Wednesday, December 14, 2016

Elsa By Iyman

Elsa & Princess Sophea by Iyman Amalea

Melihat senyuman anak kecil yang dahulunya sangat tembam bagai duta tayar Michelin menjadikan air mata bergenang. Betapa cepatnya masa berlalu, mama juga sudah 5 tahun lebih tua dari saat dirimu lahir.

Setiap hari berazam untuk menjadi mama penyayang, yang akan terpahat dalam memori anak. Bukannya mama garang ibarat hulk hogan yang sering bertukar hijau tanpa mengira masa, hatta hanya kerana sedikit salah yang pastinya bukan engkau sengajakan.

I want to be old and happy. 



Sunday, August 28, 2016

Nota Cinta Dari Langit

EKSAITED!

Pagi ini baru saya faham kenapa disebut-sebut seperti membaca novel apabila faham al-Quran.

Contohnya surah Yasin ayat 5.

Sambil menulis setiap patah kata, cari kata dasar dan kemudian tuliskan maknanya di belakang kertas

تَنزِيلَ

(Al-Quran) diturunkan oleh

الْعَزِيزِ

Allah Yang Maha Perkasa

Apabila menulis Yang Maha Perkasa tiba-tiba rasa takut, perkataan perkasa itu terasa sangat kuat.

Saya teruskan menulis kata berikutnya

الرَّحِيمِ

Maha Penyayang

Allahu akbar. Tadi daripada rasa takut tiba-tiba Allah pujuk dengan kata Maha Penyayang. Sebak.

Puan Dr. Nadiyah Elias pesan semalam, salah satu cara istiqamah adalah dengan mengajarkan kepada orang lain walaupun kita baru belajar satu ayat.

Bak kata saya kepada ramai orang apabila diminta jadi penceramah atau pengajar secara 'live', saya ni 'keyboard warrior', kalau menaip memang laju semacam, sampai orang ingat saya boleh bertutur selancar dan setenang tulisan saya.

Ketahuilah, saya lebih rela menaip 4200 patah kata sejam daripada disuruh bertutur 100 patah kata.

Nota kaki : Eh bukan dulu engkau suka potpetpotpet sampai kawan akan tanya demam ke kalau nampak senyap sahaja?

Thursday, March 3, 2016

Belalang Bakar

Sudah hampir togel pelepah kelapa di depan rumah emak. 7 daun dicabut namun masih belum nampak rupa belalang. Habis pelepah kelapa, 'straw' dan kertas pula dikerjakan. Akhirnya setelah puas mencuba, nampak gaya sudah ada rupa belalang, atau nampak macam udang?

Belalang, salah satu wabak yang Allah turunkan kepada kaum Nabi Musa a.s. Kepada Firaun dan konco-konconya yang masih tidak mahu mengikut JALAN YANG LURUS. Allah rakamkan di dalam surah Al-Araf ayat 133 yang membawa maksud;

(Allah berfirman): Kami pun menghantarkan kepada mereka taufan, dan belalang, dan kutu, dan katak, dan darah, sebagai tanda-tanda dan bukti yang jelas nyata, maka mereka juga tetap berlaku sombong takbur dan menjadi kaum yang menderhaka.

Bercerita tentang belalang, ingatan berputar-berputar sekitar tahun 80-an di Kampung Parit Yusof, Muar. Zaman sekolah rendah. Zaman di mana kami bebas bermain, berbasikal ke sana ke mari tanpa perlu memikirkan masalah dunia.

Petang itu geng kami membuat projek menangkap belalang. Selepas ditangkap, dibakarnya belalang. Kami merasa seorang sedikit.

"Macam udang la rasanya", getus saya di dalam hati.

Itu kali pertama dan terakhir saya menikmati hidangan belakang bakar. Tidak sanggup membayangkan mahu makan Char Kuew Teow Belalang walau rasanya hampir sama.

Walaupun pengalaman itu sudah lama, namun keseronokan semasa proses menghasilkan belalang bakar masih tersimpan kemas di dalam memori ingatan sehingga kini. Ia saat manis yang tidak mahu dilupakan.

