Friday, January 29, 2021

Usrah Jitra 3 : Kempen Hamalatul Quran

Tak ada gambar usrah, kita letaklah gambar bersama anak-anak. Moga jadi tempat anak-anak boleh baca semula nanti apabila mama telah tiada :(


Kenapa kita panggil kempen? Kerana nak sebarkan seramai-ramainya.

Untuk orang awam macam saya yang bukan latar belakang mengaji agama hanya pernah dulu sekolah agama maahad muar dari form 1 hingga form 3 memang rasa itu je la adui ilmu agamanya. Entah apalah disibukkan ya lepas spm dah tak upgrade ilmu agama semuanya fokus kepada akademik, kerja, kahwin, dapat anak. Argh betapa benar dunia ini hanya persinggahan.

Maka apabila Dr. Nadiyah berkempen dalam sesi usrah ini, eloklah dicatatkan dan terus cuba diamalkan sambil berkempen.

Apa itu Hamalatul Quran? Rasanya dah lama Dr. Nadiyah selaku FB Friends berkempen. Tapi biasalah, benda tu datang sikit-sikit. Buat sikit, tinggal, buat, cari balik, buat balik.

Apabila dibaca-baca dari gugel, hamalatul tu seperti wanita hamil. Lantas apa yang ada, adakah dikendong al-Quran itu ke mana-mana?

Ada 5 perkara yang dikongsikan, bagaimana orang biasa seperti saya mahu menjadi Hamalatul Quran.

1. Belajar Tafsiran Quran

Bukan belajar mentafsir al-Quran. Belajar daripada ulamak yang dah tafsir al-Quran. Fahami isi al-Quran dan mesejnya. Ini yang utama diamalkan.

Apabila bercerita tentang Tafsir Quran, biasa buku Tafsir semua kan Bahasa Arab. Ya ampun, celah mana nak faham. Lepas tu dah keluar Tafsir Hamka berbahasa Melayu/Indonesia. Beli terus tapi inilah kan manusia, suka yang senang. Beli senang, baca susah :P

Lepas tu Wawa kongsi daripada apa yang dipelajari. Dunia ini bersifat rendah. Benda yang rendah memang senang. Contoh, naik bukit dengan turun bukit mana senang? Mestilah turun kan. Ianya bersifat rendah. Benda rendah, senang. Tonton Netflix layan cerita korea, semua senang. Tengok je tak perlu buat apa. Mudah.

Belajar Tafsir? Duduk spend masa dengar Kuliah. Susah. Kerana ianya bersifat tinggi. Begitulah analoginya.

Menuntut ilmu juga begitu. Jangan terburu-buru. Nampak kelas itu nak masuk, kawan masuk kelas sekian nak masuk. Aplikasinya? Deep kan. Dapatlah dikaitkan dengan dunia bisnes, marketing yang mana awal dulu rasa semua benda nak masuk. Apabila belajar sekian sekian, adoi susahnya. Lepas tu nampak iklan itu, masuk lagi. Lepas tu, yang dikejar tak dapat, yang dikendong...

Jadi memang setahun dua dalam bisnes ni stop pergi kelas kelas. Cuba duduk dan aplikasikan mana yang dah belajar. PKP terus duduk diam cuba siapkan banyak benda akaun tertunggak. Lepas tu memang tahan diri daripada cuba masuk banyak kelas yang dah ada basic. 

Itu dunia. Yang bekalan di akhirat ini lagilah berganda susahnya. Cuba follow satu satu guru sehingga habis, dan lepas itu cuba diamalkan. Dr. Nadiyah syorkan ikuti kuliah Maulana Hadi. Ada dalam telegram Kuliah Daurah Maulana Abdul Hadi. Biasanya Maulana akan buat di pondok semasa Ramadan. Lepas kuliah, kena diskus bersama rakan sekuliah. 

Ini pun dah lama memang dah follow channel, tapi itulah kan, suka buat sikit, tinggal. Buat sikit, semangat, pulun, lepas tu tinggal.

