Thursday, March 3, 2016

Belalang Bakar

Sudah hampir togel pelepah kelapa di depan rumah emak. 7 daun dicabut namun masih belum nampak rupa belalang. Habis pelepah kelapa, 'straw' dan kertas pula dikerjakan. Akhirnya setelah puas mencuba, nampak gaya sudah ada rupa belalang, atau nampak macam udang?

Belalang, salah satu wabak yang Allah turunkan kepada kaum Nabi Musa a.s. Kepada Firaun dan konco-konconya yang masih tidak mahu mengikut JALAN YANG LURUS. Allah rakamkan di dalam surah Al-Araf ayat 133 yang membawa maksud;

(Allah berfirman): Kami pun menghantarkan kepada mereka taufan, dan belalang, dan kutu, dan katak, dan darah, sebagai tanda-tanda dan bukti yang jelas nyata, maka mereka juga tetap berlaku sombong takbur dan menjadi kaum yang menderhaka.

Bercerita tentang belalang, ingatan berputar-berputar sekitar tahun 80-an di Kampung Parit Yusof, Muar. Zaman sekolah rendah. Zaman di mana kami bebas bermain, berbasikal ke sana ke mari tanpa perlu memikirkan masalah dunia.

Petang itu geng kami membuat projek menangkap belalang. Selepas ditangkap, dibakarnya belalang. Kami merasa seorang sedikit.

"Macam udang la rasanya", getus saya di dalam hati.

Itu kali pertama dan terakhir saya menikmati hidangan belakang bakar. Tidak sanggup membayangkan mahu makan Char Kuew Teow Belalang walau rasanya hampir sama.

Walaupun pengalaman itu sudah lama, namun keseronokan semasa proses menghasilkan belalang bakar masih tersimpan kemas di dalam memori ingatan sehingga kini. Ia saat manis yang tidak mahu dilupakan.

Alam kanak-kanak sekarang sudah berbeza, mereka tidak bebas seperti dahulu kala. Dahulu tiada gajet, tiada youtube. Paling hebat pun ada video game Super Mario dalam kaset. Itupun bukan semua orang mampu memilikinya. Maka permainan tradisional seperti galah panjang, baling selipar dan guli masih menjadi aktiviti masa lapang.

Program Huffaz Cilik ini muncul pada masa yang tepat. Pada masa bukan anak-anak sahaja berkawan baik dengan gajet, ibu bapanya apatah lagi. Ibu yang sedang menaip ini juga tidak terkecuali. Boleh berebut dengan anak kecil. Ketika si anak diberikan pinjam telefon dan khusyuk melihat video di youtube, tiba-tiba bunyi mesej kedengaran. Tidak perlu diceritakan adegan kejar-mengejar yang terjadi. Memang sah gila gajet.

Pagi ini saya menyambung kembali kajian tentang watak belalang. Mungkin anak-anak ini tidak boleh membuat projek belalang bakar seperti kami dahulu, sekurang-kurangnya origami belalang daripada daun, kertas ataupun penyepit baju dapat memberikan ingatan suatu masa nanti. Bagaimana mereka pandai 'mencipta' belalang comel. 

Lalu dikaitkan bagaimana watak belalang ini muncul pada zaman Nabi Musa. Bagaimana kaum Nabi Musa memohon agar nabi berdoa supaya dihapuskan wabak-wabak yang menimpa mereka dan berjanji untuk mengikut JALAN YANG LURUS. Namun janji hanya tinggal janji. Akhirnya, mereka tenggelam di dalam laut, manakala Nabi Musa dan orang beriman Allah selamatkan apabila Tongkat Mukjizat Nabi Musa berjaya 'membelah' lautan.

Saya membuka iQuran lalu mencari kisah belalang lain. Selain kisah ini, ada perumpamaan yang Allah berikan di dalam surah Al-Qamar bagaimana manusia ketakutan keluar dari kubur seperti belalang yang terbang bertebaran.

Jari pantas untuk terus 'scroll' ke maksud ayat surah Al-Qamar, beberapa kali ayat ini muncul.

 وَلَقَدْ يَسَّرْنَا الْقُرْآنَ لِلذِّكْرِ فَهَلْ مِن مُّدَّكِرٍ

Dan demi sesungguhnya! Kami telah mudahkan Al-Quran untuk peringatan dan pengajaran, maka adakah sesiapa yang mahu mengambil peringatan dan pelajaran (daripadanya)?
(Al-Qamar:17)

Walaupun peringatan demi peringatan yang agak mengerikan sekiranya dibaca, namun Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang pastinya akan memberikan khabar gembira di hujung-hujung surah.

إِنَّ الْمُتَّقِينَ فِي جَنَّاتٍ وَنَهَرٍ

Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa, di tempatkan dalam taman-taman Syurga (yang indah) dan (dekat) beberapa sungai,

فِي مَقْعَدِ صِدْقٍ عِندَ مَلِيكٍ مُّقْتَدِرٍ

Di tempat yang sungguh bahagia, di sisi Tuhan Yang Menguasai segala-galanya, lagi Yang Berkuasa melakukan sekehendakNya.
(al-Qamar 54-55)

Di tempat yang sungguh bahagia, izinkan kami ke sana Ya Allah. 

Pesanan penaja : SUDAH ADA PLAN UNTUK ANAK-ANAK 5-9 TAHUN CUTI SEKOLAH INI? 

Pendaftaran Huffaz Cilik Jitra dibuka cuti sekolah ini. PM kami di fb.com/msg/HuffazCilikJitra atau WhatsApp <KHC Nama & Umur> ke 017-7784681