Alam kanak-kanak sekarang sudah berbeza, mereka tidak bebas seperti dahulu kala. Dahulu tiada gajet, tiada youtube. Paling hebat pun ada video game Super Mario dalam kaset. Itupun bukan semua orang mampu memilikinya. Maka permainan tradisional seperti galah panjang, baling selipar dan guli masih menjadi aktiviti masa lapang.

Program Huffaz Cilik ini muncul pada masa yang tepat. Pada masa bukan anak-anak sahaja berkawan baik dengan gajet, ibu bapanya apatah lagi. Ibu yang sedang menaip ini juga tidak terkecuali. Boleh berebut dengan anak kecil. Ketika si anak diberikan pinjam telefon dan khusyuk melihat video di youtube, tiba-tiba bunyi mesej kedengaran. Tidak perlu diceritakan adegan kejar-mengejar yang terjadi. Memang sah gila gajet.

Pagi ini saya menyambung kembali kajian tentang watak belalang. Mungkin anak-anak ini tidak boleh membuat projek belalang bakar seperti kami dahulu, sekurang-kurangnya origami belalang daripada daun, kertas ataupun penyepit baju dapat memberikan ingatan suatu masa nanti. Bagaimana mereka pandai 'mencipta' belalang comel. 

Lalu dikaitkan bagaimana watak belalang ini muncul pada zaman Nabi Musa. Bagaimana kaum Nabi Musa memohon agar nabi berdoa supaya dihapuskan wabak-wabak yang menimpa mereka dan berjanji untuk mengikut JALAN YANG LURUS. Namun janji hanya tinggal janji. Akhirnya, mereka tenggelam di dalam laut, manakala Nabi Musa dan orang beriman Allah selamatkan apabila Tongkat Mukjizat Nabi Musa berjaya 'membelah' lautan.

Saya membuka iQuran lalu mencari kisah belalang lain. Selain kisah ini, ada perumpamaan yang Allah berikan di dalam surah Al-Qamar bagaimana manusia ketakutan keluar dari kubur seperti belalang yang terbang bertebaran.

Jari pantas untuk terus 'scroll' ke maksud ayat surah Al-Qamar, beberapa kali ayat ini muncul.

 وَلَقَدْ يَسَّرْنَا الْقُرْآنَ لِلذِّكْرِ فَهَلْ مِن مُّدَّكِرٍ

Dan demi sesungguhnya! Kami telah mudahkan Al-Quran untuk peringatan dan pengajaran, maka adakah sesiapa yang mahu mengambil peringatan dan pelajaran (daripadanya)?
(Al-Qamar:17)

Walaupun peringatan demi peringatan yang agak mengerikan sekiranya dibaca, namun Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang pastinya akan memberikan khabar gembira di hujung-hujung surah.

إِنَّ الْمُتَّقِينَ فِي جَنَّاتٍ وَنَهَرٍ

Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa, di tempatkan dalam taman-taman Syurga (yang indah) dan (dekat) beberapa sungai,

فِي مَقْعَدِ صِدْقٍ عِندَ مَلِيكٍ مُّقْتَدِرٍ

Di tempat yang sungguh bahagia, di sisi Tuhan Yang Menguasai segala-galanya, lagi Yang Berkuasa melakukan sekehendakNya.
(al-Qamar 54-55)

Di tempat yang sungguh bahagia, izinkan kami ke sana Ya Allah. 

Pesanan penaja : SUDAH ADA PLAN UNTUK ANAK-ANAK 5-9 TAHUN CUTI SEKOLAH INI? 

Pendaftaran Huffaz Cilik Jitra dibuka cuti sekolah ini. PM kami di fb.com/msg/HuffazCilikJitra atau WhatsApp <KHC Nama & Umur> ke 017-7784681

Friday, February 12, 2016

3 Perkara Terjadi Apabila Seorang Penaip Belajar Membuat Kek


12 Februari 2016, detik bersejarah apabila seorang yang tidak ada ketuhar, hanya pernah sekali membuat kek batik yang rasanya serba tidak kena, tiada apron apatah lagi KitchenAid menghadiri kelas membuat Swiss Roll. Hanya kerana tertarik dengan visual kek yang comel ditambah dengan ada rezeki ghanimah projek X, terus dengan lajunya menulis komen di FB penganjur mahu sertai kelas.