Satu lagi analogi menarik tentang belajar Tafsiran Quran daripada yang benar adalah seperti jika kita tak tahu tentang sesuatu tempat tu, eloklah kita guna agen pelancongan. Agen bawa melawat A, kita pun layan je la ikut, dengar. Lepas tu apabila dah tahu selok belok, barulah kita boleh DIY. Takut jika kita belajar tak habis lagi dan ikut-ikutan, jadi sesat. Sesat kat negara orang pula tu. Seram kan? Bayangkan kalau sesat belajar ilmu agama ni, orang kata feeling is prayer, semua benda nak kena positif sebab itu doa, lepas tu kita memang ikut la. Dalam tak sedar jadi syirik. Nauzubillah. Dosa lain Allah boleh ampunkan. Dosa syirik? Yang lebih seram kita perasan benda tu betul ikut logik kita, tapi rupa-rupanya sesat dalam diam yang tak sedar.

Jadi lepas Usrah semalam terus masuk balik, muat turun balik satu surah sahaja iaitu Az Zumar. Surah yang dibaca semasa Usrah. Tak mahu jadi overwhelming nak buat semua. Itupun sampai hari ini belum habis dengar pun. Mutiara Al-Quran nota pelajar Daurah pun dah ada, untuk sokongan sambil dengar kuliah. Keluarkan balik, letak atas meja. Ya Allah berikan aku keberkatan masa!

Tambahan : Sedang mengikuti Tadabbur oleh Ustaz Abdul Muein di sini. Belum lengkap sepenuhnya. Ada surah yang dah lengkap. Mudah faham apabila setiap perkataan diterjemahkan dalam Bahasa Melayu. Memang bercinta juga nak fokus. Sejenis yang tak boleh duduk sahaja dengar. Jadi pasang headphone dan tangan buat kerja lain. Setiap 1-2 ayat pun dekat sejam. Tapi setiap kali nak 'give up', terngiang-ngiang kata Wawa, Al-Quran ini sifatnya tinggi, benda tinggi memang susah. Dunia ini sifatnya rendah, jadi banyak benda senang!

2. Belajar Arab Al Quran Perkata / Permakna Ayat

Apabila membaca al-Quran, sebagai orang yang bukan bahasa pertama kedua atau ketiga Bahasa Arab, hanya tahu Sobahal Khoir Sobahannur Kaifa Haluka, maka wajarlah diperuntukkan masa untuk baca tafsiran sama ada perkata atau per ayat. Baca terjemahan. Sedikit sebanyak ini membantu apabila dibaca ayat al-Quran, sel-sel otak akan berhubung dan dari situ diharapkan sedikit sebanyak dapat membantu kekhusyukan solat dan seangkatan dengannya. 

Ini pun seperti biasa dah pernah buat, tapi tinggal.

Bercerita tentang tinggal, analogi Wawa lagi menakutkan.

Syaitan tu apabila kita meninggalkan al-Quran, mereka datang menerkam kita. Bayangkan jika kita tekan butang skrin Netflix, nak tengok cerita korea yang penuh dengan nilai kemasyarakatan katanya, syaitan datang menerkam. Wow terkam ok. Seram pula. Dari semalam tak tekan Netflix lagi ni, huhuhu. 

Ok begitulah impaknya apabila kawan kau bercerita siap dengan gaya terkam :D

3. Belajar Tajwid dan Makhraj

Ok yang ini memang diakui sejak habis sekolah begitu sahajalah mutunya. PKP hari tu dapat belajar sekejap dengan Ustazah Khadijah Ghani, bahagia. Lepas tu adalah belajar dengan kawan sekejap, lepas tu tinggal. Ni masa usrah dimulai dengan semuka Al Quran, sedikit sebanyak dapat belajar. Makhraj ro memang betul sukar walaupun dah boleh angkat lidah tapi apabila bersabdu, nak stay lidah tu kat atas, the struggle is real uols :D

Tapi kan Allah dah janji, yang belajar dan 'merangkak', dapat dua pahala. Begitulah cara kita pujuk hati dan 'trick' otak supaya rajinlah belajar.

Hari Rabu pun dah ada sertai kelas dengan Kak Zai Al-Ameen, cuma banyak ghoibah daripada muncul. Hehehe. Selalunya sebab line tak kuat dok Wang Tepus ni, semua loading. Satu lagi kadang rebah dah awal konon kepenatan. Gitulah.

Satu lagi yang Wawa kongsi, ada kawannya tanya, "Kak Wa sehari baca Quran berapa muka?"

Dalam hati, adui nak cuba baca 2 muka pun sehari, ada hari sampai tak baca, sampai lupa dah sampai mana baca, begitu teruk amalan sendiri.

