huru hara, haru biru. Anak akan boleh baca, tetapi faham? Bergantung kepada tahap bahasa mereka ketika itu.

Teringat kata Ustaz Abdul Muein, tajwid itu memang perlu belajar, biasanya jika fokus 3 bulan boleh habis. Tadabbur itu yang perlu dibuat sepanjang masa.

4. AL-TILAWAH [29:45]

اُتْلُ مَاۤ اُوْحِيَ اِلَيْكَ مِنَ الْكِتٰبِ وَاَ قِمِ الصَّلٰوةَ    ۗ اِنَّ الصَّلٰوةَ تَنْهٰى عَنِ الْفَحْشَآءِ وَا لْمُنْكَرِ ۗ وَلَذِكْرُ اللّٰهِ اَكْبَرُ   ۗ وَا للّٰهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُوْنَ

"Bacalah serta ikutlah (wahai Muhammad) akan apa yang diwahyukan kepadamu dari Al-Quran, dan dirikanlah solat (dengan tekun); sesungguhnya solat itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar; dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya); dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan."

(QS. Al-'Ankabut 29: Ayat 45)

Tilawah ini biasanya untuk diri sendiri yang tak faham Bahasa Arab, fokusnya kepada bacaan berlagu. Akan tetapi hakikat sebenarnya tilawah ini adalah baca dan faham. Berbeza dengan Qiraah tadi yang hanya baca.

5. AL-TADABBUR [23:68] [47:24]

اَفَلَمْ يَدَّبَّرُوا الْقَوْلَ اَمْ جَآءَهُمْ مَّا لَمْ يَأْتِ اٰبَآءَهُمُ الْاَ وَّلِيْنَ ۖ 

"Maka adakah mereka melakukan yang demikian kerana mereka tidak dapat memahami kata-kata ajaran (yang disampaikan kepada mereka)? Atau kerana telah datang kepada mereka sesuatu yang tidak pernah datang kepada datuk nenek mereka yang telah lalu?"

(QS. Al-Mu'minun 23: Ayat 68)


اَفَلَا يَتَدَبَّرُوْنَ الْقُرْاٰ نَ اَمْ عَلٰى قُلُوْبٍ اَقْفَا لُهَا

"(Setelah diterangkan yang demikian) maka adakah mereka sengaja tidak berusaha memahami serta memikirkan isi Al-Quran? Atau telah ada di atas hati mereka kunci penutup (yang menghalangnya daripada menerima ajaran Al-Quran)?"

(QS. Muhammad 47: Ayat 24)

Hari kedua kelas, DSK menyebut beza lafaz dalam Quran ini menunjukkan mesej yang berbeza. Hati misalnya ada 4 lapisan. 

Lub - Lapisan paling dalam, tempat data-data ayat Al-Quran disimpan. Perhatikan ayat di atas 47:24, apabila diceritakan tentang ayat al-Quran, Allah menggunakan perkataan قُلُوْبٍ.

Fuad - Mata hati, tempat data fenomena alam

Qolbu - alat yang digunakan untuk mengingat (di dalamnya ada Lub & Fuad)

Sodru - lapisan paling luar, di sini syaitan berbisik. Boleh lihat surah An-Nas 

الَّذِيْ يُوَسْوِسُ فِيْ صُدُوْرِ النَّا سِ ۙ 

"Yang melemparkan bisikan dan hasutannya ke dalam hati manusia, -"

(QS. An-Nas 114: Ayat 5)

Awal dulu risau juga kadang-kadang apabila belajar ilmu baharu. Takut jadi sesat ke apa kan. Dah la cetek ilmu. Sebab tu apabila kita belajar dengan guru, perhatikan apa yang diperkatakan, adakah selari dengan Al-Quran dan hadis. Jangan memandang batang tubuh guru sahaja, cantik, jelita, berpenampilan menarik, apa yang dikata semuanya benar sehingga timbul taasub. Ini DSK tekankan dan juga Ustaz Abdul Muein ada sebut. Jangan sebab tak suka dengan fizikal seseorang, apa sahaja yang keluar walaupun selari dengan Al-Quran, kita tolak.

Jadi ada gugellah tentang 4 lapisan hati ini, ada jumpa di web Mufti Wilayah, nampaknya selari dengan apa yang dijelaskan. DSK bukan buat teori sendiri, tetapi mengambilnya daripada tafsiran para ulamak. Di akhir penjelasan di web Mufti Wilayah, dituliskan begini,

Hendaklah diketahui bahawa penjelasan ini adalah ijtihad ulama’ tasawwuf semata-mata hasil daripada rasaan (zauq) dan ilham daripada Allah SWT. Semoga pencerahan ini memberi manfaat kepada kita untuk memahami perbezaan antaranya dan lebih mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Jadi, jelaslah ini bukanlah penjelasan Rasulullah, tetapi ijtihad ulama' tasawwuf. Jika teori barat tentang psikologi kita terima dan angguk-angguk, bagaimana dengan ijtihad ulama' yang ini? Kata kuncinya, baca, kaji dan tidak taasub kepada guru. Wallahu a'lam.