Sudahlah datang lewat, semua sudah tertunggu-tunggu kehadiran. Gelas sudah dikosongkan untuk menerima ilmu-ilmu baharu (walaupun sebenarnya memang gelas tak ada isi, hehe). Mula kelas cikgu sudah menyebut jargon dunia masakan. 'Meringue'. Mereng dibuatnya. Rupa-rupanya itu terma untuk telur putih yang dicampur gula dan dipukul sehingga ber'tanduk'. Nak buatnya pula penuh pantang larang, bekas dan tangan mesti kering, pemukul juga mesti dilap bersih tanpa air. Kalau tidak kek akan jadi 'bantat' katanya. Fuh punyalah berdoa semasa menghasilkan kek agar jari penaip ini tidak menghasilkan kek 'bantat'. Paling magik apabila rakan sekelas siap demo 'menterbalikkan' bekas telur putih yang dipukul bersama gula, elok melekat tak jatuh. Kalau tunjuk dekat anak-anak tadika ni, sudah pasti jadi cikgu terhebat sepanjang 2016.

# PERKARA 1 : Belajar istilah baharu dunia masakan


Dari jam 10 sehingga lebih kurang jam 1, Cikgu Intan demo 2 jenis 'swiss roll'. Satu yang 9 inci, satu lagi yang 3 inci. Nota semua elok dah disediakan, tinggal tambah sana sini petua yang diberikan. Habis semua jenama produk cikgu guna nak ditanya. Dengan harapan kalau sama tu ada peluang la kek cantik dan sedap agaknya. Keluar la nama-nama kedai Bake With Yen, Bagus, HOI dan macam-macam lagi. Boleh tahan teknikal juga la nama-nama kertas lukisan yang digunakan. Bukan boleh pakai kertas minyak tekap lukisan macam masa kecil-kecil dulu ok.

Sambil-sambil tengok cikgu buat kerja, sempat la 'interview' dah berapa lama cikgu terjebak dalam bidang 'swiss roll' ni. 3 tahun katanya. Ada pembantu tak? Semuanya buat sendiri, dari ambil order, buat kek dan banyakkkkk lagi. Sambil buat kek sambil pegang telefon. Siap belajar ilmu buat 'swiss roll' ni dekat Bangkok ok. Lepas ni nak belajar dekat Korea katanya. Ok cikgu nak ikut boleh? Saya jadi tukang angkat barang pun ok. 

# PERKARA 2 : Ilmu menjadikan kita berbeza



Selepas makan tengah hari, bermulalah episod 'hands-on'. Nampak macam senang cikgu buat. Bila kena buat sendiri, mula lupa dah semua. Tengah seronok mewarna  Hello Kitty, tiba-tiba kedengaran suara cikgu.

"Ha kenapa telinga Hello Kitty pun warna merah", dengan nada marah-manja. Terkejut si penaip yang baru belajar memasak.

Sudah, sekali tengok balik, ingat reben Hello Kitty, rupanya atas tu telinga. Gambar di atas tu dah tindih dengan warna putih, tetapi sebenarnya nanti yang melekat tu warna di bawah tu. Cuba tengok gambar kek tersusun atas sekali, cari telinga Hello Kitty yang merah, itulah kek kepunyaan si penaip. Haip, jangan gelak!


# PERKARA 3 : Apabila anak-anak berbuat silap, kadang-kala mereka memang tidak tahu itu adalah perkara yang salah. Terangkan sahaja apa yang salah, tidak perlu marah-marah.