"Cuba Kak Wa baca sehari 10 muka, mesti tak sempat dah nak buat benda lain".

Lepas tu fikir betul juga kan, ini letak target 2 muka je, lepas tu tak dapat, dapat lah 0. Hahaha. Ini kalau target 10 muka, paling kurang dapatlah 2 muka kot. Teringat dulu letak KPI berjoging 10 km seminggu. Memang pulun buat lah, dapatlah sebulan dua istiqamah. Apabila masuk 2021, kena mula kerja pagi jaga anak-anak di Akademi, memang tak dapat buat. Singkatkan jadi 4 km untuk hari pun dah mula sayup sayup. Hihihihi.

Hasil perbincangan, cuba kalau susah rasa 10 muka, ulang bacaan yang sama tu 5 kali supaya apabila baca akan lagi cepat dan lagi lancar. Jadi masa tu akan lagi jimat dan kelancaran tu bertambah. Gitu sekali kami bincang. Hahaha. Semua otak sepesen sama suka mengelat hehehehe. Efektif lebih utama kan kan kan?

4. Hafazan

Hafazan ini akan menggamkan semua apa yang kita belajar di langkah 1, 2 dan 3. Jadi apabila semuanya dalam dada kita tak bergantung masa kita dengan kena duduk pegang mushaf. Biasanya proses tadabbur ni kita kata, baca Quran lihat alam. Hafazan ini akan bantu 'decode' semula. Tengok alam, ingat ayat Allah. 

Oh indahnya jika dapat sampai ke sini kan. Tengok alam dapat kaitkan semula. 

Teringat doa ini yang lama tak diamalkan,

اللَّهُمَّ ارْزُقْنَا فَهْمَ النَّبِيِّينَ وَحِفْظَ المُرْسَلِينَ وإلْهَامَ المَلاَئِكَةِ المُقَرَّبِينَ فِي عَافِيَةٍ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ

“Wahai Tuhanku, kurniakanlah kami kefahaman para Nabi dan hafazan para Rasul, serta ilham daripada para Malaikat yang hampir dengan-Mu, kurniakanlah kami kesihatan wahai Tuhan yang Maha Pengasih.”

5. Praktikkan

Bagaimana nak bawa apa yang dipelajari dalam hidup. Belajar buat belajar buat dan ajarkan. Jika kita nak tunggu sempurna baru nak ajar dan kongsi memang tak tahulah bila boleh kan. Waktu itu mungkin kudrat kita dah tak sekuat sekarang. Sekarang boleh taip laju, takyah tengok papan kekunci, mata masih belum rabun dekat lagi. 

Jadi kita tuliskan dulu di sini, kempenkan, walaupun belum buat sepenuhnya 1-5 ini, moga jadi sebagai salah satu usaha yang dipandang oleh  Yang Maha Penyayang.

Satu lagi yang menarik untuk dikongsikan bagaimana Al-Quran ini sebenarnya akan basuh jiwa kita secara berlapis-lapis. Semakin kita ulang, semakin kita akan nampak isi dalamnya. Macam Dr. Nadiyah kongsikan, apabila mula baca surah Yusuf nampak baiknya Nabi Yusuf. Lama-lama baca, nampak pula sisi adik beradik Nabi Yusuf. Adakah aku macam adik beradik yang suka dengki. Atau lebih teruk lagi adakah seperti Isteri Al-Aziz? Oh tidak. Dibaca lagi semakin banyak ibrahnya yang mendidik jiwa.

Biasanya pada mula surah Yusuf ni, baca nak anak kacak. Ha ha ha. It's okay, keep on reading. You'll see the different perspective later, insya-Allah (cakap pada diri sendiri).

Begitulah sedikit sebanyak perkongsian usrah semalam. Dah malam baru siap coretan ini. Moga kesibukanku 'mengikat ilmu' yang sedikit ini menjauhkan hati daripada benda-benda yang bersifat rendah. Amin.

"Ikatlah ilmu dengan menuliskannya..."

Nurul Fauzana
Wang Tepus
8.57 pm

Thursday, January 28, 2021

Usrah Jitra 3 : 6 Hak Al-Quran Yang Perlu Ditunaikan Oleh Kita

Alhamdulillah, diizinkan untuk bersama lagi kali ke-3 dalam Usrah Jitra bersama 2 rakan. Kali ini Dr. Nadiyah berkongsi tentang Hamalatul Quran atau kata mudahnya 'Orang Yang Membawa Al-Quran'.