Ada dikongsikan DSK tentang kisah Al-Ahnaf semasa Tadabbur Al-Quran,

لَقَدْ اَنْزَلْنَاۤ اِلَيْكُمْ كِتٰبًا فِيْهِ ذِكْرُكُمْ ۗ اَفَلَا تَعْقِلُوْنَ

"Sesungguhnya Kami telah menurunkan kepada kamu sebuah Kitab (Al-Quran) yang mengandungi perkara yang menimbulkan sebutan baik dan kelebihan untuk kamu, maka mengapa kamu tidak memahaminya (dan bersyukur akan nikmat yang besar itu)?"

(QS. Al-Anbiya 21: Ayat 10)

Lalu beliau berkata kepada dirinya untuk membuka Al-Quran lembaran demi lembaran untuk mencari apakah karakter dirinya.

Sehingga beliau berjumpa profil Ahli Syurga di Adz-Zariyat 51:17-19. Beliau merasakan beliau masih jauh lagi daripada profil itu. Lalu dibelek lagi sehingga berjumpa dengan ayat yang menyatakan golongan ahli neraka di Al-Muddathir 74:42-46. 

Akhirnya, beliau menemukan dirinya di ayat surah At-Taubah 9:102 

Begitulah bagaimana tadabbur itu, merenungkan ayat-ayat yang dibaca dan membandingkan dengan diri sendiri.

Erti mentadabburi suatu kalimat adalah memikirkannya dari bahagian awal sampai akhir, kemudian mengulang-ulangi perenungannya


Sumber : Nota Kuliah


Teringat ini diucapkan oleh Dr. Zulkifli Al-Bakri, beza apabila kita takut dengan sesuatu atau seseorang, kita akan menjauh. Contohnya kita takut dengan ular, nampak, kita lari jauh. Namun apabila kita takut dengan Allah, kita akan semakin mendekat. 

6. Al-TAZAKKUR [38:29]

كِتٰبٌ اَنْزَلْنٰهُ اِلَيْكَ مُبٰرَكٌ لِّيَدَّبَّرُوْۤا اٰيٰتِهٖ وَلِيَتَذَكَّرَ اُولُوا الْاَ لْبَا بِ

"(Al-Quran ini) sebuah Kitab yang Kami turunkan kepadamu (dan umatmu wahai Muhammad), -Kitab yang banyak faedah-faedah dan manfaatnya, untuk mereka memahami dengan teliti kandungan ayat-ayatnya, dan untuk orang-orang yang berakal sempurna beringat mengambil iktibar."
(QS. Sad 38: Ayat 29)

Tazakkur ini berkaitan dengan peringatan di dalam ayat-ayat Al-Quran. Tazakkur berkaitan dengan mengeluarkan peringatan atau pengajaran di dalam Al-Quran sebagai 'zikra'. Kita baca dan fahami dulu, dan apabila kita ditimpa isu dalam kehidupan, kita tinggal petik sahaja untuk mengamalkannya. 


7. AL-I'TIBAR [59:2]


هُوَ الَّذِيْۤ اَخْرَجَ الَّذِيْنَ كَفَرُوْا مِنْ اَهْلِ الْكِتٰبِ مِنْ دِيَا رِهِمْ لِاَ وَّلِ الْحَشْرِ ۗ مَا ظَنَنْـتُمْ اَنْ يَّخْرُجُوْا وَظَنُّوْۤا اَنَّهُمْ مَّا نِعَتُهُمْ حُصُوْنُهُمْ مِّنَ اللّٰهِ فَاَ تٰٮهُمُ اللّٰهُ مِنْ حَيْثُ لَمْ يَحْتَسِبُوْاوَقَذَفَ فِيْ قُلُوْبِهِمُ الرُّعْبَ يُخْرِبُوْنَ بُيُوْتَهُمْ بِاَ يْدِيْهِمْ وَاَ يْدِى الْمُؤْمِنِيْنَ ۙ فَا عْتَبِـرُوْا يٰۤاُ ولِى الْاَ بْصَا رِ

"Dia lah yang telah mengeluarkan orang-orang kafir di antara Ahli Kitab - dari kampung halaman mereka pada julung-julung kali mereka berhimpun hendak memerangi Rasulullah. Kamu (wahai umat Islam) tidak menyangka bahawa mereka akan keluar (disebabkan bilangannya yang ramai dan pertahanannya yang kuat), dan mereka pula menyangka bahawa benteng-benteng mereka akan dapat menahan serta memberi perlindungan kepada mereka (dari azab) Allah. Maka Allah menimpakan (azabNya) kepada mereka dari arah yang tidak terlintas dalam fikiran mereka, serta dilemparkanNya perasaan cemas takut ke dalam hati mereka, (lalu) mereka membinasakan rumah-rumah mereka dengan tangan mereka sendiri (dari dalam) sambil tangan orang-orang yang beriman (yang mengepung mereka berbuat demikian dari luar). Maka insaflah dan ambilah pelajaran (dari peristiwa itu) wahai orang-orang yang berakal fikiran serta celik mata hatinya."