Saya melihat ini dari perspektif diri sendiri yang tidak pernah membuat kerja-kerja memasak kek, ini sememangnya julung-julung kalinya. Telinga dan reben juga tidak tahu bezakan. Sekiranya tidak ditegur, pastinya yakin telinga itu adalah sebahagian daripada reben. Anak-anak kecil juga begitu, mereka baru sahaja mahu menerokai dunia ciptaan Allah ini, apabila sering dimarahi dan dibebel, sudah tentu motivasi mahu menerokai lebih lanjut itu akan hilang sedikit demi sedikit. 

Ya, kita manusia baru belajar, baru belajar mahu menjadi ibu yang baik, baru belajar mahu menjadi guru yang baik. Sekian lama kita sudah biasa dengan ayat-ayat ugutan.

"Diam, kalau tak diam mama panggil polis". "Kalau bising cikgu hantar pergi Balai Bomba".

Untuk menukarkan ayat-ayat ugutan ini dengan pujian bukannya mudah, tetapi boleh dilakukan. Setiap kali terlepas kata, walaupun tidak boleh diundur seperti perahu, namun boleh diperbetulkan semula dengan kata-kata dan tindakan lebih baik. Apa yang penting, kita sedar setiap kali kita 'terlajak kata', agar ia menjadi suatu azam untuk tidak mengulanginya lagi.



Meminjam kata Puan Roza, setiap masakan yang dimulakan dengan nama Allah tidak akan tersalah resipi. Walaupun telinga Hello Kitty merah sebelah, Cikpuan  Muda Iyman Amalea yang akan menjelang 5 tahun 18 Februari ini sungguh teruja mahu sambut 'birthday' dengan kek Hello Iyman. Simpan dalam peti ais sejak semalam, baru nak potong hari ini katanya.

Sungguh, dalam setiap perkara ada banyak yang boleh dipelajari bagi mereka yang mahu 'melihatnya'. 



Sunday, January 24, 2016

Nanti You Dapat Pahala


Semalam semasa hendak keluar tempat letak kereta di Pantai Batu Feringgi, ada seorang pemuda berbangsa Cina menegur kami untuk menukarkan duit RM50. Mahu bayar parking katanya.
Saya membuka beg duit, duit pecah pun tak ada, duit seringgit-seringgit adalah. Saya pun hulur 5 ringgit kepada pemuda tersebut.
"Nah ambil je, hadiah", kata saya.
"Eh mana boleh, nanti you dapat pahala", kata beliau agak berat hati menerima.
"Takpelah I dapat pahala", kata saya bersungguh-sungguh memberi setelah terinspirasi membaca cerita-cerita ‪#‎TamakPahala‬ ‪#‎Kindness‬ dan banyak lagi di FB. Peluang ada depan mata, walaupun jelas beliau seorang berduit tapi apa salahnya membantu beliau bayarkan parking.
"Tunggu, tunggu, I bagi you something."
Beliau kembali dan menghulur sebungkus coklat.
"Ini coklat sihat, ada halal boleh makan", jelas beliau prihatin dengan kami yang beragama Islam. Kagum sungguh. Berebut la budak 2 orang dalam kereta tu.
Sambil hendak menutup pintu kereta, beliau pun bertanya kami dari mana.
"Kedah. You dari mana?"
"Kedah juga", jawab beliau.
"Alor Setar ke?", saya meneka.
"Jitra".
"Eh kami pun Jitra"
Sok sek sok sek rupanya keluarga beliau tinggal berhampiran sahaja.
"La jauh-jauh belakang taman, jumpa di Penang".
"Nanti datang la Chinese New Year makan kuih. Mak I jahit baju kurung, selalu kawan dengan orang Melayu. Entah-entah kenal"
"Ok takpe nanti mesejlah nombor rumah, boleh tempah baju kurung", jawab saya sambil menghulurkan kad Tadika ABS Jitra.
Pandang kanan pandang kiri. Terima kasih buat mereka yang selalu berkongsi inspirasi di FB, di Vocket. Teruskan berkongsi supaya lebih banyak dapat membawakan kebaikan.

Nota kaki : Penutup tugasan entry ke-44 Akademi Bekerja Di Rumah