Sebelum diteruskan dengan kempen Hamalatul Quran, 6 hak al-Quran yang perlu ditunaikan oleh kita sebagai Hamba Allah ini sebagaimana dikongsikan oleh Puan Azurah ini menarik untuk dituliskan dahulu. Perkongsian ringkas ini hasil dapatan yang dipelajari daripada Dr. Sholihah Kaswari.

Oleh kerana ini bukanlah pengajian formal, maka dituliskan secara ringkas sebagai permulaan untuk kita menggali lebih dalam lagi, insya-Allah.

1. TILAWAH [AL-ANKABUT:45] - BACA & FAHAM

Allah Subhanahu Wa Ta'ala berfirman:

اُتْلُ مَاۤ اُوْحِيَ اِلَيْكَ مِنَ الْكِتٰبِ وَاَ قِمِ الصَّلٰوةَ    ۗ اِنَّ الصَّلٰوةَ تَنْهٰى عَنِ الْفَحْشَآءِ وَا لْمُنْكَرِ ۗ وَلَذِكْرُ اللّٰهِ اَكْبَرُ   ۗ وَا للّٰهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُوْنَ
"Bacalah serta ikutlah (wahai Muhammad) akan apa yang diwahyukan kepadamu dari Al-Quran, dan dirikanlah solat (dengan tekun); sesungguhnya solat itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar; dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya); dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan."
(QS. Al-'Ankabut 29: Ayat 45)

* Via Al-Qur'an Melayu http://quranmelayu.com

Tilawah Al-Quran. Nampak dah kaitan perkataan اُتْلُ 



Kebiasannya apabila kata ada pertandingan tilawah, yang difahami bacaan penuh berlagu. Setiap tahun buat dekat Malaysia. Walhal tilawah itu bukan sekadar bacaan.

Jadi sambil menulis semula nota Usrah, cari-carilah maksud tilawah. Terjumpa di sini

Tilawaħ memiliki arti pembacaan (ayat Al-Qur’an) dengan baik dan indah. Tilawaħ menurut istilah adalah mengikuti petunjuk dan aturanaturan kitab suci. Ini berarti keharusan berkesinambungan dalam memahami makna dan kebenaran-kebenaran (haqaiq)-nya dalam hati. 
Jadi dengan kata mudahnya seperti dikongsi oleh rakan usrah, BACA DAN FAHAM. Itulah antara 1 hak al-Quran yang perlu ditunaikan oleh kita.

NOTA MNEMONIC : LABAH2 WALAN

2. AL-QIRAAH [AL-ALAQ : 1] - BACA - MEMBUNYIKAN SIMBOL

Allah Subhanahu Wa Ta'ala berfirman:

اِقْرَأْ بِا سْمِ رَبِّكَ الَّذِيْ خَلَقَ ۚ 
"Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk),"
(QS. Al-'Alaq 96: Ayat 1)

* Via Al-Qur'an Melayu http://quranmelayu.com


NOTA MNEMONIC : ALAQ DARAH LANNA



3. AL-ISTIMAQ [AL-ARAF : 204] - BACA & FOKUS


Allah Subhanahu Wa Ta'ala berfirman:

وَاِ ذَا قُرِئَ الْقُرْاٰ نُ فَا سْتَمِعُوْا لَهٗ وَاَ نْصِتُوْا لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُوْنَ

"Dan apabila Al-Quran itu dibacakan, maka dengarlah akan dia serta diamlah (dengan sebulat-bulat ingatan untuk mendengarnya), supaya kamu beroleh rahmat."

(QS. Al-A'raf 7: Ayat 204)

* Via Al-Qur'an Melayu http://quranmelayu.com



4. AL-TASDIQ [AL-ISRAQ : 88] - MEMBENARKAN AL-QURAN


Allah Subhanahu Wa Ta'ala berfirman:

قُلْ لَّئِنِ اجْتَمَعَتِ الْاِ نْسُ وَا لْجِنُّ عَلٰۤى اَنْ يَّأْتُوْا بِمِثْلِ هٰذَا الْقُرْاٰ نِ لَا يَأْتُوْنَ بِمِثْلِهٖ وَلَوْ كَا نَ بَعْضُهُمْ لِبَعْضٍ ظَهِيْرًا
"Katakanlah (wahai Muhammad): Sesungguhnya jika sekalian manusia dan jin berhimpun dengan tujuan hendak membuat dan mendatangkan sebanding dengan Al-Quran ini, mereka tidak akan dapat membuat dan mendatangkan yang sebanding dengannya, walaupun mereka bantu-membantu sesama sendiri."
(QS. Al-Isra' 17: Ayat 88)