(QS. Al-Hasyr 59: Ayat 2)

Iktibar ini dikaitkan dengan mengambil ibrah dari alam semesta.

Gabungan tazakkur dan tadabbur ini disebutkan sebagai IDDIKAR [54:15 & 51]. Muddakir, orang yang mengambil pelajaran, orang yang memikirkan.

8. AL-I'TTIBA' [6:155]


وَهٰذَا كِتٰبٌ اَنْزَلْنٰهُ مُبٰرَكٌ فَا تَّبِعُوْهُ وَا تَّقُوْا لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُوْنَ ۙ 

"Dan ini sebuah Kitab (Al-Quran) yang Kami turunkan, yang ada berkatnya (banyak manfaatnya). Oleh itu, hendaklah kamu menurutnya; dan bertaqwalah (kepada Allah), mudah-mudahan kamu beroleh rahmat."
(QS. Al-An'am 6: Ayat 155)

Ini yang terakhir sekali, apabila 7 hak-hak Al-Quran itu dipenuhi, perlulah diikuti dan tidak hanya memilih-milih apa yang sesuai dengan hawa nafsu. Menyampaikan juga termasuklah dalam hak al-Quran yang ke-8.

Kelas kedua DSK bertanya, apakah lawannya al-Quran. 

Setelah beberapa kali mengikut kelas di FB dan membeli beberapa pendrive kuliah, pada mulanya terfikir syaitan. Tetapi eh syaitan tu satu je, ada lagi musuh kita yang selalu disebutnya.

Terlintas perkata HAWA yang selalu DSK sebutkan. Syahwat, syubhah dan syaitan. 3S yang saling berkaitan.

Benarlah, Quran itu lawannya Hawa. Hawa itu apa sahaja keinginan yang menyalahi apa di dalam Al-Quran.

Inilah 8 hak-hak Al-Quran yang secara ringkas dapat dituliskan untuk diri ini menyusun masa yang diberi Allah 24 jam sehari untuk memenuhinya.

Memang nampak cemas apabila sudah belajar, banyak sungguh yang tak terpenuhi. 

Namun, mengingatkan pesanan DSK selalu, di dalam Al-Quran Allah telah menyatakan sifat manusia ini AJULA. Suka tergesa-gesa. Mahu buat semua, akhirnya buat 1 hari sahaja kesemuanya kemudian ditinggalkan atas dasar kemalasan melanda. 

خُلِقَ الْاِ نْسَا نُ مِنْ عَجَلٍ ۗ سَاُ ورِيْكُمْ اٰيٰتِيْ فَلَا تَسْتَعْجِلُوْنِ

"Jenis manusia dijadikan bertabiat terburu-buru dalam segala halya; Aku (Allah) akan perlihatkan kepada kamu tanda-tanda kekuasaanKu; maka janganlah kamu meminta disegerakan (kedatangannya)."
(QS. Al-Anbiya 21: Ayat 37)

Ada banyak lagi sambungannya untuk hari kedua,

Ulul Albab, ulul absar, ulun nuha.
Siapakah sahabat Al-Quran?
Siapakan pengabai Al-Quran? Boleh baca juga di blog Kuliah Notes, ada secara ringkas nota kelas yang sama tapi pada sesi berbeza.

Moga Allah berikan keberkatan masa untuk menuliskannya semula. 

Penulisan akhir ini ditutup dengan satu ayat al-Quran yang rasa terkesan ketika dibacakan oleh DSK semalam.

Allah Ta’ala berfirman,

طه (1) مَا أَنْزَلْنَا عَلَيْكَ الْقُرْآَنَ لِتَشْقَى (2) إِلَّا تَذْكِرَةً لِمَنْ يَخْشَى (3) تَنْزِيلًا مِمَّنْ خَلَقَ الْأَرْضَ وَالسَّمَاوَاتِ الْعُلَا (4)

Thoha. Kami tidak menurunkan Al Quran ini kepadamu agar kamu menjadi susah; tetapi sebagai peringatan bagi orang yang takut (kepada Allah), yaitu diturunkan dari Allah yang menciptakan bumi dan langit yang tinggi.” (QS. Thoha: 1-4).


Apabila diterbalikkan ayat kedua ini, akan terserlahlah maksudnya, "Kami menurunkan Al-Quran ini kepadamu agar kamu bahagia". Begitulah indahnya ayat-ayat Al-Quran ini, turun untuk menyuburkan hati-hati yang membacanya seperti turunnya hujan membasahi tanah lalu menyuburkan tanaman.

Wallahu a'lam.

"Ikatlah ilmu dengan menuliskannya.

Nurul Fauzana
Wang Tepus
6.6.2021