* Via Al-Qur'an Melayu http://quranmelayu.com


NOTA MNEMONIC : ISRAQ TUJUH (LANGIT TU-JUH LAPISAN)

5. TAZAKKUR [SOD : 29] - HAYATI



Allah Subhanahu Wa Ta'ala berfirman:

كِتٰبٌ اَنْزَلْنٰهُ اِلَيْكَ مُبٰرَكٌ لِّيَدَّبَّرُوْۤا اٰيٰتِهٖ وَلِيَتَذَكَّرَ اُولُوا الْاَ لْبَا بِ
"(Al-Quran ini) sebuah Kitab yang Kami turunkan kepadamu (dan umatmu wahai Muhammad), -Kitab yang banyak faedah-faedah dan manfaatnya, untuk mereka memahami dengan teliti kandungan ayat-ayatnya, dan untuk orang-orang yang berakal sempurna beringat mengambil iktibar."
(QS. Sad 38: Ayat 29)

* Via Al-Qur'an Melayu http://quranmelayu.com


NOTA MNEMONIC : SOD GAPAN

6. TADABBUR [MUHAMMAD : 24]



Allah Subhanahu Wa Ta'ala berfirman:

اَفَلَا يَتَدَبَّرُوْنَ الْقُرْاٰ نَ اَمْ عَلٰى قُلُوْبٍ اَقْفَا لُهَا
"(Setelah diterangkan yang demikian) maka adakah mereka sengaja tidak berusaha memahami serta memikirkan isi Al-Quran? Atau telah ada di atas hati mereka kunci penutup (yang menghalangnya daripada menerima ajaran Al-Quran)?"
(QS. Muhammad 47: Ayat 24)

* Via Al-Qur'an Melayu http://quranmelayu.com




NOTA MNEMONIC : MUHD PAJUH

Selesai sudah catatan ini. Cukuplah sebagai nota permulaan untuk menggali lebih dalam setiap hak. Insya-Allah nanti sambung lagi dengan apa itu Hamalatul Quran. 

"Ikatlah ilmu dengan menuliskannya..."

Nurul Fauzana
Wang Tepus
29 Januari 2021


Usrah Jitra 2 : 7 Perkataan Digunakan Dalam Al-Quran Yang Merujuk Kepada Wanita


 Alhamdulillah, minggu ini masih meneruskan sesi kedua Usrah Jitra walaupun tinggal berdua. 
Perkongsian Puan Azurah hasil mengikuti kelas bersama Dr. Sholihah Kaswari berkaitan wanita.

Wanita?

+ Cenderung benda cantik
+ Banyak bercakap
+ Cinta harta. Rasa tak cukup dan guna nama hak asasi sebagai alasan bekerjaya.
+ Cenderung guna rasa/emosi apabila ada konflik
+ 1400+ lafaz disebut dalam AQ tentang wanita berbanding lelaki hanya 1/3 daripada wanita
+ Menunjukkan pentingnya wanita dengan peranan tersendiri

Mengapa mahu faham wanita ini daripada perspektif AQ?

+ Wanita dapat faham peranan sendiri dari segi rumah tangga & kerjaya.
+ Lelaki dapat faham peranan wanita/isteri yang dinikahi

7 PERKATAAN DIGUNAKAN DALAM AQ YANG MERUJUK KEPADA WANITA

1. Al-Unsa 

+ merujuk kepada jantina
+ lemah dari segi emosi
+ term untuk haiwan juga (betina)

2. Nisa'/Niswah

+ Manusia
+ Bayi perempuan
+ Baligh
+ Sudah bersuami
+ Perempuan yang cari perhatian lelaki 

3. Bintu

+ Anak perempuan yang dilahirkan dalam rahim wanita (Hawa tidak termasuk)
+ Supaya sedar apa peranan kita sebagai bintu kepada wanita yang melahirkan kita

4. Zaujah

+ Isteri
+ Sudah berkahwin
+ Membawa harmoni 

5. Al Maria'ah /Imraah

+ Perempuan ditimpa konflik (Isteri Nabi Luth, isteri Nabi Nuh)
+ Tiada anak / mandul
+ Bujang
+ Contoh (isteri Al Aziz)
+ Baligh, bekerja dan jaga ikhtilat (Ratu Balqis)

6. Walidah

+ Wanita melahirkan sama ada disentuh lelaki/tidak (S.Maryam)
+ Dihormati sebagai ibu
+ Walidaini (ibu dulu sebelum ayah)
+ Abawaini (ada disebut ayah dulu)

membuktikan ada beza situasi dahulukan ibu atau ayah

7. Al-Um

+ Induk/Rujukan
+ Tak minta balasan
+ Al Qosas (ada ikatan hati, antara ibu menyusukan anak misalnya)
+ Contoh ibu Nabi Musa
+ Ada memang ibu yang sungguh tidak minta dibalas atas segala jasa

Kesimpulan :

Apabila kita mengetahui dengan jelas makna wanita dalam AQ, lebih mudah kita tahu setiap kita wanita ini ada peranan tersendiri yang telah ditetapkan Allah.

Berusahalah! 

"Ikatlah ilmu dengan menuliskannya..."

Nurul Fauzana
Sambil Tunggu Kereta Dibasuh

Usrah Jitra 1 : Surah Luqman : 5 Rahsia Allah

Sambungan Usrah

1. Tarikh hari kiamat. Hanya Allah yang tahu tarikh sebenar, namun tanda-tandanya Allah beri.

2. Di mana dan bila hujan. Ada tanda-tanda, tapi belum tentu hujan. 

3. Apa yang ada di dalam rahim. Kadang scan macam perempuan, keluar lelaki atau sebaliknya. Perut besar disangka ada baby, rupa²nya ada cyst, nauzubillah.

4. Apa yang akan diusahakan oleh seseorang pada hari esok.

5. Di bumi manakah kita akan mati. Ada yang berjalan untuk melawat ke negara yang tidak dijejaki, meninggal di situ. Teringat orang yang meninggal ketika haji 😭

Allah Subhanahu Wa Ta'ala berfirman:

اِنَّ اللّٰهَ عِنْدَهٗ عِلْمُ السَّا عَةِ ۚ وَيُنَزِّلُ الْغَيْثَ ۚ وَيَعْلَمُ مَا فِى الْاَ رْحَا مِ ۗ وَمَا تَدْرِيْ نَفْسٌ مَّا ذَا تَكْسِبُ غَدًا ۗ وَّمَا تَدْرِيْ نَـفْسٌ بِۢاَيِّ اَرْضٍ تَمُوْتُ ۗ اِنَّ اللّٰهَ عَلِيْمٌ خَبِيْرٌ

"Sesungguhnya di sisi Allah pengetahuan yang tepat tentang hari kiamat. Dan Dia lah jua yang menurunkan hujan, dan yang mengetahui dengan sebenar-benarnya tentang apa yang ada dalam rahim (ibu yang mengandung). Dan tiada seseorang pun yang betul mengetahui apa yang akan diusahakannya esok (sama ada baik atau jahat); dan tiada seorangpun yang dapat mengetahui di bumi negeri manakah ia akan mati. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Amat Meliputi pengetahuanNya."

(QS. Luqman 31: Ayat 34)

Seronok dapat menambah ilmu dalam majlis ilmu. Puan Amni Khassim kalau berkongsi cerita memang selalu sampai di ❤️. 

Ada sahaja cerita yang mak & abah beliau kongsikan. Kita ni dapat tumpang dengar rasa beruntung.

Lepas tu masing² kongsikan tentang tabiat perempuan yang ada pelbagai mushaf Quran. Dr. Nadiyah Elias  kata, quote Ustaz Yusnaidi kata, setiap mushaf Quran tu ibarat kawan baik.  Ada pelbagai 'kawan' dan pastikan kita sentiasa berhubung dengan 'kawan' kita ni.

Diri sendiri takut sebenarnya nak commit dengan pelbagai mushaf, takut terabai 'kawan'. Nanti dipersoal pula 😂😂😂

Tapi apabila mendengar cerita masing² ada pelbagai jenis Quran. Ada yang jenis Quran Tagging (err bukan yang ada batu Swsrozki susah nak eja tu haha). Yang per kata untuk hafalan. Yang al Hafiz untuk Hafazan. Yang jenis suka tulis dan tagging sendiri cerita dalam Quran. 

Aduh, macam tak cukup 'bercinta' aku ni dengan Al-Quran sebagaimana aku bercinta dengan fb ni 😅😅😅

Begitulah, saling mengambil pengalaman masing² dan berlumba-lumba berbuat kebaikan. Kita tak tahu amal mana satu yang Allah redha.

Tadi dah bersetuju, ada 2 orang ready pun kita on Usrah. Dok bayangkan berdua dengan Noor Azurah Anuar berusrah 😂😂😂 ... baru nak bangkang tadi at least 3 orang lah 🤗🤗🤗. Apa yang penting ukhwah dan ada nilainya. Tak kiralah Ustazah Palsu ke apa 🤭🤭🤭... karang sambil berbasikal kita berusrah kan, takpun sambil panjat Bukit Malau kan Wa? 

Berusahalah! 

"Ikatlah ilmu dengan menuliskannya..."

Nurul Fauzana

Usrah Jitra 1 : 5 Rahsia Allah Simpan & Sembunyi



Hari ini diberi nikmat masa menyertai Usrah 4 orang kehadiran penuh.

Naqibah : Puan
Amni Khassim
Tuan Rumah : Dr.
Nadiyah Elias
Ahli 1 : Puan
Noor Azurah Anuar
Ahli 2 : Cikgu Ana
Pemerhati : Tuan Muda Elyas 🤗
Antara isi menarik perkongsian Naqibah hari ini.
6 RAHSIA ALLAH SIMPAN/SEMBUNYI
1. Allah SIMPAN REDHA dalam KETAATAN. Mana saja kebaikan, kita buat sahaja sebab kita taktau yang mana satu Allah redha.
Yang kira bagi kucing makan ke, yang pi tolong mak ke atau yang senyum kat orang.
Teringat sendiri dalam hati, ada baca yang orang alim (ke imam) susun kerusi masa majlis agama. Apabila ditanya kenapa beliau buat begitu. Jawabnya beliau tidak tahu redha Allah itu dari ceramahnya nanti atau dari perbuatan susun kerusi.
Tetaplah berbuat kebaikan.
2. Allah SIMPAN KEMURKAAN dalam MAKSIAT
Jika kita buat jahat/maksiat, pastinya Allah murka. Hatta langgar lampu merah pun, dah dikira maksiat, mana tau masa kita langgar lampu tu, ada motor laju.
Ok terasa, lepas ni nampak lampu kuning kena slow naà, bukan pecut 🤭🤭🤭
Pokoknya, pasti ada murka Allah dalam maksiat. Jauhkan.
3. Allah SEMBUNYI MATI dalam UMUR
Walaupun apa diagnos doktor, mereka hanya boleh agak ikut ilmu yang mereka ada. Contoh anak saudara Naqibah yang doktor kata hanya boleh hidup 6 bulan, lepas tu 2 tahun sebab ada sindrom yang jarang² ada. Alhamdulillah kini dah 13 tahun masih ada bersama (mohon betulkan fakta jika salah ya).
Usia bukan penentu kematian.
4. Allah SEMBUNYI LAILATUL QADAR dalam bulan RAMADAN
Walaupun ada tanda-tandanya, ia bukanlah pasti. Kita tak tahu.
Kenapa? Supaya tetaplah istiqamah beribadat sepanjang Ramadan dan bukan hanya 1 hari.
5. Allah SEMBUNYI 1 SOLAT yang paling disukai dalam SOLAT 5 WAKTU
Fokus semua 5 waktu. Seperti para sahabat, menggigil solat menangis kerana membayangkan ianya solat terakhir.
Alahai, jauh lagi nampaknya 😭
6. Allah SEMBUNYI WALI ALLAH di kalangan manusia
Kenapa? Agar kita berukhwah dengan semua orang tanpa mengira apa pun. Bayangkan jika kita tahu siapa wali Allah, pasti kita sibuk meminta-minta agar mendoakan kita dan macam² lagi 😅
Ada lagi 5 RAHSIA, bersambung, insya-Allah.
Pstt... keahlian dibuka untuk wanita sekitar Jitra yang boleh luangkan masa 2-4 petang setiap Khamis. "Ikatlah ilmu dengan menuliskannya..."
Nurul Fauzana
Belajar mengikat